Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak telah meraih dua pingat emas, tiga pingat perak dan tujuh anugerah khas dalam European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2024 yang diadakan di Romania pada 6 Jun 2024 hingga 8 Jun 2024 lalu.
Pasukan yang diketuai oleh Encik Muhammad Nabil Abdullah selaku guru penasihat kumpulan itu mempersembahkan lima inovasi dan dua daripadanya telah berjaya meraih pingat emas, iaitu Innovative High-temperature Sn-10Cu-xln Solder Alloys for Advanced Power Electronics Applications dan Lo-EM Hydroxyapatite Ceramics: Fabrication of Monoclinic Hydroxyapatite Ceramics at Lower Energy Consumption.

“Ini merupakan kali pertama pasukan ini memenangi anugerah sebanyak ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan SBP Integrasi Gombak atas sokongan yang diberikan kepada pasukan ini untuk menyertai pertandingan tersebut,” kata Encik Muhammad Nabil Abdullah dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Ketika ditemu bual, beliau berpendapat bahawa guru perlu memberikan peluang kepada pelajar untuk mempamerkan kebolehan dan bakat mereka.
Ujar beliau,
Kejayaan ini akan memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang inovasi dan saya merancang untuk membawa pelajar lain juga untuk menyertai pertandingan seumpama ini pada masa akan datang.
Menurut beliau, proses kajian yang dijalankan sangat mendalam kerana projek yang dihasilkan berteknologi tinggi sehingga menyebabkan mereka perlu mendapatkan bantuan dari Universiti Malaysia Perlis.
Para pelajar SBP Integrasi Gombak yang terlibat juga berkesempatan mempersembahkan tarian tradisional seperti canggung dan zapin semasa pertandingan tersebut berlangsung, sekali gus membolehkan mereka meraih Anugerah Delegasi Antarabangsa.

Dalam pertandingan tersebut, sebanyak 650 inovasi dari 34 buah negara telah dipertandingkan.