Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJitra – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan pertandingan International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) peringkat antarabangsa pada tahun ini.
iCompEx merupakan pertandingan inovasi dan penemuan melalui pameran yang bermula di POLIMAS pada tahun 2013 yang disertai oleh para peserta dari pelbagai institusi dan agensi, sama ada pelajar dari politeknik, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, kolej komuniti, institut latihan industri, Institut Kemahiran Belia Negara, agensi kerajaan, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Berdasarkan rekod, iCompEx pernah menerima bilangan penyertaan paling banyak pada tahun 2015, iaitu sebanyak 4040 orang peserta, sekali gus menyebabkan iCompEx menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada tahun 2020.
Bermula pada tahun 2023, pertandingan iCompEx telah melangkah ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan UKM yang memberikan impak positif kepada pelbagai pihak.
Antara negara yang menyertai iCompEx pada tahun lalu termasuklah Indonesia, Thailand, Korea, China dan Bangladesh.
iCompEx telah berjaya meningkatkan kreativiti dan budaya inovasi dalam kalangan peserta pertandingan untuk memastikan projek inovasi yang dibentangkan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan.
Pada tahun ini, POLIMAS bersama-sama UKM sekali lagi melebarkan sayap kerjasama dengan agensi luar bagi menganjurkan pertandingan inovasi peringkat antarabangsa buat kali kedua dengan bertemakan “Discover the Limites of Possibility via Innovations”.
Antara institusi luar yang terlibat dalam pertandingan berkenaan termasuklah Politeknik Kutaraja, Politeknik Aceh, Organisasi Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), Universitas Airlangga, Phatthalung Technical College dan Pusat Serantau untuk Pendidikan dalam Sains dan Matematik (RESCAM).
Terdapat dua kategori utama yang akan dipertandingkan pada tahun ini, iaitu Innovation Project dan TVET Pitching yang melibatkan sembilan bidang bagi setiap kategori tersebut.
Yuran pendaftaran pertandingan iCompEx untuk kategori TVET Pitching pula adalah sebanyak RM100 dan USD50 bagi peserta dari Malaysia dan luar negara.
Penganjuran iCompEx 2024 diharapkan dapat bertindak sebagai pemangkin untuk memupuk kreativiti dan inovasi serta menjadi aset dan menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan pelajar di institusi pendidikan tinggi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan iCompEx 2024 dengan melayari laman sesawang iCompEx.