24 Januari 2024, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi mengurangkan risiko kos rawatan kesihatan yang tinggi dan kesukaran penjagaan pesakit akibat ancaman penyakit demensia, Modul Terapi Kenangan akan dibangunkan untuk menjadi satu daripada rawatan psikososial yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Modul Terapi Kenangan boleh dimanfaatkan oleh ahli sains kesihatan dan penjaga pesakit demensia untuk membantu melambatkan proses kemerosotan fungsi otak akibat penyakit ini.

Dalam Bengkel Penyelidikan Pemurnian Modul Terapi Kenangan di Malaysia menerusi Karya Seniman P. Ramlee untuk Pesakit Demensia yang diadakan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur baru-baru ini, Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam selaku ketua penyelidik bagi projek berkenaan menjelaskan bahawa isi kandungan Modul Terapi Kenangan haruslah bersesuaian dengan budaya pesakit demensia di Malaysia.

Sesi pembentangan oleh Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam berkaitan dengan Modul Terapi Kenangan.

Hasil pemerhatian awal yang dilakukan oleh kumpulan penyelidikan beliau menunjukkan bahawa karya seniman P. Ramlee berpotensi dijadikan kandungan Modul Terapi Kenangan berasaskan konsep reminiscence bump, iaitu faktor generasi warga emas semasa yang seangkatan dengan zaman P. Ramlee.

Menurut beliau, fasa pertama dalam penyelidikan ini melibatkan penerokaan keperluan, faktor penggalak Modul Terapi Kenangan dan mengenal pasti isi kandungan modul tersebut mengikut setiap tema.

Fasa kedua pula memerlukan penyelidik membina kerangka Modul Terapi Kenangan dan menguji kesahan modul tersebut, manakala fasa ketiga menguji kebolehlaksanaan modul berkenaan.

Salah seorang peserta bengkel tersebut, Encik Ariaratnam dari Persatuan Warga Emas Sihat, Kuala Lumpur menyatakan bahawa penganjuran bengkel ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan mengingatkan para peserta akan sumbangan seniman P. Ramlee dalam dunia kesenian dan kebudayaan.

Sementara itu, sesi perbincangan meja bulat pula membincangkan tentang pemurnian tema dalam Modul Terapi Kenangan, mengesahkan isi kandungan yang sesuai bagi membantu mencetus dan merangsang ingatan jangka masa panjang yang mampu meningkatkan kesejahteraan psikologi pesakit demensia serta memuktamadkan aturan dan kaedah pelaksanaan aktiviti modul tersebut yang telah dirangka.

Sekitar sesi perbincangan meja bulat dalam Bengkel Penyelidikan Pemurnian Modul Terapi Kenangan di Malaysia menerusi Karya Seniman P. Ramlee untuk Pesakit Demensia.

Berdasarkan data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia akan menjadi negara tua dalam tempoh enam tahun lagi. Laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini merupakan warga emas menjelang tahun 2030.

Bengkel yang disertai oleh 12 orang peserta secara bersemuka itu melibatkan pakar perubatan, pakar sains sosial, pakar sains kesihatan dan warga emas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.