Diterbitkan pada 18 Julai 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bengkel International Workshop on Advancing Food Analysis, Safety and Testing Standards for Global Comparability anjuran Asia Pacific Food Analysis Network (APFAN) dengan kerjasama Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Kimia Malaysia telah disertai oleh 150 orang peserta dari rantau Asia Pasifik.

Bengkel tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di pelbagai negara dalam rantau Asia Pasifik yang terlibat dengan APFAN itu diadakan di Hotel Everly, Putrajaya selama tiga hari, iaitu bermula pada 15 Julai 2024 hingga 17 Julai 2024.

Peserta yang menyertai bengkel berkenaan melibatkan peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Myanmar, Filipina, Republik Korea, Taiwan, Papua New Guinea dan Australia.

Pengerusi Bengkel APFAN 2024, YBrs. Profesor Madya Dr. Hasnah Haron (kiri) bersama-sama jemputan khas.

Bengkel yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Puan Marhayani Md. Saad itu merupakan bengkel yang julung-julung kalinya dijalankan di Malaysia dan dipengerusikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Hasnah Haron dari H-Care, UKM, Kuala Lumpur dan dibantu oleh Timbalan Pengerusi I, YBrs. Profesor Dr. Wan Aida Wan Mustapha dari UKM, Bangi dan Timbalan Pengerusi II, YBrs. Dr. Siti Nur Nazathul Shima Hashim dari Jabatan Kimia Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Puan Marhayani Md. Saad ketika merasmikan Bengkel APFAN 2024.
Ucapan perasmian bengkel APFAN 2024 disampaikan oleh YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar.
Profesor Madya Dr. Hasnah Haron ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam bengkel APFAN 2024.

APFAN ialah projek khas Federation of Asian Chemical Societies (FACS) yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan penganalisis makanan, berperanan bagi mencapai keselamatan makanan dan pemakanan yang baik serta menggalakkan perdagangan makanan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan di rantau Asia Pasifik.

Untuk mengiktiraf keperluan bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan makmal analisis makanan serantau, APFAN sedang menjalankan projek berbilang fasa yang melibatkan penghasilan dan pengedaran bahan ujian kecekapan atau proficiency test (PT) secara percuma kepada makmal analisis makanan di rantau Asia Pasifik.

Bahan PT2 telah diedarkan di Indonesia pada tahun 2018, bahan PT3 pula diedarkan di Thailand pada tahun 2019 dan bahan PT4 diedarkan di Filipina pada tahun 2023, sementara bengkel yang diadakan di Malaysia pada tahun ini akan mengedarkan PT5 secara percuma kepada semua peserta.

Dalam bengkel tersebut, keputusan PT akan dibincangkan secara terperinci bagi membolehkan kaedah analisis yang digunakan oleh para peserta ditambah baik dan mereka menggunakan pendekatan yang piawai untuk menganalisis makanan.

Bengkel dimulakan dengan syarahan pleno oleh Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan Strategik dan Standard Codex, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Ts. Zailina Abdul Majid yang berkongsikan syarahan bertajuk “Waving New Pathway in Food Analysis in Malaysia: Integrated Approach”.

Puan Ts. Zailina Abdul Majid menyampaikan syarahannya bersama-sama YBrs. Profesor Madya Dr. Hasnah Haron selaku moderator.

Syarahan pleno kedua mengenai ISO/IEC 17043:2023 – What’s New telah disampaikan oleh Encik Roslan Alias dari Jabatan Standard Malaysia.

Encik Roslan Alias ketika berkongsikan sesi syarahannya bersama-sama moderator, YBrs. Dr. Siti Nur Nazathul Shima Hashim.

Syarahan tentang “Multidimensional Separation for Improved Analysis of Volatile Compounds in Your Food Samples” pula telah disampaikan oleh YBrs. Profesor Dr. Philip Marriot dari Monash University, Australia.

Sesi syarahan oleh YBrs. Profesor Dr. Philip Marriot bersama-sama moderator, Puan Li Hui Ling.

YBrs. Profesor Dr. Nyam Kar Lin dari Universiti UCSI pula memberikan syarahan tentang “Recent Advances in Encapsulation Technologies: A Tool for Functional Foods Development”.

YBrs. Profesor Nyam Kar Lin ketika berkongsikan syarahannya bersama-sama moderator, YBrs. Profesor Amin Ismail.

Selepas sesi syarahan, sebanyak enam sesi pembentangan daripada para pembentang telah diadakan yang membincangkan topik tentang “Methods Validation”, “Food Analysis”, “Advanced Food Analysis”, “Food Microbiology”, “Proficiency Testing” dan “Reference Materials”.

Pada sesi akhir bengkel turut diadakan sesi perbincangan mengenai hasil analisis PT4 yang diedarkan dalam bengkel pada tahun lalu.

Bengkel yang dianjurkan ini telah ditaja oleh tujuh syarikat, iaitu MyCO2, Gerhardt Malaysia Sdn. Bhd., Waters Analytical Instruments Sdn. Bhd., Bruker Singapore Pte. Ltd, Sartorius Malaysia Sdn. Bhd., Agilent Technologies Singapore (sales) Pte Ltd dan BMS Diagnostics (M) Sdn. Bhd.

Syarikat MYCO2 dan Gerhardt Malaysia Sdn. Bhd.
BMS Diagnostics (M) Sdn. Bhd. dan Waters Analytical Instruments Sdn. Bhd.
Agilent Technologies Singapore (sales) Pte Ltd dan Sartorius Malaysia Sdn. Bhd.

 

Bruker Singapore Pte. Ltd.

Dalam Majlis Penutup Bengkel APFAN 2024, pemenang APFAN Howard Bradbury Award 2024 telah diumumkan dan Encik Graham Craven selaku pengasas APFAN telah memenangi anugerah tersebut.

Sebagai rekod, beliau telah memberikan sumbangan secara peribadi dan profesional, terutamanya dalam dua dekad pertama apabila APFAN masih dalam proses menentukan peranannya serta melalui pengurusan dan pelibatannya dalam bengkel APFAN bagi memastikan kualiti dalam menganalisis makanan.

Sumbangan beliau telah membawa kepada pengiktirafan APFAN sebagai rangkaian antarabangsa dan organisasi latihan, bukan sahaja di rantau Asia Pasifik malah di negara Afrika dan Timur Tengah.

Selain anugerah berkenaan, sebanyak tiga hadiah bagi kategori poster terbaik telah diberikan kepada para pemenang, iaitu Puan Azuha Ishak (johan), YBrs. Dr. Jutathip Lapviboonsuk (naib johan) dan Encik Muhamad Anwar Rasyid (ketiga).

Turut hadir dalam bengkel berkenaan ialah YBrs. Dr. You Yee Xing yang mewakili Pengerusi H-Care.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi