Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Guru STEM Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2018 merupakan sebuah organisasi yang berdedikasi untuk memajukan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus membantu meningkatkan kecemerlangan warga pendidik dan pelajar dalam bidang tersebut yang menjadi asas penting kepada pembangunan masa hadapan negara.
Pengasas dan Pengerusi Persatuan Guru STEM Malaysia, Encik Noorsuhaily Ali @ Md Noor atau lebih dikenali sebagai Cikgu Suhaily berkongsikan tentang peranan persatuan berkenaan ketika ditemu bual dalam Podcast Sembang STEM: Dengan Cikgu Suhaily yang disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube.
Menurut beliau, prinsip “Tiada yang Sukar” yang menjadi pegangan ahli Persatuan Guru STEM Malaysia percaya bahawa tiada cabaran yang tidak dapat diatasi dalam usaha untuk membangunkan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
Ujar beliau,
Kini, Persatuan Guru STEM Malaysia banyak menganjurkan pertandingan STEM untuk menggalakkan penyertaan yang aktif dalam kalangan pelajar serta melibatkan para pensyarah kerana kolaborasi antara pendidik dengan pelajar dipercayai merupakan kunci kepada kejayaan dalam bidang ini.
Dalam sesi temu bual itu, beliau turut berkongsikan beberapa projek yang dianjurkan oleh persatuan berkenaan seperti projek “Low Cost High Impact” yang merupakan suatu aktiviti yang membuka cadangan reka bentuk susunan kelas bagi menyokong pembelajaran abad ke-21 kerana persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah penting untuk memastikan kejayaan pelajar.
Selain itu, Persatuan Guru STEM Malaysia juga menyediakan 12 set eksperimen bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk mencuba eksperimen yang dijalankan dan memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk belajar tentang STEM.
Beliau juga memaklumkan bahawa program “Double Point Reward” yang diwujudkan melalui penciptaan penunjuk (pointer) khas untuk subjek STEM adalah untuk membolehkan warga pendidik mengenal pasti pencapaian pelajar dalam subjek itu dengan lebih jelas dan tepat.
Jelas beliau, sistem penunjuk dalam akademik sebelum ini adalah bersifat menyeluruh bagi semua subjek dan menyukarkan pihak pengurusan akademik untuk melihat pencapaian pelajar dalam subjek STEM sahaja.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual itu, beliau menekankan bahawa setiap cabaran haruslah diatasi dengan sebaik-baiknya dan guru yang hebat ialah mereka yang dapat memberikan kebaikan kepada kelompok guru yang lain.