8 Ogos 2024, 12:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sesi pendaftaran untuk Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan 2024 (PKEP 2024) yang bertemakan “Menerajui Pendidikan menerusi Kecerdasan Buatan” kini dibuka.

Persidangan yang akan diadakan pada 8 Oktober 2024 hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh itu bertujuan mencungkil bakat para peserta dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.

Rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia menampilkan tiga orang ahli panel untuk mengulas mengenai hal tersebut dengan lebih lanjut, iaitu dua orang penerbit dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBrs. Dr. Nordiana Hamzah dan YBrs. Dr. Laili Farhana Md Ibrahim serta Pelajar Sarjana Pendidikan Multimedia, UPSI, Puan Nur Alia Syazreen Kamarol Idzham.

Dari kiri: Puan Nur Alia Syazreen Kamarol Idzham, YBrs. Dr. Laili Farhana Md Ibrahim dan YBrs. Dr. Nordiana Hamzah ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia.

Menurut YBrs. Dr. Nordiana Hamzah, PKEP 2024 yang bakal diadakan itu akan disertai oleh warga pendidik yang terdiri daripada pensyarah universiti, institut pendidikan guru, guru sekolah dan para pelajar pascasiswazah yang akan membentangkan hasil penemuan berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) generatif.

“Persidangan ini merupakan satu peluang untuk mengekspresikan diri, terutamanya dalam kalangan pelajar untuk menghasilkan rencana yang lebih berkualiti,” kata YBrs. Dr. Nordiana Hamzah.

Beliau juga berkongsikan bahawa teknologi AI sangat membantu dirinya ketika proses pembelajaran beliau pada peringkat sarjana berbanding peringkat lain sebelum munculnya ledakan penggunaan AI.

YBrs. Dr. Laili Farhana Md Ibrahim pula berkata, AI sangat penting dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan inovasi kerana teknologi ini berupaya meningkatkan daya produktiviti dengan memudahkan pelbagai tugas pensyarah dan pelajar.

Ujar beliau,

Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan satu garis panduan penggunaan AI generatif dalam PdP dan bidang lain seperti perundingan.

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan etika dan integriti dalam penggunaan AI oleh pelajar tanpa menyekat kreativiti dan pengetahuan mereka.

Pendapat berkenaan disokong oleh Puan Nur Alia Syazreen Kamarol Idzham yang menyatakan bahawa AI merupakan satu daripada teknologi yang sangat berguna dalam membantu pelajar mendapatkan lebih banyak idea untuk menyelesaikan kajian yang dijalankan.

Sebagai rekod, pelbagai program menarik disediakan kepada para peserta sepanjang persidangan tersebut berlangsung, termasuklah Bengkel Menulis Manuskrip Menggunakan AI yang akan diadakan pada hari ketiga persidangan.

Hebahan tentang PKEP 2024 yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2024 hingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.