1 Mac 2024, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Iryo Sosei University, Jepun bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi dalam meningkatkan mutu penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran pada peringkat antarabangsa.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, FSK, UiTM Puncak Alam itu merupakan satu daripada inisiatif untuk menjadikan UiTM sebagai universiti terkemuka menjelang tahun hadapan.

Sekitar majlis menandatangani MoU antara Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam dengan Iryo Sosei University, Jepun.

“Kerjasama tersebut membuka ruang kepada penempatan pelajar dan kakitangan bagi dua buah negara, memindahkan kepakaran dan meningkatkan peluang penyelidikan penyelidik dan seterusnya menghasilkan satu bentuk inovasi yang mampu memberikan manfaat kepada semua pihak,” kata Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Iryo Sosei University merangkap Presiden International Society for Electrophysical Agents in Physical Therapy (ISEAPT), YBrs. Profesor Goh Ah-Cheng.

Pengarah bagi program tersebut, YBrs. Dr. Saiful Adli Bukry pula berkata, satu bentuk pemindahan ilmu dan pembangunan harta intelek serta kepakaran dalam sesuatu pengkhususan dapat dimanfaatkan menerusi kerjasama berkenaan.

Setelah selesai sesi menandatangani MoU, tetamu yang hadir berkesempatan untuk menghadiri ceramah khas yang bertajuk Updates in Electrophysical Agents (EPA) in Physiotherapy and Rehabilitation yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Goh Ah-Cheng  yang mengupas tentang kepentingan dosimetri dalam kawalan tenaga, khususnya dalam konteks agen elektrofizikal.

Sesi ceramah bersama-sama YBrs. Profesor Goh Ah-Cheng.

Program berkenaan disertai oleh lebih daripada 25 orang peserta dari pelbagai latar belakang, termasuklah ahli fisioterapi, pensyarah dan para pelajar.

Seorang daripada peserta program menyatakan bahawa hasil daripada penyelidikan dosimetri yang dibincangkan dalam ceramah tersebut sangat penting untuk membangunkan model rawatan yang lebih efektif bagi pesakit.

Seterusnya, sesi lawatan ke Makmal Pusat Pengajian dan Klinik Fisioterapi UiTM Puncak Alam di Bangunan FSK 2, 3, 4 telah diadakan bagi membuka pintu kerjasama antara dua institusi, sekali gus menjadi titik tolak terhadap pelaksanaan pelbagai aktiviti yang telah dijadualkan.

Lawatan ke Klinik Fisioterapi, UiTM Puncak Alam dan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Penyelidikan FSK, UiTM Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Nazri Che Dom; Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM Puncak Alam, YBrs. Dr. Ida Hasni Shaari; wakil dari Iryo Sosei University, YBrs. Profesor Furukawa Katsuhiro; Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh dan Selayang merangkap Profesor Madya Pelawat Iryo Sosei University, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Haidzir Abd Manaf; kakitangan Pusat Pengajian Fisioterapi, UiTM Puncak Alam dan tetamu undangan lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.