Oleh Rashid Ating
15 April 2024, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akademi Sains Malaysia (ASM) telah membuka penyertaan kepada individu yang berminat untuk menyertai pertandingan Cabaran Sains Kebangsaan atau National Science Challenge (NSC) Piala Pusingan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri.

Tarikh penyertaan program yang bertemakan “Memacu Era Transformasi Digital: Merintis Inovasi dan Penyelesaian Mampan” itu bermula pada 1 April 2024 hingga 31 Mei 2024.

Pelajar yang berumur antara 13 tahun hingga 16 tahun dari sekolah kebangsaan, persendirian atau sekolah antarabangsa amat dialu-alukan untuk menyertai pertandingan tersebut dengan setiap kumpulan diwajibkan mempunyai tiga orang ahli kumpulan dan seorang guru pembimbing.

Dalam usaha memupuk budaya kecemerlangan dalam bidang sains, ASM menganjurkan program seumpama ini pada setiap tahun bagi mempromosikan dan meningkatkan minat sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah.

Pertandingan tersebut bukan sahaja disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat dan Minggu Sains Negara, malah turut dibantu oleh rangkaian saintis muda Malaysia yang bertindak sebagai pereka isi kandungan serta Sasbadi Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik teknologi.

Untuk rekod, pertandingan ini telah dianjurkan sejak tahun 1983 dengan penyertaan sebanyak 29,665 orang peserta daripada 9888 pasukan serta disertai oleh 1971 orang guru pelatih dan melibatkan 899 buah sekolah dari seluruh negara.

Pemenang pertandingan tersebut akan menerima Piala Pusingan YAB Perdana Menteri selain berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Penyertaan pertandingan Cabaran Sains Kebangsaan Piala Pusingan YAB Perdana Menteri kini dibuka hingga 31 Mei 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.