21 Mei 2024, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program “We Can Hear You” yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Hong Leong (HLF) dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) bertujuan meningkatkan kesedaran golongan belia untuk lebih cakna dengan keperluan individu pekak, sekali gus merapatkan jurang antara golongan tipikal dengan orang pekak dalam kalangan masyarakat.

Bertemakan “Bridging the Sound and the Sign”, program tersebut juga bermatlamat memperkenalkan secara asas kepada para belia di institusi pengajian tinggi tentang penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), iaitu bahasa visual yang digunakan oleh komuniti pekak dalam komunikasi harian.

YBrs. Dr. Nashrah Maamor selaku perasmi dan wakil Ketua Program Audiologi, FSK, UKM telah menzahirkan hasrat agar program berkenaan dapat menggalakkan interaksi dan menjadi pemangkin kepada jalinan kooperatif dan inklusif antara belia tipikal dengan individu pekak.

Sebanyak 60 orang pelajar dari Program Audiologi, FSK, UKM bersama-sama para pemegang biasiswa dari HLF, yakni para pelajar dari Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Teknologi MARA digandingkan dengan belia dari MFD untuk terlibat dengan aktiviti dan permainan yang dijalankan.

Para peserta menggunakan bahasa isyarat semasa berinteraksi sepanjang program dijalankan.

Pengisian program dimulakan dengan ceramah kesedaran yang bertajuk “Merapatkan Jurang: Komuniti Inklusif untuk Golongan Pekak dan Golongan Tipikal” yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat yang memfokuskan peningkatan kesedaran dalam kalangan belia tipikal yang memiliki pendengaran normal serta mengurangkan stigma sosial terhadap belia pekak.

Ceramah tersebut turut memberikan pendedahan tentang budaya pekak, iaitu suatu budaya yang unik dari segi cara hidup, nilai budaya dan bahasa komunikasi yang menjadi identiti khas kepada masyarakat pekak di Malaysia.

Budaya pekak di Malaysia mewakili masyarakat pekak tempatan yang menggunakan BIM dalam komunikasi harian dan isyarat itu bukan sekadar isyarat tangan, malah dizahirkan melalui bahasa badan dan ekspresi wajah.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat, BIM telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang kurang upaya pendengaran dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 atau Akta 685, sekali gus mewakili identiti linguistik orang pekak di Malaysia tanpa mengira latar bangsa, etnik dan agama.

Semasa program berlangsung, para peserta didedahkan kepada cara komunikasi berkesan yang perlu dipraktikkan oleh individu tipikal semasa berkomunikasi dengan golongan pekak berikutan mereka bergantung pada isyarat tangan, bahasa badan dan ekspresi wajah untuk berkomunikasi.

YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat juga menyatakan bahawa persekitaran komunikasi yang berkesan amat penting bagi membolehkan bahasa isyarat tangan dan bahasa badan dapat dilihat dengan jelas.

Hal ini bermakna komunikasi perlu berlangsung di tempat terang dengan pencahayaan yang baik, secara bersemuka dan tidak memakai pelitup muka.

Melalui ceramah tersebut juga, para belia tipikal diterangkan tentang kecacatan tersembunyi yang dialami oleh belia pekak dan stigma sosial perlu ditangani dalam memberikan kesamarataan kepada komuniti pekak di Malaysia.

Para peserta menerima cenderamata daripada Yayasan Hong Leong.

Selain ceramah kesedaran, para peserta juga didedahkan dengan aktiviti permainan yang memerlukan semua peserta berinteraksi antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa isyarat yang mudah bagi membolehkan mereka berkomunikasi dan bermain secara berkumpulan.

Program seumpama ini akan menjadi platform dan permulaan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan dapat meningkatkan kesamarataan kepada golongan pekak.

Pada akhir program, semua peserta tipikal dan belia pekak diminta untuk membuat perkongsian dan memberikan maklum balas tentang aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung.

Para peserta pertandingan permainan turut menerima hadiah.

Kebanyakan peserta menzahirkan bahawa kecacatan tersembunyi orang pekak tidak boleh dijadikan alasan untuk mewujudkan jurang antara individu tipikal dengan golongan pekak.

Wakil Yayasan Hong Leong menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Sazali atas kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dalam program “We Can Hear You”.

Di samping itu, para peserta juga memberikan maklum balas yang positif kerana mereka berpeluang untuk lebih mengenali dan memahami rakan baharu daripada latar budaya dan komunikasi yang berbeza, sekali gus program tersebut membuktikan bahawa stigma sosial kepada golongan pekak boleh dikurangkan menerusi pendedahan yang mampan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.