6 Disember 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tuberkulosis (TB) ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada sejenis bakteria yang paling kerap menyerang paru-paru. TB boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti penyakit itu batuk, bersin atau meludah.

Di Malaysia, penyakit TB kekal sebagai satu daripada masalah utama dalam bidang kesihatan awam. Peningkatan penyakit TB berada pada tahap yang membimbangkan, iaitu sebanyak 17 peratus kes pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2021.

Sementara itu, berlaku peningkatan kes kematian berkaitan dengan penyakit TB, iaitu sebanyak 12 peratus pada tahun 2022 berbanding dengan tahun 2021. Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa turut menggariskan hal ini ketika berucap di Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Diagnosis dan Kemajuan Terkini

Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Rosmadi Ismail menjelaskan bahawa Malaysia menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan pengesanan penyakit TB yang cepat dan tepat. Antaranya termasuklah ujian mikroskopi smear, kultur dan kepekaan serta ujian amplifikasi asid nukleik (NAAT) bagi memudahkan pengecaman kes penyakit TB. Selain itu, pemeriksaan radiografi (sinar-x) dada dan ujian klinikal seperti Ujian Kulit Tuberkulin (TST) juga penting dalam mengesahkan jangkitan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa teknik inovatif yang kini sedang diuji secara klinikal di seluruh dunia seperti teknologi biopenderiaan dan nano diagnostik yang menjanjikan keputusan yang lebih cepat dan tepat.

“Penyelidikan berterusan yang memberikan tumpuan kepada kaedah inovatif seperti pengesanan bantuan komputer (CAD) melalui kecerdasan buatan, teknologi penangkapan secara aerosol dan ujian kulit berasaskan antigen bakal merevolusikan diagnosis penyakit TB, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pada masa depan,” jelas Dr. Rosmadi Ismail.

Pilihan Rawatan

Rawatan untuk penyakit TB di Malaysia dilakukan mengikut garis panduan WHO yang mencerminkan standard rawatan global.

Ujar Dr Rosmadi, “Rawatan standard untuk penyakit TB rentan ubat (drug susceptible) di Malaysia melibatkan gabungan empat jenis ubat, iaitu Ethambutol, Rifampicin, Isoniazid, dan Pyrazinamide yang diberikan kepada pesakit untuk tempoh enam bulan hingga lapan bulan. Satu daripada komponen penting dalam rawatan penyakit TB ialah strategi rawatan pemerhatian langsung, yakni pesakit berada di bawah pengawasan pekerja penjagaan kesihatan untuk memastikan pengambilan ubat yang lengkap.”

Dr Rosmadi juga menegaskan bahawa walaupun tiada ubat atau rawatan baharu yang berjaya membuahkan hasil yang lebih baik dalam merawat penyakit TB, usaha ini adalah penting untuk mengetahui bahawa rawatan kami untuk kes penyakit TB rentan ubat yang melibatkan regimen ubat yang berbeza dan tempoh rawatan lanjutan.

“Pendekatan yang disesuaikan ini terbukti berkesan walaupun dalam kes penyakit TB rentan ubat dan hal ini mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap penjagaan pesakit yang menyeluruh,” hurai Dr. Rosmadi lagi.

Langkah Pencegahan

Dr. Rosmadi turut berkongsi beberapa langkah pencegahan seperti:

  • Jauhi tempat sesak

Sebaik-baiknyanya elakkan mengunjungi tempat yang sesak, terutamanya jika tempat itu tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Tempat sesak memudahkan lagi penyakit TB merebak.

  • Peka terhadap badan anda

Jika anda mengalami gejala seperti batuk berterusan, demam atau penurunan berat badan secara mendadak, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Tindakan ini akan membantu anda sembuh dan menghalang penyakit itu daripada merebak.

  • Lakukan pemeriksaan jika anda berisiko

Jika anda mempunyai sistem imun yang lemah atau pernah mendekati orang yang menghidap penyakit TB, anda perlu mempertimbang untuk menjalani ujian. Tindakan ini merupakan langkah mudah yang dapat mengenal pasti penyakit itu lebih awal sekiranya anda terdedah kepadanya.

  • Pastikan anda melengkapkan regim rawatan dan ambil langkah berjaga-jaga

Jika anda telah dijangkiti penyakit TB, anda harus melengkapkan rawatan yang diterima. Langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin dan membuang tisu dengan betul perlu dipatuhi untuk membantu melindungi diri dan orang di sekeliling anda.

  • Kekal dilindungi di tempat kerja

Jika pekerjaan anda melibatkan interaksi dengan banyak orang, pastikan anda memakai kelengkapan perlindungan yang sesuai sebagai langkah keselamatan tambahan.

  • Dapatkan perlindungan vaksin

Vaksin penyakit TB yang tersedia kini iaitu Bacillus Calmette Guérin (BCG) menawarkan separa perlindungan kepada bayi dan kanak-kanak kecil bagi menentang penyakit TB yang teruk. Walaupun vaksin ini tidak melindungi remaja dan orang dewasa yang merupakan pembawa utama penyakit TB, tetapi vaksin ini dapat membantu dalam tempoh masa panjang.

Dr Rosmadi menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menerbitkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk menguruskan penyakit TB yang menyediakan cadangan untuk mendiagnosis, merawat dan mencegah kes penyakit TB.

“Garis panduan ini juga memberikan maklumat bermanfaat kepada kakitangan perubatan tentang semua aspek pengurusan kes penyakit TB. Bagi memantapkan lagi usaha pencegahan, penyelidikan mengenai vaksin baharu, terutamanya untuk remaja dan orang dewasa juga masih berjalan,” terang Dr. Rosmadi lagi.

Perjuangan menentang penyakit TB di Malaysia memerlukan pendekatan secara menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek. Dr. Rosmadi menjelaskan, “Dengan memberi tumpuan kepada kaedah diagnostik lanjutan, mematuhi pelan rawatan yang ditetapkan dan mematuhi langkah-langkah pencegahan, kita mungkin dapat membendung penularan penyakit TB dengan ketara. Kesedaran masyarakat dan kerjasama dengan badan penyelidikan antarabangsa juga akan meningkatkan peluang kita dalam memerangi penyakit ini”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.