12 Januari 2024, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 Januari 2024 hingga 14 Januari 2024 di Sports Arena @ UNITEN bertujuan menyerlah dan memperkasakan potensi bakat sukan, terutamanya dalam kalangan wanita.

Kejohanan tersebut merupakan kemuncak kepada Cabaran Sukan Wanita anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan badan sukan seperti Persatuan Bola Jaring Malaysia, Persatuan Bola Baling Malaysia dan Kelab Bola Tampar Ace di bawah inisiatif Wanita dalam Sukan yang telah bermula pada peringkat zon dari Julai hingga November tahun lalu.

Majlis Pembukaan Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Adam Adli Abd Halim.

Kejohanan yang mempertandingkan empat acara sukan, iaitu bola jaring, bola baling, bola tampar dan sukan elektronik (Mobile Legends: Bang Bang)  itu menyasarkan pelibatan peserta sebanyak 3500 orang.

Selain menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat, terutamanya wanita bagi menyokong visi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan, kejohanan ini juga bermatlamat meningkatkan akses dan merakyatkan sukan dalam kalangan wanita menerusi amalan gaya hidup aktif dan sihat.

Seiring dengan kerangka Malaysia Madani, Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) dan Pelan Tindakan Wanita dalam Sukan 2021–2025, pembangunan sukan seumpama itu dibangunkan untuk semua pihak, terutamanya dalam kalangan wanita.

Penganjuran sukan tersebut juga bertujuan mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti serta bertindak sebagai langkah intervensi sosial bagi mengelakkan gejala negatif, terutamanya melibatkan belia dan anak muda dalam kalangan wanita.

Pemenang bagi setiap acara sukan akan membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil penyertaan.

Untuk makluman, Majlis Penutup Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Peringkat Kebangsaan tersebut dijadualkan pada 14 Januari 2024, pukul 3.00 petang di Sports Arena @ UNITEN.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan penganjuran kejohanan tersebut boleh menghubungi JBSN di talian 03-8871 3242 atau e-mel [email protected].

Turut hadir dalam majlis pembukaan kejohanan tersebut ialah Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN, YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.