Diterbitkan pada 26 Jun 2024, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Forensik yang dianjurkan sejak tahun 2019 mendapat sambutan memberangsangkan dari tahun ke tahun.

Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan (NSA), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris berkata, sebanyak 580 kumpulan telah menyertai Pertandingan Pemburuan Maya STEM Forensik yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori 12 tahun ke bawah dan kategori 13 tahun ke atas.

Pengerusi NSA, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Pertandingan STEM Forensik 2024 secara dalam talian.

“Pertandingan Pemburuan Maya STEM Forensik ini memberikan pengalaman unik dan mencabar kepada para peserta yang mengambil bahagian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Pertandingan STEM Forensik 2024 secara dalam talian.

Pertandingan menulis puisi sains pula melibatkan peringkat sekolah menengah dan terbuka bagi memberikan peluang kepada para peserta untuk meluahkan kreativiti dan bakat mereka dalam seni penulisan.

Ujar beliau,

Segala ilmu yang diperoleh dalam pertandingan ini diharapkan dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan dalam kehidupan serta berupaya menarik lebih banyak individu untuk meminati bidang STEM.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika merasmikan majlis tersebut berkata, beliau dimaklumkan terdapat peningkatan jumlah penyertaan bagi Pertandingan STEM Forensik yang memasuki kali keempat penganjurannya.

Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Pertandingan STEM Forensik 2024 dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Katanya,

Hal ini menunjukkan sains forensik merupakan bidang yang sangat menarik dalam pembelajaran STEM selain memberikan pendedahan kerjaya dalam bidang STEM kepada masyarakat.

Semoga pertandingan ini terus dianjurkan kerana program seumpama ini berupaya memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Dalam majlis tersebut juga telah diumumkan pemenang bagi Pertandingan Pemburuan Maya STEM Forensik kategori 12 tahun dan ke bawah, iaitu tempat pertama telah dimenangi oleh Kumpulan Kd Kid 3 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kanchong Darat, tempat kedua pula disandang oleh Kumpulan Mission Impossible dari SK Saint Joseph, Johor Bahru dan Kumpulan Merlisa Forensic Investigator (MFI) dari SK Merlimau Satu memperoleh tempat ketiga.

Manakala, bagi kategori 13 tahun ke atas, tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan Fourerro dari Kolej PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, tempat kedua menjadi milik Kumpulan Project Aftermath dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya dan Kumpulan Feng Shui dari SMK Taman Rinting 2 pula memenangi tempat ketiga.

Pertandingan Menulis Puisi Sains bagi kategori sekolah menengah pula telah dimenangi oleh Shahzrilairellaiman Samsulzamalanuar dari SMK Tengku Aris Bendahara, Johor dengan puisi beliau bertajuk “Forensik Langka dalam Mendepani Arus Globalisasi”, tempat kedua disandang oleh Nurul Qisya Erina Saruadli dari Sekolah Menengah Convent Sentul, Kuala Lumpur dengan tajuk puisi “Digital Forensik” dan Rishhi Naidu A/L Sathikumar Naidu dari SMK Mutiara Rini, Johor dengan tajuk puisinya “Kata-kata Penyajak Abad ke-21” pula memenangi tempat ketiga.

Seterusnya, bagi kategori terbuka Pertandingan Menulis Puisi Sains, tempat pertama disandang oleh Mohammad Adly Hakimi Sahaimi dari Kelantan dengan puisi beliau yang bertajuk “Langit Terbuka: Jenayah Siber”, tempat kedua dimenangi oleh Amelia Ahmad Khalili dari Johor dengan puisinya “Wira Tanpa Wajah” dan Mohd Fadzly Hj. Miswan dari Angkatan Tentera Malaysia, Sarawak yang mempertaruhkan puisi “Merentas Jaringan Penipuan” memenangi tempat ketiga.

Pertandingan ini dianjurkan oleh DBP bersama-sama pihak NSA dengan kerjasama STEM UNISEL dan tema yang dipilih bagi pertandingan tahun ini ialah “Forensik Digital”.

Majlis Penutupan dan Pengumuman Pemenang Pertandingan STEM Forensik 2024 tersebut disiarkan secara dalam talian melalui YouTube STEM UNISEL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi