1 April 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai program Autsome Resource Bazaar (ARB) 2024 anjuran Sunway Putra Mall (SPM) yang kini sedang berlangsung di Aras Empat, Edutainment Hub, SPM hingga 30 April 2024.

Menurut Eksekutif Pemasaran Senior, SPM, Puan Karen Ann Abraham, ARB merupakan sebahagian daripada usaha SPM untuk menyokong komuniti pesakit, ibu bapa, penjaga atau individu kecelaruan spektrum autisme (ASD) dan kurang upaya intelek lain merentas spektrum yang dialami.

Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf (kiri), Pengerusi iCaRehab, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin (tengah) dan Eksekutif Pemasaran Senior, SPM, Puan Karen Ann Abraham (kanan).

Sepanjang ARB berlangsung, terdapat pelbagai reruai mengenai ASD daripada vendor yang terlibat selain ceramah dan aktiviti menarik lain seperti yoga.

Untuk sesi ceramah yang bertajuk Diet and Autism Children: A Learning Point for Caregivers and Health Professionals akan disampaikan oleh pensyarah dari Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM, YBrs. Dr. Nur Hana Hamzaid, manakala YBrs. Dr. Susheel Kaur Dhillon Joginder Singh akan berkongsikan ceramah mengenai “Augmentative and Alternative Communication for Children with Autism”.

Puan Karen Ann Abraham berkata, SPM telah menyediakan pengalaman membeli-belah yang eksklusif dan selesa bagi kanak-kanak atau individu ASD sejak tahun 2019 bagi meningkatkan pemahaman dan penerimaan masyarakat mengenai ASD.

Tambah beliau, ARB bukan sahaja memberikan peluang kepada individu ASD, ibu bapa atau penjaga untuk berkongsikan maklumat, malah membentuk jaringan dengan semua pihak yang terlibat dengan pelaksanaan ARB.

Pada tahun ini, sebanyak empat reruai telah diperuntukkan kepada kakitangan dan pelajar FSK, UKM untuk membuat pameran dan jualan buku yang berkaitan dengan tema ARB dan reruai yang terlibat ialah reruai Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), iCaRehab, Terapi Cara Kerja dan SIHAT@UKM.

Reruai ICaRehab yang menyediakan buku tentang ASD dan produk Chippie Choc Cookie (™), iaitu biskut coklat yang menjadi peralihan kepada diet yang lebih sihat.

SIHAT@UKM bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pengesanan, nasihat dan intervensi berkenaan dengan individu ASD, malah perkhidmatan pendengaran (audiologi), penglihatan (optometri), terapi pertuturan, terapi cara kerja, fisioterapi, kesihatan psikologi, klinik diet dan radiologi turut disediakan.

Reruai Terapi Cara Kerja FSK, UKM yang memberikan maklumat berkenaan dengan cara pengesanan, khidmat nasihat dan intervensi individu ASD.

Untuk makluman, ARB merupakan acara tahunan anjuran SPM dan beberapa pertubuhan atau persatuan lain seperti WQ Park, The National Autism Society of Malaysia, Noziq Solutions, EmployAble, Hope Bridge Children’s Therapy and Psych Centre, Permata Kurnia, United Voice, IDEAS Autism Centre, FSK, UKM, Autism Behavioral Center dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.