Diterbitkan pada 12 Julai 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jitra – Lebih daripada 80 orang pelajar politeknik dan kolej komuniti dari seluruh Malaysia berkampung di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) untuk menyertai Program Refleksi Afektif, Rasional Emosi (R.A.R.E.) POLYCC bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai emosi, kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi.

Program yang berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 9 Julai 2024 hingga 11 Julai 2024 itu dianjurkan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan dikelolakan oleh POLIMAS di bawah kluster psikologi.

Peserta program tersebut terdiri daripada Pembimbing Rakan Siswa Politeknik (PRSP) dan Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa Siswi Kolej Komuniti (PRISS) POLYCC.

Selain memberikan ilmu tentang strategi pemulihan, pengurusan emosi dan tekanan dalam kehidupan seharian, program berkenaan juga bertujuan mengurangkan stigma yang sering menjadi halangan kepada masyarakat yang menghadapi masalah psikologi mencari bantuan dan rawatan.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk membantu para peserta memahami dan menguruskan emosi mereka sepanjang program ini berlangsung, misalnya slot “Di Sebalik Wajah” yang diadakan bertujuan menerapkan kemahiran asas sokongan psikososial agar peserta dapat menggunakan ilmu yang diperoleh kepada masyarakat,” kata Pengarah Program, Puan Toh Shiang Lin.

Tambah beliau, slot “Menjelajah Emosi: Mengadaptasi Teknik Sokongan Psikososial dalam Realiti Moden” pula membolehkan para peserta mempelajari teknik memberikan sokongan psikososial dan mendidik komuniti menangani persepsi terhadap isu kesihatan mental.

Beliau juga berkongsikan maklumat mengenai slot “Outreach” yang memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan sokongan psikososial daripada semua lapisan masyarakat terhadap individu di sekeliling dan mempromosikan Sahabat Psychological Support Team (PST) dalam kalangan peserta.

Sementara itu, Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu dalam ucapannya berkata, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang kesihatan mental.

Ujar beliau,

Aktiviti promosi kesihatan mental telah dijalankan sejak tahun 2022 dengan penganjuran pelbagai program seperti Kesedaran Kesihatan Mental: Regards and Recharge Politeknik Zon Utara dan Zon Timur 2022 serta Psikososial Kesihatan Mental: Realiti Vs Persepsi Peringkat Kebangsaan 2023.

Jelas beliau, program R.A.R.E. POLYCC turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi termasuklah Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah; Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Kedah; Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah dan Unit Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Para peserta dalam slot “Menjelajah Emosi: Mengadaptasi Teknik Sokongan Psikososial dalam Realiti Moden.”
Slot “Outreach” bersama-sama orang awam di sekitar Jitra, Kedah.

Encik Azib Syazwan Afandi, pelajar dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberikan peluang kepadanya untuk menyertai program yang sangat bermanfaat tentang ilmu kesihatan mental dan cara untuk menangani stres dalam kehidupan seharian.

Begitu juga dengan pandangan yang diberikan oleh Alfred Rangga anak Aldwin dari Kolej Komuniti Kuching, Sarawak,

Pengalaman ini telah membuka mata saya mengenai pentingnya menguruskan emosi dan kesihatan mental. Menerusi program ini, saya dapat mempelajari banyak teknik baharu untuk menguruskan tekanan dan emosi.

Dengan adanya program seumpama ini, POLYCC berusaha untuk mengutamakan kesejahteraan psikologi warganya dan mendukung aspirasi untuk menyediakan komuniti pengajaran dan pembelajaran yang utuh dari sudut sokongan psikososial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi