Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPuncak Alam – Pusat Pengajian Fisioterapi di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam menjadi tuan rumah untuk program Evidence-Based Masterclass: Shoulder Complex yang diadakan di Makmal Muskuloskeletal, baru-baru ini.
Program selama dua hari itu diadakan untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai penanganan terkini dalam isu yang kompleks di bahagian bahu dan menekankan penggunaan bukti saintifik sejajar dengan ujian dan pendekatan terkini dalam rawatan yang berkaitan dengan masalah tersebut.
Program berkenaan dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, YBrs. Profesor Zulkhairi Amom di samping kehadiran penceramah utama, Lo Chi Ngai (Christopher), ahli fisioterapi utama dan pengasas di Family Care Physiotherapy Clinic, Singapura yang memberikan dimensi pengalaman yang mendalam dalam penanganan masalah yang kompleks di bahagian bahu.
Program yang menggabungkan antara penyampaian teori dengan sesi amali ini memfokuskan rawatan kesakitan melalui teknik regangan serta penggunaan bola urut sebagai langkah rawatan yang direka khas untuk individu yang mengalami kesakitan, kekebasan, kekakuan, pergerakan yang terhad dan kecederaan di bahagian bahu.
Sesi tersebut turut memaparkan kawasan titik pemicu yang mencabar diikuti dengan teknik pergerakan rentang dan regangan yang boleh diubah suai mengikut keupayaan individu.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penasihat Program Penanganan Masalah Kompleks Bahu, YBrs. Dr. Saiful Adli, 20 orang ahli fisioterapi dari seluruh Malaysia, para pensyarah dan ahli jawatankuasa program.