15 November 2023, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program MADANI Afiat yang merupakan satu daripada inisiatif dalam Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada 19 November ini bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang.

Demikian antara maklumat yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan, YBrs. Dr. Prassaad Arujunan ketika ditemu bual dalam program Jendela Fikir menerusi saluran Radio Bernama, pagi tadi.

Radio Bernama menampilkan Pegawai Perubatan dan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan, YBrs. Dr. Prassaad Arujunan sebagai tetamu dalam program Jendela Fikir.

Menurut YBrs. Dr. Prassaad Arujunan, penganjuran Jelajah ANMS yang bermula sejak tahun lepas ialah iltizam daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengetengahkan beberapa agenda seperti mempromosikan pembudayaan hidup sihat, menyediakan persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan, memperkasakan rakyat dalam kawalan kesihatan kendiri dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan rakan strategik.

Pelaksanaan Jelajah ANMS tersebut menggunakan pendekatan yang melibatkan agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta serta rakyat bagi memastikan program berkenaan dapat dijalankan secara menyeluruh.

Yang menariknya, beliau menyatakan bahawa program MADANI Afiat yang dianjurkan itu tidak memfokuskan aspek kesihatan semata-mata seperti adanya zon saringan kesihatan, zon hijau dan zon informatif, malah program tersebut turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma, perkhidmatan pendaftaran sebagai pemandu Grab, perkhidmatan daripada Jabatan Bantuan Guaman, jualan rahmah daripada MYDIN dan jualan ikan rahmah Pulau Pinang sebagai daya tarikan kepada pengunjung yang hadir dari kawasan atau negeri yang berhampiran seperti Kedah, Perlis dan Perak.

Tambah beliau, program MADANI Afiat merangkumi dua sesi, iaitu program touch point, iaitu lawatan dari rumah ke rumah yang memfokuskan aktiviti saringan kesihatan yang melibatkan pihak pengurusan tertinggi KKM, pemimpin masyarakat serta pasukan perubatan bagi mendekati dan menyantuni rakyat secara lebih dekat.

Sesi kedua ialah program statik yang memberikan peluang kepada agensi kerajaan yang terlibat dan berminat untuk bersama-sama KKM bagi mengadakan pameran, aktiviti interaktif, perkhidmatan, demonstrasi serta didik hibur, misalnya mempromosikan hal berkaitan dengan kesihatan dalam bentuk komedi, drama dan sebagainya.

Dalam program itu juga terdapat zon aktiviti yang dikhaskan untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, larian ria (fun run), sesi kaunseling dan perkongsian tentang autisme sebagai pendedahan awal kepada ibu bapa untuk mengenal pasti tanda anak autisme.

Program MADANI Afiat mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai literasi kesihatan yang tinggi, mengamalkan cara hidup dan pembudayaan yang baik, memupuk minda sihat serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

Jelas beliau, dengan adanya masyarakat yang sihat, sasaran peralihan paradigma oleh KKM daripada “sick care” kepada “health care” akan tercapai sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan negara dan boleh digunakan untuk menambah bekalan perubatan atau perkhidmatan lain.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang program MADANI Afiat di Pulau Pinang, orang awam boleh melayari laman sesawang KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.