20 November 2023, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dua program perdana sains, teknologi dan inovasi (STI), iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diadakan serentak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 November 2023 dan 20 November 2023.

Secara keseluruhannya, Karnival MSN yang telah diadakan di pelbagai peringkat zon sebelum ini telah mencatatkan hampir 600,000 penyertaan dari seluruh negara termasuklah penganjuran Karnival MSN secara dalam talian yang telah bermula sejak April 2023 dan berakhir pada penghujung Oktober lalu.

“Inisiatif yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 – 2030 sebagai satu daripada usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Tuan Chang Lih Kang ketika merasmikan program berkenaan.

Selain Karnival MSN, penganjuran Malaysia Techlympics yang dilancarkan sejak Mei lalu merupakan antara inisiatif yang dilakukan oleh MOSTI bagi memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelaksanaan pelbagai pertandingan dan usaha ini telah berjaya menarik 1.8 juta penyertaan dari seluruh negara.

Dalam program tersebut juga, satu pengiktirafan oleh MOSTI terhadap saintis berusia 35 tahun ke bawah yang menjalankan penyelidikan di Malaysia, berkhidmat di mana-mana institusi penyelidikan awam atau swasta dan telah menerbitkan penyelidikan yang dijalankan pada peringkat nasional atau antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi telah diadakan, iaitu Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Hayat) Tahun 2023 dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr. Tan Kae Yi dan Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) Tahun 2023 dinobatkan kepada ChM. Dr. Mohamad Azuwa Mohamed.

Sementara itu, satu platform kerjasama antara institusi pembelajaran sains bukan formal dan organisasi lain menerusi perkongsian informasi, pengetahuan, kemahiran dan aktiviti sains komunikasi yang dikenali sebagai Rangkaian Kolaboratif Pusat Sains Malaysia (MySains) turut dilancarkan dalam program berkenaan oleh YB Tuan Chang Lih Kang.

Selain bertanggungjawab dalam membimbing, memberikan khidmat nasihat dan menyediakan bantuan teknikal kepada organisasi yang berhasrat untuk membangunkan institusi pembelajaran STI bukan formal, MySains juga berperanan mengadakan kolaborasi dengan syarikat komersial dan pakar untuk pembangunan pelbagai program pembudayaan STI.

Antara organisasi yang terlibat dalam MySains termasuklah MOSTI, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara, Universiti Malaya, Petrosains, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Tech Dome Pulau Pinang, Young Scientist Network dan National STEM Association.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang program tersebut.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd. Arif dan Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.