20 Jun 2024, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada ketika ini, landskap dan ruang pendidikan sedang mengalami anjakan transformatif dengan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai sudut. Sistem AI ini menawarkan banyak faedah dan kelebihan, termasuklah laluan pembelajaran yang boleh diperibadikan mengikut kesesuaian pelajar, maklum balas masa nyata yang menguntungkan dan penilaian penyesuaian mengikut waktu yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, di tengah-tengah kepesatan teknologi dalam bidang pendidikan, terdapat satu elemen penting dan berisiko yang sering diabaikan, iaitu kecerdasan emosi atau emotional quotient (EQ). EQ merujuk keupayaan untuk memahami, menggunakan dan mengurus emosi sendiri dengan cara yang positif dalam mencapai matlamat dan membina hubungan interpersonal atau intrapersonal yang kukuh.

Dalam suasana ruang pembelajaran secara tradisional, memupuk EQ merupakan komponen teras pengajaran yang berkesan dan utama. Namun demikian, apabila teknologi AI menjadi semakin berkembang dan menelusuri dalam ruang pendidikan, penyatupaduan EQ menjadi satu daripada cabaran yang mendesak dalam bidang ini.

Cabaran

Walaupun kemampuan teknologi AI dalam mencipta, merekod dan mempelbagaikan potensi pembelajaran berkembang pesat, masih terdapat ruang kelemahan serta batasan yang wujud dalam bidang emosi. Teknologi reka bentuk AI hingga kini masih berjuang untuk memahami struktur emosi pelajar.

Perisian pengecaman muka, misalnya, apabila berlaku kesilapan seperti menterjemahkan pergerakan kening pelajar yang berkerut semasa memberikan tumpuan digambarkan sebagai kekecewaan. Hal ini secara tidak langsung memberikan impak yang berbeza dari sudut emosi pelajar itu sendiri.

Kesan emosi tersebut akan direkodkan dan diterjemahkan sebagai kegagalan bagi pelajar tersebut. Oleh hal yang demikian, apabila kekurangan EQ sebegini berlaku, masalah tersebut boleh menyebabkan beberapa cabaran dalam ruang pembelajaran yang ditunjangi oleh teknologi AI. Tiga cabaran utama dalam hal ini ialah:

  • Prasangka dan pengasingan

Apabila setiap keadaan pembelajaran terlalu bergantung pada arahan dan olahan yang dipacu teknogi AI, keadaan tersebut secara tidak langsung boleh mewujudkan rasa berprasangka serta pengasingan emosi yang kuat dalam diri pelajar. Hubungan dua hala antara pelajar dengan pengajar atau pelajar dengan pelajar merupakan aspek penting dalam memupuk serta menyemai motivasi dan pelibatan dalam setiap aktiviti pembelajaran.

Nilai emosi dan keterlibatan pelajar mungkin hilang dalam persekitaran yang dipacu oleh AI semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana sebagai seorang pelajar mahupun pengajar, mereka sentiasa mendambakan interaksi, empati dan galakan dalam setiap ruang dan interaksi dalam pembelajaran. Disisi inilah teknologi AI dilihat tidak berupaya menggantikan keupayaan emosi yang tulen daripada sifat manusiawi yang ada untuk diserapkan dalam ruang dan kualiti persekitaran pembelajaran.

  • Persepsi ketidaksamaan

Algoritma yang dipacu oleh AI hanya akan berfungsi dengan baik apabila diberikan arahan tertentu mengikut spesifikasi yang diperlukan. Kecenderungan yang terdapat dalam set data yang digunakan untuk melatih sistem algoritma AI boleh menyebabkan penilaian yang tidak adil dan mengekalkan ketidaksamaan pembelajaran yang sedia ada. Pelajar daripada latar belakang yang kurang bernasib baik mungkin akan lebih terpinggir jika platform dipacu AI gagal mengenali gaya pembelajaran yang unik dan kesesuaian perubahan emosi mereka.

  • Pengabaian emosi

Apabila setiap sudut pembelajaran memberikan tumpuan pada pembangunan kemahiran kognitif melalui teknologi yang dipacu AI, hal ini secara tidak langsung akan mengabaikan perkembangan EQ dalam kalangan pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang. Tanpa bimbingan tentang cara menguruskan emosi mereka, pelajar mungkin bergelut dengan kekecewaan, kebimbangan dan kesukaran dalam bersosial yang akan menghalang keseluruhan pengalaman pembelajaran sejak dari awal lagi.

Peranan AI dan EQ dalam Pendidikan

Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam mengimplementasikan teknologi AI dalam pembelajaran, teknologi A juga mampu menjadi teknologi bantuan yang berkuasa serta berkesan dalam memupuk serta membentuk EQ pelajar. Kelebihan ini secara tidak langsung membolehkan pelajar mengimbangi dan merasai keperluan teknologi dalam membentuk ruang pembelajaran yang diperibadikan buat mereka.

Terdapat beberapa cara teknologi AI mampu memperkembang EQ pelajar sekiranya diguna pakai dengan cara betul. Antaranya termasuklah:

  • Sokongan yang diperibadikan

Dengan sokongan teknologi dan platform AI yang berkemampuan untuk menganalisis data prestasi serta kecemerlangan pelajar, maklumat ini dapat memberikan data yang boleh digunakan oleh pengajar. Data tersebut membolehkan pengajar mengenal pasti cabaran emosi yang mungkin memberikan kesan kepada pelajar dalam sessi pembelajaran semasa.

Data tersebut juga digunakan oleh pengajar untuk menyediakan sokongan dan strategi yang diperibadikan untuk mengurus emosi bagi menghalang pertumbuhan pembelajaran pelajar yang terbantut. Dengan cara ini, pengajar dapat menjimatkan masa dalam menganalisis setiap pelajar yang berhadapan dengan tekanan secara manual.

  • Aplikasi pembelajaran berorientasikan sosial–emosi (SEL)

Terdapat beberapa platform pembelajaran yang dikuasakan oleh teknologi AI yang boleh menyampaikan modul SEL secara interaktif. Aplikasi ini akan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang perbendaharaan kata emosi, teknik kawal selia kendiri dan kemahiran interaksi sosial.

Aplikasi sebegini boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus setiap pelajar bergantung pada data pelajar yang dianalisis oleh pengajar. Hal ini secara tidak langsung boleh dilihat sebagai pilihan dalam menguasai EQ pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Aplikasi seperti Classcraft yang memfokuskan kelakuan pembelajaran secara gamifikasi, Everyday Speech yang memberikan tumpuan kepada kemahiran bersosial dan Panorama Education yang mengetengahkan kurikulum berdasarkan bukti boleh dijadikan sebagai pemulaan untuk pengajar meneroka kaedah SEL.

  • Pengesanan empati

Pengesanan empati ialah bidang yang cuba menganalisis tingkah laku manusia untuk memahami sejauh mana seseorang itu melihat dan bertindak balas terhadap emosi orang lain. Analisis ini boleh dicapai melalui pelbagai kaedah.

Teknik analisis pertuturan seperti analisis sentimen boleh digunakan pada teks bertulis atau perbualan lisan untuk mengenal pasti bahasa empati. Perisian pengecaman muka boleh mengenal pasti ekspresi muka yang mungkin menunjukkan empati. Selain itu, data fisiologi boleh diperoleh daripada penderia biometrik yang menjejaki tindak balas fizikal seperti kadar denyutan jantung atau peluh yang boleh dikaitkan dengan keadaan emosi.

Aplikasi potensi pengesanan empati adalah luas, terutamanya dalam bidang pendidikan. Pengajar boleh menggunakan alat ini untuk menentukan pelajar yang menghadapi masalah dengan isyarat atau emosi sosial dan seterusnya membolehkan intervensi tersebut disasarkan. Pengajar juga boleh memanfaatkan pengesanan empati untuk menilai keadaan emosi pelajar dan menyesuaikan pendekatan mereka dengan sewajarnya.

Isu Terkini dan Pertimbangan Semasa

Terdapat tiga isu utama dalam membicarakan integrasi AI dan EQ dalam bidang pembelajaran pada masa ini.

  • Tenaga pengajar yang terlatih

Bagi melihat kesimbangan dan kebolehupayaan teknologi AI dalam pembelajaran, tenaga pengajar terlebih dahulu memerlukan latihan yang mencukupi tentang cara memanfaatkan dan menyelaraskan teknologi AI dalam menyokong pembangunan EQ dalam kalangan pelajar. Latihan ini harus melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menterjemahkan data AI, memperibadikan arahan berdasarkan keperluan emosi dan mewujudkan persekitaran bilik darjah yang menyokong dan melengkapkan pembelajaran yang dipacu teknologi AI.

Tanpa latihan dan pendedahan yang mencukupi buat tenaga pengajar, ruang atau subjek pembelajaran akan menjadi tidak selaras dan tidak membantu pelajar untuk bergerak lebih jauh ke hadapan. Tindakan ini juga sekaligus memberikan kesan kepada EQ pada masa akan datang.

  • Data peribadi dan keselamatan

Apabila sistem dan teknologi AI diberikan kepercayaan untuk mengumpulkan data pelajar dalam pelbagai bentuk, kebimbangan mengenai kebocoran maklumat peribadi dan keselamatan data perlu menjadi subjek utama.

Dalam hal ini, satu garis panduan serta etika yang jelas berserta dengan langkah keselamatan data yang kuat amat diperlukan. Hal ini adalah penting untuk memastikan bahawa penggunaan data pelajar adalah selamat dan tidak dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

  • Pendekatan berpusatkan manusia

Aplikasi AI hanya boleh menganalisis tingkah laku pelajar dan mengenal pasti kawasan berpotensi mereka yang mungkin menghadapi masalah dengan emosi atau isyarat sosial. Walau bagaimanapun, aplikasi ini tidak dapat meniru perbezaan dan pemahaman yang boleh dibawa oleh pengajar yang dalam dirinya terdapat jiwa dan pemikiran yang semula jadi.

Tenaga pengajar yang mahir boleh memberikan sokongan emosi dan bimbingan secara berterusan seperti yang disasarkan. AI juga harus dilihat sebagai alat berharga yang boleh meningkatkan keupayaan pengajar untuk menyokong perkembangan sosial dan emosi pelajar serta tidak menggantikan elemen semula jadi manusia.

Sebagai kesimpulannya, masa hadapan pendidikan kini memerlukan hubungan simbiotik antara AI dengan kepakaran manusia. AI menawarkan teknologi yang berkuasa untuk pembelajaran yang diperibadikan selain menyesuaikan arahan dengan keperluan individu.

Walau bagaimanapun, tugas pengajaran akan tetap digalas oleh manusia yang tidak boleh digantikan dalam memupuk EQ. Dengan menggabungkan kekuatan AI dan EQ, manusia boleh memupuk pengalaman pembelajaran secara holistik dan mewujudkan persekitaran yang ideal untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan kematangan emosi yang diperlukan sebagai seorang manusia dalam mengharungi cabaran dunia yang kini semakin kompleks.

Untuk mencapai gabungan harmoni ini, pendekatan serampang dua mata amatlah diperlukan. Pertama, pelaburan berterusan dalam latihan tenaga pengajar secara sistematik adalah penting. Mereka mesti dilengkapi dengan latihan yang fleksibel serta berdaya saing bagi memanfaatkan teknologi AI secara berkesan dan menyepadukan dengan lancar ke dalam amalan pedagogi mereka.

Kedua, pembangunan rangka kerja etika yang mantap untuk AI dalam pembelajaran adalah penting. Rangka kerja ini harus mengutamakan privasi pelajar, keselamatan data dan keadilan dalam pembangunan algoritma.

Dengan memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dan beretika, kita boleh memperkasakannya untuk menjadi kuasa transformatif dalam pembelajaran. Matlamat utama adalah untuk memupuk setiap pelajar yang serba lengkap yang memiliki bukan sahaja kehebatan akademik, malah EQ untuk mengharungi cabaran dan peluang dalam dunia moden yang terbuka luas.

 

Khairul Yusri Zamri merupakan Pensyarah Kanan dan Pengarah Program di Taylor’s University dalam bidang reka bentuk ruangan interaktif (interactive spatial design). Beliau mempunyai lebih daripada 23 tahun pengalaman dalam pembangunan reka bentuk aplikasi dan interaktif. Selain aktif dalam memberikan pandangan dan pendapat dalam bidang berkaitan teknologi pembelajaran terkini, beliau juga sering diundang sebagai juri dalam beberapa pertandingan kreatif dan inovasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.