5 Jun 2024, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Denggi merupakan penyakit virus yang berjangkit melalui gigitan nyamuk betina Aedes yang dijangkiti oleh virus tersebut. Vektor utama yang membawa dan menyebarkan virus denggi ialah nyamuk Aedes aegypti, diikuti oleh vektor sekunder, iaitu nyamuk Aedes albopictus.

Nyamuk Aedes aegypti ialah vektor utama bagi virus denggi di kawasan bandar dan pinggir bandar, manakala nyamuk Aedes albopictus ialah vektor denggi yang penting di kawasan desa dan pinggiran hutan. Nyamuk merupakan vektor penting dalam penyebaran virus denggi kerana serangga ini menghisap darah manusia untuk penghasilan telur.

Namun demikian, hanya nyamuk betina akan menghisap darah kerana memerlukan protein daripada komponen darah untuk penghasilan telur. Oleh sebab itu, nyamuk betina merupakan pembawa kepada banyak jenis penyakit bawaan vektor seperti denggi, demam chikungunya dan zika.

Nyamuk Aedes aegypti sedang menghisap darah.

Terdapat empat jenis serotip utama virus denggi, iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Kehadiran empat jenis serotip menunjukkan bahawa virus ini terdiri daripada spesis yang sama, namun mempunyai struktur antigen yang berbeza serta berinteraksi dengan antibodi dengan menggunakan mekanisme yang sedikit berlainan. Jangkitan dengan satu daripada serotip denggi memberikan keimunan seumur hidup terhadap serotip tersebut, namun hanya selama dua bulan hingga tiga bulan imuniti terhadap serotip virus yang selain daripadanya.

Virus denggi menyebabkan demam denggi atau demam denggi berdarah yang boleh mengancam nyawa. Gejala demam denggi ialah demam, sakit kepala, sakit otot dan sendi, ruam merah di bahagian kulit, loya dan muntah serta sakit perut dan ciri-birit.

Pada kebiasaannya, demam akan berlaku pada hari ketiga selepas digigit oleh nyamuk. Gejala lain pula akan berterusan selama dua hari hingga tujuh hari. Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit boleh sembuh selepas seminggu.

Untuk pesakit yang mengalami deman denggi berdarah, pesakit akan mengalami pendarahan di bawah kulit, pendarahan gusi dan hidung, penurunan tekanan darah dan kesakitan di bahagian perut. Kehilangan darah berterusan boleh menyebabkan penyahhidratan, renjatan dan akhirnya kematian jika tidak dirawat.

Kes Denggi di Malaysia

Bermula dari 1 Januari 2024 hingga 23 Mac 2024, jumlah kes deman denggi yang dilaporkan di Malaysia adalah sebanyak 41,565 kes. Terdapat peningkatan sebanyak 15,343 kes (58.5 peratus) berbanding dengan 26,222 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2023. Jumlah kes kematian akibat deman denggi pula adalah sebanyak 28 kematian berbanding dengan 17 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Rajah 1 Kes demam denggi di Malaysia pada Minggu Epidemiologi 1 hingga Minggu Epidemiologi ke-12 pada tahun 2024.

 

Faktor penyebaran denggi

Cuaca menjadi satu daripada faktor penyebaran denggi di Malaysia. Faktor cuaca seperti suhu, taburan hujan dan kelembapan berkait rapat dengan kadar penyebaran denggi.

Kehadiran hujan sepanjang tahun mewujudkan tempat pembiakan yang sangat sesuai untuk nyamuk Aedes. Selain itu, suhu persekitaran yang panas menyumbang kepada penyingkatan masa pengeraman telur nyamuk dan kadar pembesaran larva serta mempercepatkan proses replikasi virus.

Selain itu, faktor pembandaran juga merupakan satu daripada faktor yang mempercepat kadar penyebaran denggi. Sebelum tahun 1940, virus denggi hanya merebak secara tempatan kerana saiz populasi dan komuniti yang terpencil menyebabkan penyebaran denggi menjadi perlahan.

Proses pembandaran yang tidak terancang menyebabkan pembangunan bandar dan meningkatkan kepadatan penduduk yang sangat tinggi. Kemajuan dalam sistem pengangkutan dan kepesatan bilangan penduduk di sesebuah kawasan menyebabkan virus denggi merebak dengan senang dan cepat, terutamanya dengan kehadiran vektor denggi.

Selain itu, pembangunan pengangkutan memudahkan pergerakan manusia. Hal ini juga mengakibatkan masalah denggi bertambah teruk kerana serotip virus yang berbeza boleh merebak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah.

Tambahan pula, kekurangan kesedaran terhadap pengurusan sisa pepejal dan bahan buangan mendorong kepada penularan denggi di kawasan perumahan. Sisa pepejal seperti plastik dan tayar menjadi bekas takungan air yang merupakan tempat kegemaran untuk pembiakan nyamuk Aedes.

Di samping itu, sikap sesetengah masyarakat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat, terutamanya di dalam longkang menyebabkan penyumbatan air kumbahan. Hal ini secara tidak langsung menjadi habitat larva nyamuk dan meningkatkan risiko jangkitan penyakit demam denggi.

Telur nyamuk Aedes mampu bertahan lebih kurang lapan bulan di dalam bekas kotor tanpa kehadiran air. Apabila air ataupun hujan mengisi bekas tersebut, telur akan mula menetas dan kitaran hidup akan diteruskan untuk menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh lebih kurang seminggu. Sememangnya, gaya hidup tanpa menitikberatkan kebersihan persekitaran telah menjadi satu daripada penyebab utama kepada peningkatan kes denggi, terutamanya di kawasan penduduk tempatan.

Tayar terbuang yang menjadi tempat takungan air yang sering kali menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Larva nyamuk Aedes aegypti pada peringkat L4.

Cabaran dan Usaha untuk Mencegah Wabak Denggi

Antara cabaran dalam usaha mencegah penularan wabak denggi termasuklah pelaksanaan aktiviti kawalan yang kurang berkesan. Pengawalan populasi nyamuk Aedes ialah kunci dalam menangani wabak denggi.

Namun begitu, keberkesanan kawalan vektor ini sering dipengaruhi oleh isu seperti kekurangan sumber, kesedaran masyarakat dan kepatuhan kepada amalan pencegahan. Aktiviti kawalan yang efisien dan efektif perlu dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan denggi.

Sememangnya, pengurusan kes denggi memerlukan kerjasama yang erat antara pihak kesihatan awam, sektor swasta dengan masyarakat. Pemantauan dan tindak balas yang cepat terhadap kejadian kes juga penting untuk mengelakkan penularan berleluasa.

Ketidakseimbangan pembangunan juga telah menyumbang kepada peningkatan kes denggi di Malaysia. Kawasan yang mempunyai ketidakseimbangan dalam pembangunan seperti kekurangan infrastruktur sanitasi dan sistem aliran sering menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu, kawasan yang terpinggir atau kurang mendapat capaian perkhidmatan penjagaan kesihatan mungkin menghadapi cabaran dalam mencegah, mengesan dan mengurus kes denggi dengan efektif. Hal ini menjadi lebih parah apabila kawasan tersebut kurang mendapat capaian pendidikan berkaitan kesihatan dan kesedaran awam tentang pentingnya amalan pencegahan denggi.

Pada masa yang sama, kesan ketahanan nyamuk terhadap racun serangga juga boleh menjadi kekangan dalam menangani pembiakan nyamuk Aedes. Perancangan yang kurang teratur dalam penggunaan racun serangga secara berleluasa dalam kawalan nyamuk akan memberikan kesan ketahanan terhadap nyamuk tersebut. Hal ini memberikan impak kepada pembaziran dan aktiviti kawalan yang dijalankan tidak berkesan.

Untuk mengelakkan masalah ini, pelan semburan racun serangga yang sistematik perlu dirancang secara teliti dengan menggunakan dos insektisid yang telah disarankan. Kaedah mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk serta aktiviti larviciding untuk membunuh jentik-jentik juga perlu giat dijalankan.

Malangnya, tiada ubat spesifik untuk merawat denggi dan tiada vaksin yang efektif yang diperkenalkan di Malaysia untuk melindungi daripada penyakit demam denggi. Oleh sebab itu, pencegahan merupakan kunci mengurangkan risiko jangkitan denggi.

Nyamuk sering kali bertelur di dalam bekas takungan air seperti tin kosong, tayar terpakai, botol pecah, pasu bunga dan lain-lain. Oleh sebab itu, untuk menghalang pembiakan nyamuk di sekitar rumah, bekas takungan air perlu dilupuskan serta longkang perlu sentiasa dipastikan bersih dan mempunyai aliran yang baik.

Selain itu, pencegahan jangkitan denggi boleh dilaksanakan dengan mengurangkan gigitan nyamuk. Waktu aktif nyamuk Aedes adalah antara pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi serta antara jam 5.30 petang hingga 8.30 malam.

Untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk, orang ramai digalakkan memakai pakaian lengan panjang dan seluar panjang semasa berada di luar rumah pada waktu tersebut. Cara lain yang dapat mengelakkan gigitan nyamuk adalah dengan menyapu ubat penghalau nyamuk pada kulit, menggunakan perangkap nyamuk, menggunakan kelambu semasa tidur dan menanam tumbuhan yang mempunyai fungsi menghalau nyamuk seperti serai wangi di kawasan sekitar rumah.

Selain itu, pihak kerajaan harus memberikan peruntukan kewangan yang mencukupi kerana kebanyakan program pencegahan memerlukan kos tinggi bagi pembelian racun serangga, pembelian kit ujian pengesahan denggi dan kos tenaga kerja. Pasukan Commmunication for Behavioral Impact (COMBI) merupakan pendekatan kerajaan untuk memastikan komuniti aktif dalam melaksanakan aktiviti mencegah dan mengawal denggi.

Pasukan COMBI bekerjasama dengan komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat melalui aktiviti seperti gotong-royong. Pemantauan oleh pasukan COMBI juga merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat serta menggerakkan mereka dalam menangani masalah denggi.

Sebagai kesimpulannya, masyarakat harus lebih peka akan kepentingan mengatasi denggi demi kesihatan komuniti. Program pemantauan dan kawalan vektor yang berkesan harus dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan awam dengan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat.

Kerjasama bersepadu antara kementerian, jabatan dengan masyarakat mestilah diperkasakan. Inisiatif yang proaktif dan berkekalan mengikut bidang kuasa masing-masing adalah sangat penting dalam usaha pencegahan dan kawalan denggi di Malaysia. Melalui pendekatan holistik ini, kes denggi diharapkan dapat dikurangkan dengan lebih berkesan di samping menggalakkan budaya pencegahan dalam kalangan masyarakat.

 

Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam, pensyarah kanan dalam bidang parasitologi dan entomologi perubatan di Program Sains Bioperubatan, Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lim Jia Le, pelajar Sains Bioperubatan di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.