1 Januari 2024, 19:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menyedari akan tabiat sebahagian besar kanak-kanak dan remaja di negara ini yang sering melangkaui makan sarapan, pelajar tahun akhir Program Sains Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan demonstrasi penyediaan makanan sarapan bagi mencegah tabiat ini daripada berterusan.

Program yang berteraskan daripada mahasiswa kepada mahasiswa itu diadakan di Ruang Legar, Tingkat Satu, Blok E, UKM Kampus Jalan Raja Muda Abd. Aziz dan telah disertai oleh 20 orang mahasiswa kampus berkenaan.

Peserta menunjukkan cara penyediaan roti belebat pisang kekacang.

Program tersebut dijangka akan memberikan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran kepada golongan mahasiswa tentang sarapan dan kepentingannya terhadap kesihatan.

Para peserta yang menyertai program tersebut diberikan pendedahan tentang kepentingan pengambilan sarapan dalam kehidupan, misalnya membekalkan nutrien yang diperlukan oleh badan, membantu seseorang itu kekal bertenaga sepanjang melakukan aktiviti seharian serta meningkatkan prestasi kognitif semasa menghadiri kuliah.

Peserta sedang merasa makanan sarapan yang disediakan.

Dalam program tersebut, para peserta berpeluang menyediakan resipi yang mudah dan cepat untuk dijadikan sebagai sarapan seperti roti belebat telur mayonis dan roti belebat pisang kekacang serta salad dengan menggunakan bahan yang tidak mudah rosak.

Sarapan yang disediakan itu perlu diambil bersama-sama segelas susu atau air kosong dan sangat sesuai disediakan oleh mahasiswa, sama ada yang tinggal di asrama ataupun di rumah sewa.

Menurut salah seorang peserta program tersebut, roti belebat telur mayonis merupakan makanan yang dapat disediakan dalam masa yang singkat, mengandungi lebih kurang 320 kcal dan serat serta harganya juga berpatutan.

Sekiranya ingin makan makanan yang manis ketika sarapan, menu roti belebat pisang kekacang yang mengandungi lebih kurang 320 kcal juga boleh disediakan.

Mahasiswa yang mengendalikan demonstrasi penyediaan makanan sarapan.

Pada masa yang sama, peserta juga diberikan pendedahan tentang Pinggan Sihat Malaysia dan konsep hidangan suku-suku separuh dalam program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.