26 Julai 2024, 12:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Taman Botani Kepong atau dikenali sebagai Kepong Botanic Gardens (KBG)  ialah sebuah taman yang berkeluasan 80 hektar dan berada bersebelahan dengan kawasan kampus utama FRIM. Taman yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur ini merupakan hasil cetusan idea mantan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang pertama, iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh Haji Mohd Nor. 

Taman ini terletak di kawasan kaki Bukit Lagong dan Bukit Hari serta bersempadan dengan kawasan perumahan Taman Ehsan, Kepong. Kawasan asal bagi taman ini merupakan bekas lombong bijih timah dan hutan sekunder. Sebahagian besar struktur kawasan ini terdiri daripada kawasan berbukit dan turut dihiasi dengan beberapa kolam pelbagai saiz yang menjadikan landskap taman lebih menarik. Selain itu, terdapat sebuah kolam besar di tengah-tengah taman yang berlatarbelakangkan Bukit Lagong dan Bukit Hari, sekali gus menjadi daya tarikan utama kerana pemandangannya yang tenang dan mendamaikan.

KBG yang dibangunkan pada tahun 1996 bersesuaian dengan objektif FRIM, iaitu sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang botani, hortikultur, landskap dan pendidikan alam sekitar. Fungsi utama taman botani ini adalah untuk menjadi pusat konservasi secara ex situ, terutamanya bagi tumbuhan yang terancam, hampir pupus, langka serta endemik dipelihara dan dibiak di luar dari kawasan habitat asal tumbuhan itu ditemukan.

Tumbuhan langka merupakan tumbuhan yang jumlahnya sangat sedikit atau sangat jarang-jarang ditemukan, manakala endemik pula merujuk sesuatu tempat yang hanya berada di sesuatu kawasan di dunia ini.

Selain itu, taman botani ini dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai tentang peranan dan kepentingan kepelbagaian flora yang terdapat di Malaysia. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk sifat seseorang untuk menghargai khazanah alam semula jadi. Taman botani yang bertemakan kecantikan dan keindahan tumbuh-tumbuhan beraneka warna telah menjadikan taman ini sebagai pilihan pusat rekreasi alam semula jadi kepada masyarakat.

Hingga kini, terdapat 11 taman tema yang telah dibangunkan di KBG. Antaranya termasuklah taman tema bagi menempatkan koleksi buluh, etnoflora, buah-buahan nadir, halia, palma, gimnosperma, bunga dan pepanjat. Hampir 4000 dirian pokok dan ratusan tumbuhan renek dan herba juga ditanam di KBG bagi tujuan konservasi. Setiap dirian pokok mempunyai rekod yang tersendiri dan disimpan bagi tujuan pemuliharaan, penyelidikan dan penyebaran maklumat kepada orang ramai.

Kesemua dirian pokok ini terdiri daripada spesies tumbuhan yang terdapat di Malaysia, termasuklah Sabah dan Sarawak. Selain itu, terdapat beberapa spesies yang berasal dari luar negara seperti Indonesia, India, Sri Lanka dan Filipina. Tumbuhan turut dilabelkan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pelawat mengenai spesies pokok dan memupuk sikap menghargai kepelbagaian flora.

Antara spesies tumbuhan endemik dan terancam yang berjaya ditanam termasuklah Maingaya malayana daripada famili Hamamelidaceae. Maingaya ialah genus monotip yang bermaksud hanya satu spesies tunggal di bawah genus ini, iaitu Maingaya malayana. Selain itu, Maingaya malayana merupakan endemik yang populasi asalnya hanya ditemukan di Semenanjung Malaysia.

Ketika kali pertama spesies Maingaya malayana dihuraikan, hanya populasi kecil direkodkan terdapat di Bukit Bendera, Pulau Pinang dan Gunung Bubu, Perak. Kemudian, populasi lain juga ditemukan di kawasan hutan di Negeri Sembilan. Spesies ini bersaiz sederhana tinggi yang boleh tumbuh hingga 27 meter tinggi serta mengeluarkan bunga berwarna kuning. Bentuk kelopak bunganya menarik dan berbunga secara sporadis hampir sepanjang tahun.

Ciri yang terdapat pada Maingaya malayana menjadikan spesies ini sesuai dijadikan sebagai pokok hiasan landskap di taman dan di tepi jalan. Status pemuliharaan bagi spesies ini adalah terancam. Antara penyebabnya termasuklah kehilangan populasi habitat yang berterusan atau perubahan guna tanah.

Maingaya malayana.

Spesies seterusnya ialah Eusideroxylon zwageri atau nama tempatannya dipanggil belian. Eusideroxylon zwageri daripada famili Lauraceae merupakan sejenis pokok kayu keras yang tergolong dalam bukan kumpulan dipterokarpa. Populasi asal pokok belian boleh ditemukan di Indonesia (Kalimantan dan Sumatera), Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Selatan Filipina.

Spesies ini tumbuh di hutan dipterokarpa campuran tanah pamah dan hutan sekunder hingga ketinggian 500 meter dari paras laut. Pokok ini juga boleh tumbuh hingga ketinggian 30 meter. Diameter batang pokoknya pula mampu mencapai satu meter. Secara umumnya, tumbesaran pokok belian adalah sangat perlahan dan mengambil masa hingga 120 tahun untuk mencapai garis pusat 30 sentimeter.

Pada kebiasaannya, pokok belian boleh ditemukan di sepanjang sungai. Pokok belian juga merupakan pokok rasmi bagi negeri Sarawak. Kayu belian pula tergolong dalam kumpulan kayu keras berat yang bermutu dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Kayunya sangat keras, tidak mudah reput dan tahan secara semula jadi disebabkan oleh ciri anatomi yang unik hingga digelar Borneo ironwood.

Kayu belian banyak digunakan dalam pembinaan berat dan berskala besar seperti membuat struktur rumah, tiang, lantai dan dinding serta pembinaan kapal. Disebabkan oleh kemerosotan habitat dan eksploitasi yang berlebihan terhadap kayu belian, spesies ini dinilai sebagai terancam.

Eusideroxylon zwageri.

Seterusnya, Kostermansia malayana merupakan spesies yang tergolong dalam famili Malvaceae. Saiz pokok ini besar dan boleh mencapai ketinggian hingga 48 meter dan berdiameter hingga 95 sentimeter. Nama tempatannya ialah krepal, krepau atau durian tuang. Krepal merupakan spesies langka dan endemik di Semenanjung Malaysia dan hanya boleh ditemukan di hutan paya tanah pamah di Perak, Selangor, Terengganu, Pahang dan Johor.

Ciri pokok ini berbatang lurus dan kulit kayunya berwarna coklat kemerahan serta mempunyai permukaan kulit yang licin dan sedikit bersisik. Susunan daun pula berselang-seli dan berbentuk bujur telur. Permukaan bawah daun pokok ini berwarna coklat keemasan seakan-akan daun pokok buah durian. Kayu pokok krepal juga diniagakan sebagai durian yang dikategorikan sebagai spesies kayu keras ringan. Spesies ini termasuk dalam kategori terancam kerana bilangan populasinya yang terhad serta mengalami kemerosotan dan kehilangan habitat asal.

Kostermansia malayana.

Vatica flavida atau resak padi ialah pokok yang tergolong dalam famili Dipterocarpaceae. Lazimnya, pokok ini ditemukan di hutan paya air tawar di bahagian tengah Perak. Resak padi merupakan pokok bersaiz sederhana besar dan mempunyai banir kecil di habitat asalnya. Kulit pokok ini licin, mempunyai gelang dan bersisik apabila telah matang. Warna kulit pokok ini pula cerah putih kekelabuan. Bentuk daunnya eliptik, manakala susunan daunnya berselang-seli. Terdapat juga bulu halus pada permukaan bawah daun.

Bunga Vatica flavida mempunyai lima kelopak berwarna kuning pudar, manakala buahnya pula tidak bersayap. Terdapat rekod yang menunjukkan bahawa kayu spesies ini digunakan sebagai papan dan kerangka dalam pembinaan. Spesies ini dikategorikan sebagai sangat terancam kerana kemerosotan dan kehilangan habitat hutan paya air tawar.

Vatica flavida.

Hopea bilitonensis merupakan satu daripada spesies di bawah famili Dipterokarpa. Spesies ini tidak mempunyai nama tempatan. Perkataan bilitonensis merujuk tempat spesies ini ditemukan dan direkodkan. Belitung yang dahulunya dikenali sebagai Billiton yang merujuk sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengan pantai timur Sumatera, Indonesia di Laut Jawa.

Selain itu, spesies ini juga ditemukan di Gua Tempurung, Bukit Kinta dan Gunung Rapat di daerah Kinta, Perak. Semua populasi spesies ini ditemukan hidup subur di kawasan bukit batu kapur bermula pada ketinggian 160 meter hingga 600 meter altitud dari paras laut.

Pokok Hopea bilitonensis dikategorikan bersaiz kecil, mempunyai akar banir yang kecil, berbatang lurus, mempunyai permukaan kulit kayu yang licin dan boleh mencapai ukur lilit pokok hingga 50 sentimeter. Daunnya yang berbentuk ovat-lanseolat dan berbunga kecil berwarna merah jambu pudar. Buah Hopea bilitonensis mempunyai dua sayap panjang serta berwarna coklat kemerahan apabila matang.

Walaupun Hopea bilitonensis sangat langka di Semenanjung Malaysia, namun spesies tersebut bukanlah endemik. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa Hopea bilitonensis walaupun terhad kepada bukit batu kapur Kinta, Perak, namun bilangan yang dijumpai di habitatnya adalah banyak. Tiada ancaman dari segi biologi dan fisiologinya kepada populasi tersebut tetapi terdapat ancaman secara serius dari segi ekologi.

Taburan populasi yang sangat terhad kepada beberapa lokasi dan jenis habitat hutan batu kapur menjadi penyebab utama spesies ini mempunyai status pemuliharaan terancam yang tinggi, iaitu kategori sangat terancam. Selain itu, ancaman perubahan guna tanah seperti aktiviti kuari di kaki bukit batu kapur dikhuatiri akan menjejaskan kemandirian populasi tersebut pada masa akan datang.

Hopea bilitonensis.

Spesies dipterokarpa yang berjaya dipulihara dikenali sebagai merawan kanching atau Hopea subalata. Pokok merawan kanching merupakan pokok dipterokarpa bersaiz kecil, boleh mencapai ketinggian hingga 12 meter dan berdiameter hingga 35 sentimeter. Spesies langka dan hiperendemik ini hanya diketahui dari hutan dipterokarpa tanah pamah Hutan Simpan Kanching di Selangor.

Tumbuhan ini tumbuh di hutan tanah pamah dipterokarpa dan kawasan tanah beralun hingga ketinggian 140 meter dari paras laut serta kawasan bercerun berhampiran dengan sungai. Batang pokoknya lurus, berwarna kelabu kecoklatan dan permukaan kulit kayunya licin. Daunnya pulabersaiz kecil dan susunannya berselang-seli serta berbentuk ovat-lanseolat. Spesies ini mempunyai bunga berwarna merah gelap, buah yang kecil (kira-kira satu sentimeter) serta mempunyai dua sayap kecil.

Walaupun kayu pokok merawan kanching tidak ditebang untuk pembalakan kerana saiznya yang kecil, namun spesies ini juga terancam. Hal ini disebabkan oleh populasinya yang sangat terhad kepada satu lokaliti sahaja, iaitu di Hutan Simpan Kanching yang menjadi satu-satunya populasi yang diketahui wujud. Populasi ini terdedah kepada perubahan guna tanah kerana terletak berhampiran dengan lebuh raya utama Rawang Bypass.

Hopea subalata.

Selain pokok berkayu, spesies tumbuhan lain juga dipulihara di KBG. Sebagai contohnya, spesies Livistona endauensis, iaitu sejenis tumbuhan dari famili palma atau Arecaceae dan bersifat endemik di Semenanjung Malaysia. Nama tempatan bagi spesies ini ialah serdang endau, bertam atau nama Inggerisnya, Endau fan palm. Perkataan endauensis merujuk tempat pertama spesies ini ditemukan dan direkodkan, iaitu di kawasan Ulu Endau, Johor. Spesies ini turut ditemukan di Bukit Bauk, Terengganu.

Livistona endauensis ditemukan hidup secara tunggal di kawasan terbuka hutan tanah pamah dipterokarpa dan kawasan bercerun serta puncak bukit dengan ketinggian 90 meter hingga 660 meter altitud dari paras laut. Tumbuhan ini juga merupakan pokok subkanopi sederhana yang boleh tumbuh hingga ketinggian 15 meter dan batangnya berdiameter sekitar 12 sentimeter hingga 20 sentimeter. Dari segi daun, saiznya besar yang mempunyai 60 segmen hingga 70 segmen dan mempunyai tangkai yang panjangnya dianggarkan hingga 175 sentimeter.

Spesies ini dikategorikan sebagai hampir terancam kerana bilangan populasi yang ditemukan adalah kecil dan terhad serta terdapat penurunan bilangan pokok matang di populasi tersebut. Namun begitu, populasi spesies ini kini dilindungi di Taman Negara Endau-Rompin, Johor.

Livistona endauensis.

Di bawah genus Johannesteijsmannia, terdapat empat spesies daripada famili palma yang ditemukan di hutan hujan tropika Semenanjung Malaysia, Borneo dan utara Sumatera. Johannesteijsmannia lanceolata merupakan satu daripada spesies di bawah genus Johannesteijsmannia yang bersifat endemik. Nama tempatan bagi spesies ini ialah chica atau nama Inggerisnya, Slender joey palm.

Taburan populasi asal bagi spesies ini terhad berada di kawasan Negeri Sembilan dan Selangor. Spesies ini hidup subur di kawasan berhampiran dengan sungai serta kawasan yang mempunyai saliran yang baik. Pokok yang tidak berbatang dan boleh tumbuh hingga ketinggian 3.5 meter hidup secara tunggal dan tidak berkelompok.

Antara ciri utama untuk mengenali tumbuhan genus Johannesteijsmannia adalah melalui saiz daunnya yang berpelepah besar dan berbentuk seperti berlian serta berduri pada margin sisi. Berbanding dengan spesies lain dalam genus yang sama, daun spesies ini lebih sempit, lebarnya 30 sentimeter dan kepanjangannya hingga 2.4 meter. Bunganya berwarna putih berkrim dan berbau harum. Bauan ini dapat menarik serangga tertentu seperti lalat, semut hitam dan penyengat yang dipercayai menjadi agen pendebungaan bagi pokok chica. Buahnya pula berwarna coklat kemerahan, berbentuk bulat dengan ditutup oleh kulit yang keras dan berketuat serta mampu membesar hingga diameter 3.4 sentimeter.

Sesetengah kaum orang asli menggunakan daun pokok Johannesteijsmannia lanceolata untuk membuat atap rumbia. Tumbuhan ini dikategorikan sebagai terancam kerana bilangan populasi asal yang ditemukan adalah kecil. Selain itu, spesies palma genus Johannesteijsmannia popular ini dijual sebagai tanaman hiasan kerana memiliki bentuk daun yang unik dan besar serta mempunyai nilai dalam pasaran.

Johannesteijsmannia lanceolata.

Spesies lain yang dipulihara di KBG ialah Licuala sallehana daripada famili Arecaceae. Spesies ini tidak mempunyai nama tempatan. Populasi Licuala sallehana ditemukan di bahagian lantai hutan dipterokarpa tanah pamah, iaitu di kawasan bercerun atau dasar lembah. Berbeza daripada spesies Johannesteijsmannia yang tumbuh secara tunggal, Licuala sallehana tumbuh secara berkelompok di lantai hutan. Tumbuhan yang bersifat endemik ini hanya ditemukan di beberapa lokaliti di Terengganu.

Daun Licuala sallehana juga berpelepah, namun saiznya lebih kecil dan tidak mempunyai duri pada margin sisi. Anggaran lebar daunnya 20 sentimeter, manakala panjangnya 1.5 meter. Gugusan batang bawah tanah yang terbentuk daripada spesies ini menghasilkan banyak daun tegak yang berwarna hijau tua di atas daun dan putih keperangan di bawah permukaan daun.

Bunga Licuala sallehana berwarna kuning dan buahnya berbentuk bulat dengan permukaan kasar, berwarna merah jambu cair dan bertukar kehitaman apabila sudah matang. Perkataan Sallehana dipilih sebagai penghormatan kepada mantan Ketua Pengarah di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Salleh Haji Mohd Nor. Beliau banyak memberikan sumbangan kepada usaha pemuliharaan tumbuhan di Malaysia. Licuala sallehana jarang-jarang ditemukan dan terancam disebabkan oleh penebangan hutan dan pertukaran status guna tanah.

Licuala sallehana.

Sebagai kesimpulannya, kewujudan taman botani di Malaysia adalah perlu sebagai usaha memulihara spesies tumbuhan yang unik, istimewa dan terancam. Selain itu, usaha ini berupaya memupuk kecintaan terhadap pemeliharaan khazanah alam semula jadi serta menjadi pusat pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan dan menyumbang kepada pengembangan penyelidikan tentang tumbuh-tumbuhan demi menjamin kesejahteraan hutan di Malaysia.

Suhaida Mustafa (Pegawai Penyelidik) dan Mohd Shis Ibrahim (Penolong Pegawai Penyelidik), Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.