14 Februari 2024, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Lanjan – Program Khidmat Masyarakat Faith Over Fear yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu anjuran Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lanjan, Petaling Jaya bertujuan membantu meningkatkan pengetahuan murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta memupuk kemahiran berkomunikasi.

Sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti aktiviti STEM, program kesedaran kanser payudara, senamrobik dan aktiviti keusahawanan bagi menyantuni warga sekolah, ibu bapa dan komuniti orang asli Desa Temuan yang turut menyertai program itu.

Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh pelajar Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, UiTM, Puan Ellen Eugenea M Taguah selaku Pengarah Program Khidmat Masyarakat Faith Over Fear.

Aktiviti senamrobik bersama-sama murid SK Bukit Lanjan.

Selain itu, murid tahap satu SK Bukit Lanjan turut diberikan pendedahan dan latihan amali tentang cara mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan pensanitasi tangan serta cara menggosok gigi dan mandi yang betul menerusi program tersebut.

Murid tahap satu SK Bukit Lanjan melakukan demonstrasi memberus gigi.

Dalam usaha memupuk minat terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan murid sekolah rendah, aktiviti berkumpulan berteraskan STEM yang melibatkan murid tahap dua SK Bukit Lanjan juga dijalankan seperti aktiviti Spelling Bee dan Know Your Skeletal.

Aktiviti STEM yang dijalankan bersama-sama murid tahap dua SK Bukit Lanjan.

Di samping itu, ceramah kesedaran kanser payudara oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, UiTM, Puan Rafidah Supar turut disampaikan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan dengan penyakit kanser payudara dan menyebarluaskan kepentingan pemeriksaan awal bagi mencegah penularan sel kanser seperti pemeriksaan sendiri payudara, pemeriksaan mamogram dan pengimejan ultrabunyi.

Ceramah kesedaran kanser payudara disampaikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, UiTM, Puan Rafidah Supar.

Semasa sesi ceramah berkenaan, para peserta turut didedahkan dengan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara bagi membantu para wanita mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang perubahan pada payudara.

Program tersebut dianjurkan secara berfasa, iaitu fasa pertama diadakan pada 10 Jun 2023, manakala fasa kedua dilaksanakan bermula pada 15 Disember 2023 hingga 15 Januari tahun ini yang melibatkan sesi temu bual bersama-sama ibu dan guru yang terlibat dalam temu bual semasa fasa pertama.

Menerusi program yang dijalankan secara berfasa ini, tahap keberkesanan program yang dijalankan dapat dinilai dan seterusnya diaplikasikan oleh golongan wanita.

Selain ceramah tentang kanser payudara, terdapat juga ceramah berkaitan dengan gaya hidup sihat yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Unit Pengimejan Nuklear, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Dr. Ahmad Danial Ahmad Shahrir yang memberikan kesedaran bahawa amalan gaya hidup sihat itu seharusnya dilakukan bermula dari rumah.

Bukan itu sahaja, program yang disertai oleh lebih daripada 300 orang peserta ini turut mengadakan aktiviti menceriakan persekitaran sekolah dengan lukisan mural oleh kakitangan dan pelajar UITM bagi menarik minat murid untuk hadir ke sekolah.

Lukisan mural yang dihasilkan oleh kakitangan dan pelajar UiTM.

Antara penaja program yang terlibat termasuklah Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Suka Dessert, ASiC Offshore and Marine Sdn. Bhd., Avant-Med Sdn. Bhd., Yakult, Hydra Admiral Sdn. Bhd., Glotel Sdn. Bhd., Hawari Hanafi and Co dan MyBuku.com.

Melalui program seumpama ini diharapkan mampu mencapai objektif yang telah disasarkan dan dilaksanakan secara berterusan agar dapat melahirkan lebih banyak modal insan yang berkemahiran dalam bidang STEM bagi membantu proses pembangunan dan kemajuan negara, di samping memberikan penekanan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Sesi penyerahan cenderamata oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, YBrs. Profesor Dr. Zulkhairi Hj Amom kepada Guru Besar SK Bukit Lanjan, Puan Fazilawati Abu Bakar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.