Diterbitkan pada 25 Julai 2024, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Ahli Embriologi Sedunia yang disambut pada 25 Julai setiap tahun memberikan peluang kepada orang ramai untuk menghargai dedikasi dan usaha gigih para ahli embriologi yang telah memberikan sinar harapan kepada pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Sejak kelahiran bayi persenyawaan in vitro (IVF) yang pertama, Louise Brown pada tahun 1978, IVF telah melalui perkembangan yang sangat pesat.

 

Sejarah IVF

Louise Joy Brown dilahirkan pada 25 Julai 1978 di Oldham, United Kingdom. Beliau merupakan bayi pertama di dunia yang dilahirkan melalui proses IVF.

Ibu bapanya, John Brown dan Lesley Brown telah berusaha selama sembilan tahun untuk mendapatkan anak sebelum mencuba prosedur IVF. Kejayaan ini merupakan hasil daripada usaha keras dan penyelidikan yang dilakukan oleh Dr. Robert Edwards dan Dr. Patrick Steptoe yang akhirnya dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan pada tahun 2010 atas pencapaian mereka.

Proses IVF melibatkan pengambilan sel telur dari ovari wanita, diikuti dengan persenyawaan dengan sperma di dalam makmal. Embrio yang terbentuk kemudiannya dikembalikan ke dalam rahim wanita dan diharapkan akan berkembang menjadi kehamilan yang sihat. Cara ini dapat memberikan peluang baharu kepada pasangan yang mengalami pelbagai masalah kesuburan seperti endometriosis, masalah tiub Fallopio dan masalah sperma pada lelaki.

 

Kelahiran pertama bagi bayi tabung uji, Louise Brown pada tahun 1978.

 

Robert G. Edwards (kanan) dan Dr. Patrick Steptoe pada tahun 1979.

Perkembangan IVF di Malaysia

Di Malaysia, teknologi IVF telah berkembang dengan pesat sejak pertama kali diperkenalkan. Hospital dan klinik kesuburan di seluruh negara kini menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan seperti pembekuan embrio, suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI), preimplantation genetic testing (PGT) dan sebagainya.

Menurut statistik terkini, kadar kejayaan IVF di Malaysia adalah setanding dengan negara maju yang lain. Kerajaan dan sektor swasta telah bekerjasama untuk menjadikan rawatan ini lebih mampu milik dan mudah dicapai oleh semua pasangan yang memerlukannya.

Peranan Ahli Embriologi

Ahli embriologi memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang kesuburan, khususnya dalam prosedur IVF. Mereka bertanggungjawab untuk mengumpulkan sel telur daripada ovari wanita melalui prosedur aspirasi folikel dan memastikan sel telur yang diambil adalah matang dan sesuai untuk persenyawaan.

Di dalam makmal, ahli embriologi menggabungkan sel telur dengan sperma untuk menghasilkan embrio, sama ada melalui persenyawaan konvensional atau teknik ICSI, yakni prosedur penyuntikan satu sperma terus ke dalam sel telur. Selepas persenyawaan, ahli embriologi memantau perkembangan embrio bermula dari peringkat zigot hingga blastosis serta menilai kualiti embrio berdasarkan morfologi.

Ahli embriologi juga bertanggungjawab memilih embrio yang paling sihat untuk dipindahkan ke rahim wanita. Embrio yang tidak digunakan semasa pemindahan boleh dibekukan untuk kegunaan masa hadapan dengan menggunakan teknik seperti vitrifikasi untuk memastikan embrio disimpan dalam keadaan baik.

Selain itu, ahli embriologi menjalankan PGT untuk mengesan kecacatan genetik atau kromosom di dalam embrio sebelum pemindahan embrio dilakukan. Tindakan ini adalah penting untuk mengurangkan risiko penyakit genetik dan meningkatkan peluang kehamilan yang sihat.

Selain tugas utama ini, ahli embriologi juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memperbaik teknik sedia ada dan memperkenalkan inovasi baharu dalam bidang kesuburan. Mereka juga harus memastikan standard yang tinggi dalam pengurusan makmal IVF.

Kesemua tugas ini amat memerlukan pengetahuan yang sangat mendalam dalam bidang embriologi, kemahiran teknikal yang tinggi dan dedikasi yang besar. Hal ini menjadikan ahli embriologi sebagai tulang belakang kepada kejayaan rawatan kesuburan.

Cabaran dan HarapanĀ 

Walaupun teknologi IVF telah memberikan harapan baharu kepada banyak pasangan, namun masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuklah kos yang tinggi, kejayaan yang tidak dijamin serta tekanan psikologi dan emosi.

Pada masa yang sama, diharapkan akan ada lebih banyak inovasi teknologi dalam bidang pembiakan yang bukan sahaja dapat meningkatkan kadar kejayaan, malah menjadikan prosedur ini lebih mampu milik dan mudah diakses oleh semua orang.

Pada ketika ini, penyelidikan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai faktor yang mempengaruhi kesuburan dan perkembangan embrio dijalankan secara berterusan. Skop penyelidikan meliputi kajian mengenai genetik, kesihatan reproduktif dan faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi kejayaan IVF. Melalui pengetahuan yang lebih mendalam, doktor dan saintis dapat merangka strategi yang lebih efektif untuk membantu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan.

Selain itu, sokongan dari segi psikologi dan emosi untuk pasangan yang melalui rawatan IVF amatlah diharapkan bagi menjayakan usaha ini. Penyediaan maklumat yang tepat dan menyeluruh serta bimbingan daripada pakar psikologi boleh membantu mengurangkan tekanan dan memberikan sokongan yang diperlukan bagi pasangan yang melalui perjalanan ini.

Sebagai kesimpulannya, orang ramai diseru untuk menghargai ahli embriologi yang telah memberikan harapan dan kebahagiaan kepada banyak keluarga di seluruh dunia. Kisah Louise Brown menjadi bukti yang jelas terhadap potensi luar biasa teknologi IVF dan dedikasi para doktor dan saintis. Melalui kemajuan yang berterusan dalam bidang ini, lebih banyak pasangan diharapkan dapat merealisasikan impian mereka untuk mempunyai anak dan membina keluarga yang bahagia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi