Oleh Lim See Meng
20 Disember 2023, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Isu prevalens berat badan berlebihan dan keobesan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia kini semakin meningkat.

Demikian merupakan antara kupasan oleh YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Syarahan Perdana Ke-210 yang bertajuk “Pendidikan Pemakanan: Cegah Keobesan untuk Kanak-kanak dan Remaja” di Bilik Senat, UKM.

YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib (kanan sekali) bersama-sama barisan pengurusan UKM dan FSK, UKM dalam Syarahan Perdana yang bertajuk “Pendidikan Pemakanan: Cegah Keobesan untuk Kanak-kanak dan Remaja” di Bilik Senat, UKM.

Antara faktor yang mempengaruhi status berat badan kanak-kanak dan remaja termasuklah gaya hidup kanak-kanak yang melibatkan pengambilan diet berlebihan, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tingkah laku sedentari.

Menurut beliau lagi, peranan ibu bapa dalam menyediakan dan membentuk kebolehdapatan makanan di rumah serta impak persekitaran masyarakat turut mempengaruhi berlakunya masalah berat badan berlebihan dan keobesan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dalam syarahan tersebut, beliau juga berkongsikan beberapa penyelidikan pendidikan pemakanan yang telah dilakukan, misalnya Program Healthy Lifestyle in Children (H.E.L.I.C), Program Malaysian Childhood Obesity Treatment Trial (MASCOT), Program Juara Sihat, Program GReat-Child TrialTM, Program H.E.B.A.T!, Program Info-NutriteenTM dan Permainan Tradisi.

Melalui intervensi berkenaan, program yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan tahap aktiviti fizikal dan mendorong amalan pemakanan sihat sekali gus melambatkan kadar pertambahan berat badan.

Lawatan pengurusan tertinggi UKM ke ruang pameran yang mempamerkan hasil penyelidikan dan pencapaian YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib.

Hasil penyelidikan tersebut mencerminkan komitmen yang diberikan oleh YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib dalam menyumbang kepada pemahaman dan penanganan masalah kesihatan yang semakin kritikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Pelbagai projek penyelidikan yang mencakupi pelbagai sumber dana seperti projek Penyelidikan Mengikut Bidang Keutamaan (IRPA) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Geran Universiti Penyelidikan, Dana Penyelidikan Top Down, Geran Galakan Penyelidikan–Komuniti, Projek Tindakan/Strategik, Projek Arus Perdana, Dana Penerbitan Buku, Geran Industri (Kebangsaan) dan geran daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia turut memperlihat kepimpinan beliau dalam usaha memperkukuh penyelidikan berkaitan dengan bidang pendidikan pemakanan.

Selain pelaksanaan pelbagai program, penerbitan sebanyak 142 buah artikel jurnal berimpak, indeks WoS, Scopus, tiga penulisan bab buku, dua penulisan dalam bahasa Melayu serta pemfailan empat perlindungan harta intelek adalah hasil daripada inovasi dan penyelidikan pendidikan pemakanan yang telah dilaksanakan oleh beliau.

Sepanjang berkhidmat di UKM, YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib telah menyandang beberapa jawatan pentadbiran yang penting seperti Penyelaras Program Dietetik, Pengetua Kolej Tun Syed, Pengerusi Pusat Sains Jagaan Kesihatan dan Timbalan Dekan (Siswazah) di FSK.

Sementara itu, Anugerah Perkhidmatan Terpuji, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kumpulan Penyelidikan, Anugerah Keterlibatan Industri dan Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib atas prestasi ulung beliau sepanjang perkhidmatannya.

Tidak ketinggalan, ratusan graduan pada peringkat sarjana, doktor falsafah dan graduan prasiswazah turut mendapat panduan mengenai pendidikan makanan sekali gus mencerminkan ketokohan beliau dalam menerajui bidang pendidikan dan penyelidikan selama 29 tahun berkhidmat di UKM.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah UKM, YBrs. Profesor Dr. Bariah Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, YBrs. Profesor Dr. Mohamad Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, barisan profesor di FSK, para pensyarah, bekas pelajar, ahli keluarga dan tetamu undangan lain.

YBrs. Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib bergambar bersama-sama ahli keluarganya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.