Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeberapa bulan sebelum ini, media telah melaporkan kematian seorang bayi berusia dua bulan yang disyaki menghidap batuk kokol. Berita ini sangat mendukacitakan kerana batuk kokol atau dikenali sebagai pertusis merupakan satu daripada penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui suntikan vaksin.
Suntikan vaksin pertusis telah dimasukkan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan. Suntikan ini harus diberikan kepada bayi mengikut sela masa yang disarankan.
Keciciran mendapatkan vaksinasi mungkin berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya termasuklah kurangnya kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan vaksinasi dalam mencegah penyakit tertentu. Hal ini harus diberikan perhatian sewajarnya agar risiko penularan penyakit cegahan vaksin dapat dikurangkan, sekali gus mengelakkan insiden kematian yang sama daripada berulang.
Vaksinasi dan Imuniti Kelompok
Secara umumnya, vaksinasi atau proses pemberian vaksin adalah untuk meningkatkan daya ketahanan badan seseorang melalui penghasilan antibodi. Antibodi terhadap sesuatu penyakit cegahan vaksin terhasil daripada rangsangan yang dicetuskan oleh kehadiran antigen yang terdapat di dalam vaksin.
Antigen ini mungkin merupakan sebahagian atau seluruh komponen bakteria atau virus yang menyebabkan penyakit tersebut. Antibodi yang terhasil akan menyimpan memori agar sistem ketahanan badan bersedia untuk mencegah penyakit yang sama pada masa akan datang.
Pemberian vaksin kepada seseorang bukan sahaja untuk melindungi individu tersebut daripada mengalami sesuatu penyakit, malah berperanan untuk mengelakkannya daripada menyebarkan penyakit kepada orang lain. Perkara inilah yang menerangkan konsep imuniti kelompok.
Secara ringkasnya, imuniti kelompok bermaksud imuniti yang terhasil apabila sebahagian besar individu dalam sesuatu komuniti telah mempunyai perlindungan daripada sesuatu penyakit berjangkit melalui proses vaksinasi.
Kepentingan Imuniti Kelompok
Imuniti kelompok diperlukan untuk melindungi sekumpulan kecil individu yang tidak boleh mendapat suntikan vaksin kerana faktor tertentu. Mereka ini termasuklah individu yang mempunyai tahap ketahanan badan yang lemah akibat penyakit lain yang dihidapi atau pengambilan sesetengah jenis ubat-ubatan seperti pesakit kanser dan individu yang dijangkiti oleh human immunodefiency virus (HIV). Beberapa keadaan lain seperti kehamilan dan alahan terhadap vaksin juga menyebabkan suntikan vaksin tidak dapat diberikan kepada seseorang.
Apabila imuniti kelompok berjaya dibentuk, penyakit berjangkit sukar untuk merebak dalam komuniti. Situasi ini dapat membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang diperlukan sekiranya seseorang individu dijangkiti dan perlu diberikan rawatan lanjut. Imuniti kelompok turut mengurangkan risiko berlakunya komplikasi atau kematian yang disebabkan oleh penyakit berjangkit.
Nasihat untuk Orang Awam
Untuk membentuk imuniti kelompok dalam komuniti agar setiap individu termasuklah golongan yang tidak boleh menerima vaksin dapat dilindungi daripada penyakit berjangkit, individu yang menerima suntikan vaksin perlu melepasi peratus yang tertentu. Contohnya, sebanyak 95 peratus hingga 97 peratus individu dalam komuniti harus diberikan vaksin campak (measles) untuk mewujudkan imuniti kelompok terhadap penyakit ini.
Oleh hal yang demikian, usaha untuk membentuk imuniti kelompok dalam komuniti haruslah disokong sepenuhnya, khususnya oleh ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang sedang membesar. Pastikan anak-anak menerima suntikan mengikut sela masa yang disarankan oleh Jadual Imunisasi Kebangsaan agar mereka mendapat perlindungan daripada penyakit berjangkit cegahan vaksin. Selain itu, terdapat juga beberapa vaksin lain yang disyorkan untuk disuntik oleh individu dewasa, sekiranya perlu.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi untuk mendapatkan sumber maklumat yang lebih berkredibiliti, berkualiti dan boleh dipercayai. Elakkan daripada mempercayai maklumat yang tidak sahih tentang vaksin, misalnya yang berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin yang berlegar-legar dalam media sosial.
Selain itu, orang awam tidak seharusnya terpedaya dengan maklumat yang disebarkan oleh segelintir pihak yang secara terang-terangan menolak vaksin. Golongan yang menolak vaksin berisiko untuk menyebabkan imuniti kelompok yang telah terbentuk menjadi tidak berkesan. Orang awam digesa untuk bersama-sama menolak penularan maklumat yang tidak sahih tentang vaksin yang disebarkan oleh kumpulan ini.
Sekiranya setiap individu dalam komuniti menjalankan tanggungjawab dengan memastikan diri sendiri dan ahli keluarga mendapat suntikan vaksin, penularan penyakit berjangkit dapat dihindarkan. Bukan seorang atau sebuah keluarga sahaja yang dilindungi, bahkan seluruh komuniti akan terhindar daripada bahaya penyakit berjangkit.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).
Mohd Dziehan bin Mustapa,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Dengkil,
Pejabat Kesihatan Daerah Sepang.