21 Mei 2024, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Bengkel Pemantapan Teknik Penulisan Artikel Majalah anjuran Bahagian Pengurusan Maklumat, Unit Penerbitan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Nuklear Malaysia bertujuan meningkatkan kemahiran penulisan rencana dalam kalangan kakitangan agensi ini.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan penyertaan sebanyak 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Nuklear Malaysia dari pelbagai bahagian.

Sekitar Bengkel Pemantapan Teknik Penulisan Artikel Majalah berlangsung.

“Para peserta yang hadir dalam bengkel ini sememangnya mempunyai semangat yang tinggi untuk memperbaik kemahiran penulisan masing-masing, sekali gus berusaha meningkatkan kualiti penulisan rencana yang diterbitkan oleh Nuklear Malaysia,” kata Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika memberikan ucapan alu-aluan.

Beliau berkata, menerusi bengkel ini juga para peserta dapat memastikan rencana yang dihasilkan nanti mampu mencerminkan kecemerlangan dalam bidang sains dan teknologi yang merupakan fokus utama agensi dalam menyebarkan pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat.

Sidang editor majalah Dewan Kosmik yang diundang untuk memberikan ceramah dalam bengkel tersebut, iaitu Puan Norfaranieza Muhd Ariffin dan Puan Nurul Syafika Kasim telah berkongsikan pelbagai perkara yang perlu ditekankan dalam menghasilkan penulisan rencana yang baik serta latihan praktikal yang berkaitan dengannya juga dilaksanakan bagi memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang penulisan rencana sains dan teknologi.

Sesi perkongsian dalam Bengkel Pemantapan Teknik Penulisan Artikel Majalah disampaikan oleh sidang editor majalah Dewan Kosmik, iaitu Puan Norfaranieza Muhd Ariffin (kiri) dan Puan Nurul Syafika Kasim (kanan).

Pada masa yang sama, bekas pegawai penyelidik dari Nuklear Malaysia yang berpengalaman, YBrs. Dr. Mohamad Pauzi Ismail turut menyumbang ilmu pengetahuannya dalam bidang sains dan teknologi nuklear dalam bengkel berkenaan.

Bekas pegawai penyelidik dari Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Mohamad Pauzi Ismail ketika berkongsikan ilmu pengetahuannya dalam bidang sains dan teknologi nuklear.

Menerusi bengkel tersebut, kesemua peserta memperoleh ilmu yang tepat untuk menghasilkan rencana yang memenuhi kriteria, sekali gus berupaya menghasilkan rencana yang mampu memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan sains dan teknologi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.