Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Semua pihak perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim demi kelestarian alam sekitar dan masa hadapan yang lebih baik.
Demikian merupakan isu yang dikupas oleh tiga orang ahli panel, iaitu Ketua Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Emilia Abd Malek, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Yang Hormat (YH) Dato’ Haji Idros Yahya dan Ketua Pegawai Program Reef Check Malaysia, Encik Alvin Chelliah dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.
Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Emilia Abd Malek, program International Climate Change Action (ICCA) yang dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi kerajaan, sekolah dan pihak swasta merupakan satu daripada usaha yang berterusan dalam memerangi isu perubahan iklim melalui inisiatif pembersihan mikroplastik.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai perubahan iklim, sekali gus menggalakkan tindakan yang seharusnya dilakukan oleh penduduk di sekitar Pulau Tioman untuk menangani masalah yang berlaku.
Jelas beliau, program ICCA adalah kesinambungan daripada usaha untuk menangani masalah perubahan iklim yang dijalankan pada tahun 2023 yang memberikan fokus kepada aktiviti pembersihan pantai dan pendidikan kepada para pelajar.
Ujar beliau,
Pelaksanaan program yang menyasarkan penyertaan aktif daripada para pelajar dari UPM, penduduk setempat, pelajar sekolah serta pelancong yang berada di sekitar Pulau Tioman itu merangkumi pembangunan modul kesedaran perubahan iklim dan pameran di beberapa sekolah terpilih.
Sementara itu, YH Dato’ Haji Idros Yahya berkata, program seumpama ini amat penting dalam memastikan industri pelancongan di Pulau Tioman yang menjadi sumber pendapatan utama sebanyak 90 peratus kepada penduduknya tidak terjejas disebabkan oleh perubahan iklim.
Beliau juga menjelaskan bahawa TDA telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan penggunaan diesel bagi penjanaan elektrik dengan beralih kepada tenaga boleh baharu, sekali gus mengiktiraf Pulau Tioman sebagai pulau tenaga hijau.
Katanya,
Pembangunan kawasan hutan turut dilaksanakan untuk mengalihkan tumpuan pelancong daripada aktiviti di lautan dan seterusnya membantu dalam menjaga kelestarian terumbu karang.
Beliau percaya bahawa pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan di Pulau Tioman berpotensi untuk menarik lebih banyak pelancong antarabangsa yang cenderung mengunjungi destinasi yang mengamalkan kelestarian alam sekitar.
Seterusnya, Encik Alvin Chelliah berkongsikan bahawa program Reef Check Malaysia yang dijalankan sejak tahun 2007 memainkan peranan yang penting dalam memantau kesihatan terumbu karang.
Katanya, pihaknya berusaha mencari kaedah yang terbaik untuk meningkatkan daya tahan terumbu karang terhadap perubahan iklim termasuklah pelaksanaan program “Cintai Tioman” yang dilancarkan pada tahun 2014 dan pelbagai aktiviti pembersihan pantai.
Dalam sesi temu bual itu juga, beliau menyatakan kebimbangannya terhadap kesan perubahan iklim yang kini semakin ketara, terutamanya dari segi peningkatan suhu air laut.
Ujarnya,
Tahun 2024 dicatatkan sebagai tahun yang paling panas dalam sejarah dan memberikan kesan negatif kepada terumbu karang melalui fenomena pelunturan. Apabila suhu air meningkat, terumbu karang mengalami stres, sekali gus menyebabkan alga dan sumber tenaga utama karang turut terjejas.