5 Ogos 2024, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) mengambil inisiatif untuk mengukuhkan asas penyediaan projek yang berkualiti tinggi menerusi penganjuran Bengkel Pemurnian Cadangan Projek Applied Innovation Fund (AIF)/Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1)/Dana Pembangunan Teknologi 2 (TeD2) di bawah dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MOSTI Grand Challenge.

Bengkel tersebut telah berjaya diadakan selama tiga hari, iaitu pada 31 Julai 2024 hingga 2 Ogos 2024 di Hotel Lexis, Port Dickson.

“Bengkel ini bukan sahaja meningkatkan prospek kejayaan permohonan, malah memberikan sumbangan yang besar kepada peningkatan kualiti keseluruhan R&D di Nuklear Malaysia, sekali gus sebagai satu daripada langkah proaktif dalam usaha meningkatkan kualiti dan kuantiti cadangan projek daripada para pegawai Nuklear Malaysia,” kata Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika berucap dalam majlis perasmian bengkel berkenaan.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Menurut beliau, pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 oleh kerajaan menunjukkan komitmen Nuklear Malaysia yang tinggi terhadap teknologi nuklear untuk pembangunan lestari dan membuka peluang bagi cadangan projek yang selaras dengan hala tuju strategik negara dalam bidang nuklear.

Dalam bengkel tersebut, sebanyak 16 cadangan projek telah dibentangkan merangkumi enam projek AIF, sembilan projek TeD1 dan satu projek TeD2 yang dikemukakan oleh para pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.

Hasil pembentangan itu dinilai oleh Panel Penilai Dana MOSTI, YBrs. Dr. Chen Sau Soon dan panel penilai dari Institut Penyelidikan Tenaga Solar, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mat Teridi.

YBrs. Dr. Chen Sau Soon.
YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mat Teridi.

Majlis perasmian penutup bagi bengkel tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin.

Beliau berkata,

Dengan adanya bengkel seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan standard dan inovasi dalam cadangan projek R&D nuklear, menyokong matlamat strategik negara serta memastikan kemajuan berterusan dalam bidang teknologi nuklear.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.