Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPengkomposan merupakan kaedah mengitar semula sisa buangan dapur atau sisa daripada ladang tanaman atau ternakan. Pengkomposan boleh dilakukan dengan menggunakan pelbagai bahan yang mudah didapati di sekitar rumah.
Pengkomposan memberikan impak yang besar kepada alam sekitar, terutamanya kepada sumber makanan manusia seperti mengurangkan penggunaan baja kimia untuk menyuburkan tanaman. Kompos berperanan sebagai perapi tanah dan mampu memperbaik struktur tanah yang kurang baik dan mengurangkan aktiviti larut resap di dalam tanah.
Kompos bertindak dengan melepaskan nutrien dalam kuantiti yang sedikit dan perlahan pada satu-satu masa serta boleh bertahan dalam tempoh yang lama di dalam tanah, namun bergantung pada jenis media tanaman dan amalan pengairan di sesuatu kawasan. Selain itu, pembuangan sisa dapur yang dimanfaatkan sebagai kompos, jika dilakukan secara konsisten boleh menjadi sumber pendapatan sampingan kepada isi rumah.
Antara bahan yang sesuai dijadikan kompos termasuklah sisa sayuran, sisa tanaman seperti batang dan daun jagung, kulit buah-buahan, daun kering, kulit telur, kulit bawang, sisa siangan ikan, hampas serbuk teh dan kopi, sabut kelapa, nasi, bihun, mi dan lain-lain lagi. Namun begitu, terdapat juga sisa buangan makanan yang tidak sesuai untuk dijadikan sebagai kompos seperti kulit buah-buahan dan sisa tanaman yang tebal dan keras seperti kulit durian dan hampas tebu, serta cangkerang makanan laut seperti ketam dan kerang. Hal ini dikatakan demikian kerana bahan tersebut akan mengambil masa yang agak lama untuk mengalami proses pereputan dan penguraian nutrien. Bahan lain seperti tandan sawit dan tulang “gearbox” juga kurang sesuai sebagai bahan pengkomposan.
Kompos yang sudah matang boleh dikenal pasti dengan ciri seperti berwarna gelap dan tidak berbau. Ciri lain termasuklah kompos mempunyai tekstur yang lembut, ringan serta sisa bahan yang digunakan sudah tidak dapat dicamkan lagi.
Terdapat dua jenis kaedah pengkomposan, iaitu pengkomposan aerob (aerobic composting) dan pengkomposan anaerobik (anaerobic composting). Melalui kaedah pengkomposan aerob, mikroorganisma pengurai akan hidup dalam persekitaran yang kaya dengan oksigen sehingga dapat menguraikan bahan organik menjadi kompos yang tidak berbau.
Sementara itu, melalui kaedah pengkomposan anaerobik, mikroorganisma terlibat akan hidup dalam persekitaran terhad udara dan menjalankan proses penguraian bahan organik sehingga menghasilkan gas metana. Sudah pasti hasil pengkomposan melalui kaedah ini akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Sebaiknya, bahan pengkomposan terdiri daripada -bahan berwarna hijau dan perang untuk menyokong mekanisma pengkomposan oleh bakteria aerobik dan anaerobik. Bahan berwarna hijau merupakan sumber unsur nitrogen yang membantu pertumbuhan dan pembiakan mikroorganisma, manakala bahan berwarna perang merupakan sumber unsur karbon yang menjadi sumber tenaga kepada mikroorganisma yang terlibat.
Unsur nitrogen boleh ditemukan dengan mudah dalam bahan seperti sisa sayuran dan kulit buah, rumput segar, daun hijau, rumpai, hampas serbuk teh, najis haiwan seperti ayam dan lembu dan rumpai laut. Bahan yang mengandungi unsur karbon pula adalah seperti daun kering, habuk kayu, jerami, kadbod atau surat khabar, serpihan kayu, kulit kayu, batang jagung dan rumput kering. Seelok-eloknya elakkan daripada menggunakan rumpai yang masih terdapat biji benih padanya serta najis anjing dan kucing kerana dikhuatiri mengandungi agen penyakit.
Terdapat pelbagai kaedah pengkomposan yang biasa diamalkan oleh penggemar kompos. Antaranya termasuklah pengkomposan menggunakan pasu atau pot composting. Kaedah ini merupakan antara kaedah yang paling popular dan mudah untuk dilaksanakan.
Pada kebiasaannya, sisa dapur seperti sisa sayuran dan buah akan dimasukkan ke dalam pasu bersama-sama sedikit campuran tanah sebelum disiram dengan air. Bahan tersebut kemudiannya dibiarkan sehingga mereput sepenuhnya sekurang-kurangnya satu bulan hingga dua bulan sebelum boleh digunakan. Campuran lebihan makanan, daging dan produk tenusu adalah kurang sesuai dimasukkan untuk mengelakkan bau busuk, terutamanya pada awal proses pengkomposan.
Pengkomposan dengan menggunakan beg plastik atau plastic bag composting pula biasanya menggunakan beg plastik sampah bewarna hitam. Kaedah pengkomposan ini juga mudah kerana hanya perlu memasukkan sisa sayuran dan buah ke dalam plastik sampah dan diikat dengan rapat sebelum dibiarkan bahan mereput.
Bahan tersebut kemudiannya akan bertukar menjadi kompos sekurang-kurangnya selepas enam bulan. Masa yang diambil untuk proses ini juga agak panjang berbanding dengan kaedah pengkomposan menggunakan pasu kerana pengkomposan dilakukan oleh bakteria anaerobik dan kandungan udara dalam plastik adalah terhad.
Vermikompos atau pengkomposan daripada cacing tanah merupakan satu kaedah daripada pengkomposan yang pernah menjadi fenomena dalam sektor pertanian pada suatu ketika dahulu. Pada kebiasaannya, cacing tanah dari spesies Perionyx excavatus (cacing biru) digunakan. Spesis ini juga dikatakan gemar kepada makanan berunsurkan najis haiwan.
Selain itu, cacing dari spesies Eudrilus eugeniae atau lebih dikenali sebagai African nightcrawler yang berasal daripada Afrika Barat juga antara spesies cacing yang popular untuk dijadikan agen pengkomposan. Antara bahan yang disarankan penggunaannya untuk vermikompos termasuklah sisa dapur seperti sayuran, buah-buahan dan kulit telur, selain sisa laman seperti keratan rumput dan dedaunan gugur. Di samping itu, sisa ladang seperti batang jagung dan jerami padi serta sisa kandang seperti tahi lembu dan tahi kambing juga sangat sesuai digunakan sebagai sumber makanan cacing.
Tempoh penghasilan vermikompos yang berkualiti adalah antara empat bulan hingga enam bulan. Penggunaan baja tahi cacing atau casting dilaporkan dapat menambahkan kesuburan tanah dan tanaman, menggemburkan tanah dan meningkatkan daya tahan tanaman terhadap serangan serangga perosak dan penyakit.
Satu lagi kaedah pengkomposan yang mendapat perhatian kini ialah Takakura Home Method, iaitu pengkomposan menggunakan bekas berongga untuk mengubah sisa makanan kepada kompos. Kaedah yang diperkenalkan oleh Profesor Koji Takakura dari Jepun ini dapat dihasilkan dengan mudah, menggunakan kos modal yang rendah dan proses penguraian yang lebih cepat berbanding dengan kaedah pengkomposan yang lain, iaitu sekurang-kurangnya dua minggu sahaja. Melalui kaedah ini, larutan penapaian yang terdiri daripada tempe, gula merah, air dan medium penguraian yang terdiri daripada tanah dan dedak ayam perlu disediakan terlebih dahulu, sebelum dicampurkan dan disimpan di dalam bekas simpanan yang bertutup dan mempunyai rongga udara.
Sebagai kesimpulannya, kaedah penghasilan kompos yang sangat mudah secara tidak langsung berperanan besar dalam melestarikan alam sekitar. Jika sisa buangan dapur, ladang tanaman dan ternakan diuruskan dengan betul, sudah pasti sedikit sebanyak dapat membantu usaha pelbagai pihak dalam menguruskan sisa buangan tersebut. Tindakan ini juga dapat memberikan manfaat kepada ekosistem negara, terutamanya dari segi pengurangan pencemaran tanah dan sumber air bawah tanah. Ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai, ayuh, kita laksanakan perubahan bersama!
Ts. Dr. Masitah Ab. Jalil,
Ketua Program Sarjana Muda Industri Pertanian (Kepujian),
Jabatan Teknologi Maklumat,
Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat,
Universiti Sultan Azlan Shah.