18 Januari 2024, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kisah bayi pramatang yang maut selepas dikeluarkan daripada inkubator untuk sesi fotografi demi penciptaan kandungan menjadi tular di seluruh dunia dengan sekelip mata. Kompas melaporkan bahawa bayi seberat 1.5 kilogram yang dilahirkan pada usia kandungan 36 minggu meninggal dunia pada keesokan harinya.

Difahamkan juga bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh jururawat tidak bertanggungjawab yang taasub dengan media sosial. Persoalannya, mengapakah inkubator sangat penting kepada bayi yang ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di sesebuah hospital?

Berdasarkan statistik oleh MyHealth pada tahun 2020, kira-kira lapan peratus bayi pramatang dilahirkan di Malaysia. Pada tahun yang sama, Pertubuhan Kesihatan Dunia merekodkan kira-kira 13.4 juta bayi dilahirkan pramatang. Apabila dilahirkan dalam keadaan sedemikian, “malaikat kecil” itu amat memerlukan inkubator untuk kelangsungan hidup.

Lihat sahaja keadaan yang berlaku di bumi Palestin. Berdasarkan laporan AFP, nyawa sekurang-kurangnya 120 bayi yang baru lahir perlu ditempatkan di dalam instrumen perubatan itu untuk terus bernafas di muka bumi ini. Sehingga hari ini, berpuluh-puluh bayi pramatang dilaporkan maut serta ada yang berpindah dari satu hospital ke hospital lain disebabkan oleh masalah yang kian meruncing itu. Menyelak artikel Independent UK, pengamal perubatan di Gaza juga terpaksa menggantikan inkubator dengan kerajang timah.

Memberikan Perlindungan

Apakah fungsi utama inkubator? Menurut laman perubatan WebMD, alatan tersebut berfungsi untuk menjaga bayi dan memberikan permulaan hidup baharu kepada bayi.

Bayi yang dilahirkan pramatang biasanya menghadapi masalah untuk mengawal suhu badan. Badan mereka yang tiada lemak menjadikan golongan itu terdedah kepada hipotermia. Oleh sebab itu, inkubator berfungsi membantu mengawal suhu dan menyediakan persekitaran yang ideal kepada organ si kecil untuk berkembang dengan baik.

Sementara itu, Healthline menambah, instrumen tersebut juga menawarkan perlindungan daripada alergen, kuman, bunyi yang berlebihan dan tahap cahaya yang membahayakan. Keupayaan peralatan berteknologi tinggi tersebut yang boleh mengawal kelembapan juga membolehkan kulit bayi dilindungi daripada kehilangan terlalu banyak air dan menjadi rapuh atau retak.

Inkubator berfungsi untuk merawat bayi pramatang atau dilahirkan tidak cukup bulan.

Bukan sekadar katil untuk bayi pramatang, inkubator dirintis untuk pakar perubatan mengetahui kadar denyutan bayi. Selain tanda vital bayi dapat diketahui, alat ini biasanya dibuka pada bahagian atas atau lubang di bahagian tepi untuk memudahkan pelbagai prosedur dilakukan oleh pakar atau jururawat.

“Tanpa persekitaran terkawal dan khusus seumpama itu, banyak bayi terutamanya yang lahir beberapa bulan lebih awal mungkin tidak dapat bertahan,” kata laman web perubatan itu yang menjadi rujukan pengamal perubatan dunia.

 

Kepentingan Inkubator

Berdasarkan laman WebMD, terdapat beberapa sebab utama bayi memerlukan inkubator. Antaranya termasuklah:  

i) Kelahiran pramatang

Bayi pramatang ialah bayi yang dilahirkan terlalu awal, yakni sebelum 37 minggu. Golongan ini biasanya memiliki berat badan yang rendah, suhu tidak teratur dan tanda vital yang tidak stabil.

ii) Kelahiran traumatik

Bayi yang sukar dilahirkan mungkin tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan mungkin mengurangkan aliran darah. Doktor boleh merawat keadaan tersebut dengan menyejukkan badan bayi dengan meletakkannya di dalam inkubator. Rawatan ini boleh membantu mencegah kecederaan otak bayi akibat penurunan aliran darah.

iii) Sindrom gangguan pernafasan (RDS)

RDS berlaku disebabkan oleh paru-paru yang tidak matang. Bayi yang mengalami RDS yang teruk mungkin memerlukan tiub pernafasan atau ventilator.

iv) Hipoglisemia

Situasi ini merujuk paras kandungan gula yang sangat rendah dalam darah. Keadaan ini kadangkala berlaku apabila bayi pramatang mengalami jangkitan atau dilahirkan oleh ibu yang menghidap diabetes semasa hamil.

v) Sepsis atau jangkitan lain

Bayi pramatang berisiko tinggi untuk dijangkiti. Oleh sebab itu, mereka mungkin memerlukan antibiotik dan beberapa rawatan lain.

vi) Korioamnionitis maternal

Keadaan ini tercetus apabila terdapat bakteria di dalam membran yang menjangkiti bayi, cecair amnion atau pada tali pusat yang boleh menyebabkan jangkitan kepada ibu dan bayi. Si kecil juga mungkin perlu dirawat dengan antibiotik.

Di samping itu, peralatan termaju tersebut boleh mengurangkan jaundis, iaitu penyakit yang menyebabkan kekuningan pada kulit dan mata akibat meningkatnya pigmen bilirubin di dalam darah dalam kalangan bayi yang baru lahir.

Bagi bayi yang terpaksa menjalani pembedahan akibat komplikasi selepas kelahiran, mereka juga perlu dipantau dari semasa ke semasa. Dalam keadaan ini, inkubator menjadi platform yang sesuai untuk melindungi golongan tersebut.

Jenis Inkubator

Menurut Healthline, secara asasnya, dalam dunia perubatan global, terdapat tiga jenis inkubator, iaitu inkubator jenis terbuka, tertutup dan mudah alih. Pewajaran bagi setiap peralatan adalah seperti yang berikut:

Inkubator terbuka

Inkubator terbuka turut dikenali sebagai inkubator Armstrong. Di dalam inkubator ini, bayi akan diletakkan di atas permukaan rata dengan unsur haba, sama ada diposisikan di atas atau dari bawah. Haba akan dikawal secara automatik mengikut suhu kulit bayi. Inkubator jenis ini tidak memberikan jumlah kelembapan setara seperti inkubator tertutup.

Walau bagaimanapun, pengamal perubatan masih boleh memantau fungsi penting bayi dan menyalurkan haba kepada mereka. Inkubator ini juga dikatakan dapat berfungsi dengan baik untuk bayi yang perlu “dihangatkan” buat sementara waktu.

Inkubator tertutup

Inkubator tertutup mempunyai lubang portal di bahagian tepi untuk membenarkan intravena dan tangan memasuki alatan ini. Inkubator ini direka untuk memastikan kuman, cahaya dan unsur lain juga mampu menyusup keluar.

Satu daripada perbezaan terbesar antara inkubator tertutup dengan terbuka ialah cara haba beredar dan suhu dikawal. Inkubator tertutup membolehkan udara hangat dialirkan melalui kanopi yang mengelilingi bayi.

Suhu dan kelembapan inkubator ini juga boleh dilaras, sama ada secara manual menggunakan tombol di bahagian luar inkubator atau secara automatik berdasarkan penderia kulit yang dipasang pada bayi.

Sememangnya, alatan termaju ini sangat sesuai untuk bayi yang memerlukan perlindungan kuman, pengurangan cahaya atau bunyi dan kawalan kelembapan.

Inkubator mudah alih

Instrumen ini digunakan untuk mengangkut bayi di antara dua lokasi berbeza. Sebagai contohnya, untuk kegunaan bayi yang perlu dirujuk kepada doktor untuk rawatan yang ditawarkan di lokasi semasa.

Inkubator mudah alih biasanya dilengkapi dengan angkutan seperti ventilator mini, monitor kardiopernafasan, pam IV, oksimeter nadi dan bekalan oksigen terbina dalam.

Orang ramai perlu memahami bahawa inkubator yang diletakkan di NICU dikawal sepenuhnya oleh jururawat dan doktor yang bertugas. Namun demikian, hal itu tidak bermakna bahawa penjaga langsung tidak boleh menjengah atau menyentuh bayi kesayangan mereka. Ibu bapa perlu berbincang dahulu dengan pegawai perubatan tentang masa dan cara yang sesuai untuk memegang serta berinteraksi dengan si kecil.

“Meluangkan masa sebanyak mungkin dengan bayi anda merupakan pendekatan paling baik. Jika bayi masih belum menyusu, ibu boleh mengepam susu. Sentiasa bertanya dengan jururawat tentang jadual bayi anda dan beritahu mereka tentang kesediaan anda untuk membantu menjaga. Pada satu peringkat, mungkin ibu bapa boleh menolong petugas perubatan menukar lampin, mengambil suhu bayi atau memandikannya,” kongsi WebMD memberikan panduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.