Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Semua pihak sama ada individu, komuniti, pihak kerajaan, swasta, industri, institusi dan pertubuhan bukan kerajaan dituntut untuk memainkan peranan dalam melindungi dan memelihara alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.

Pelbagai program seperti program kitar semula, inisiatif hijau, pemulihan sumber dan pembangunan lestari harus dilaksanakan bagi menjayakan misi mengurus alam sekitar yang bersesuaian dengan slogannya, iaitu “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Masjid Al Masyhoor, Padang Siding, Arau.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, cabaran utama dalam mengurus alam sekitar adalah berkaitan dengan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar atau angin.

Baginda bertitah,

Bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan “Land Restoration, Desertification and Drought Resilience”, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Perlis termasuklah melakukan pembersihan pantai dan kawasan sekitar, gotong-royong, ceramah, pameran, penanaman pokok dan program lain dengan tujuan memberikan impak positif kepada alam sekitar.

Pada masa yang sama, program sumbangan agihan zakat yang dianjurkan oleh MAIPs itu bertujuan menyalurkan sumbangan secara tunai kepada golongan yang kurang bernasib baik di Perlis bagi membolehkan mereka menampung keperluan harian.

DYMM Pemangku Raja Perlis berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih.

Sumbangan MAIPs berjumlah RM700.00 setiap seorang kepada 70 orang penerima dalam kalangan anak kariah Guring dan 70 orang anak kariah Ulu Pauh telah disampaikan oleh DYMM Pemangku Raja Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Para asnaf juga menerima saringan kesihatan secara percuma dari Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan berpeluang mendengar ceramah daripada pihak MAIPs yang bertemakan “Bangun Jiwa Asnaf” bagi membakar semangat mereka untuk terus bekerja keras dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Untuk rekod, isu alam sekitar telah dibincangkan buat kali pertama pada tahun 1972 melalui Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Stockholm, Sweden dan seterusnya menjadikan tarikh 5 Jun sebagai hari untuk memperingatinya dengan cara mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan dengan alam sekitar secara global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.