Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Tinjauan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dari April hingga Jun 2024 menunjukkan bahawa lebih 50 peratus terumbu karang, khususnya di Kepulauan Taman Laut seperti Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol, Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Pemanggil, Johor sedang mengalami kelunturan secara besar-besaran.
DOF dalam satu kenyataan berkata, kelunturan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh peningkatan suhu permukaan laut dan kebanyakan terumbu karang yang terjejas berada di perairan cetek kurang daripada 10 meter.
DOF juga memaklumkan bahawa tapak berkenaan sedang dipantau rapi oleh pihaknya dan pelbagai pihak untuk mengesan sebarang perubahan dalam situasi kelunturan.
Kelunturan karang merupakan tindak balas semula jadi karang terhadap tekanan alam sekitar dan apabila tertekan, batu karang mengeluarkan alga mikroskopik yang dipanggil zooxantela, berwarna cerah, hidup dalam tisu karang dan memberikan karang makanan.
Tambah DOF, kelunturan ini menyebabkan batu karang menjadi putih, sekali gus mengakibatkan rupa karang itu kelihatan “luntur”.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa kelunturan secara besar-besaran merujuk kelunturan berskala besar pelbagai spesies karang di kawasan yang luas yang biasanya disebabkan oleh kenaikan suhu air laut yang melebihi paras purata normal suhu tahunan.
Menurut DOF, peristiwa kelunturan karang yang ketara berlaku di Malaysia pada tahun 1998, tahun 2004, tahun 2010, tahun 2014 hingga tahun 2016 serta keadaan ini menjadi lebih kerap pada tahun yang seterusnya berdasarkan suhu air laut global.
Kelunturan karang merupakan ancaman besar kepada kesihatan terumbu karang kerana memberikan impak yang serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di negara ini.
Jelas DOF, terumbu karang ialah ekosistem penting yang menyediakan habitat dan tempat pembiakan hingga satu pertiga daripada spesies marin dan nilai ekonomi Taman Laut yang sebahagian besarnya dikelilingi ekosistem terumbu karang berjumlah RM8.7 bilion setahun melalui pelbagai perkhidmatan ekosistem.
DOF telah mengeluarkan amaran pada 1 April 2024 kepada semua pejabat perikanan negeri untuk memantau keadaan terumbu karang dan melaporkan sebarang tanda kelunturan karang.
Pada masa yang sama, DOF turut menggesa semua pihak melaporkan apa-apa kemunculan kelunturan karang dan pihaknya juga telah bekerjasama dengan wakil dari Sabah dan Sarawak, penyelidik tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menubuhkan Malaysia Coral Bleaching Response Committee (MCBRC) bagi mengumpulkan maklumat dan mengambil tindakan terhadap kelunturan karang yang berlaku.
Ujar DOF, jika kelunturan melebihi 80 peratus, tindakan intervensi pengurusan lanjut mungkin dijalankan termasuklah sekatan akses sementara untuk melindungi terumbu karang yang terjejas.
Walau bagaimanapun, DOF memberikan jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa gangguan kepada aktiviti pelancongan yang disebabkan oleh intervensi pengurusan ini akan diminimumkan.
Hal ini bagi mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh terumbu karang yang sudah lemah serta memastikan kelangsungan hidup organisma marin berkepentingan ini pada masa hadapan.
DOF juga menyeru kepada semua pihak untuk membantu meminimumkan kesan kelunturan karang termasuklah pengusaha pelancongan di Kepulauan Taman Laut yang digalakkan untuk mengawal jumlah pelancong yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air bagi mengurangkan tekanan terhadap terumbu karang.
Sementara itu, pelancong pula harus mengelak ke kawasan yang sesak, tidak melakukan sebarang sentuhan fizikal kepada batu karang semasa aktiviti air, membuang sisa sampah dengan betul dan melaporkan penemuan kelunturan karang kepada DOF atau pihak berkuasa yang berkaitan.
DOF dan MCBRC juga akan terus memantau terumbu karang dan menjejaki perkembangan peristiwa kelunturan dari semasa ke semasa serta pelan tindakan dan maklumat berkaitan dengan hal ini akan diberikan apabila telah disediakan.