Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBunga matahari atau nama botaninya, Helianthus annuus ialah sejenis pokok semusim dalam genus Helianthus dan famili Asteraceae. Spesies ini berasal dari benua Amerika dan memiliki kepala bunga yang berkuntum besar.
Biji benih bunga kebangsaan Ukraine ini boleh dimakan sebagai makanan ringan atau diproses menjadi minyak masak. Tumbuhan ini juga ditanam sebagai tanaman hiasan.
Pokok bunga matahari berukuran setinggi dua meter. Batang tumbuhan jenis herba ini kasar dan berbulu. Ketinggian bunga matahari yang paling tinggi direkodkan hingga 9.17 meter.
Daun pokok bunga matahari berukuran antara 12 sentimeter hingga 26 sentimeter panjang dan dengan kelebaran antara 101 sentimeter hingga 120 sentimeter. Daunnya berbentuk bulat dan kumpulan daun paling besar tumbuh berdekatan dengan pangkal batang. Bahagian tepi daun ini bergerigi dan permukaannya kasar. Daun pokok ini juga disusun berselang-seli.
Bunga matahari berbunga dari Jun hingga September. Bunga matahari liar menghasilkan banyak ranting kuntum di habitatnya. Walau bagaimanapun, bunga matahari yang ditanam di ladang pula sering mempunyai sekuntum bunga sahaja di atas batangnya.
Kuntum bunga yang muncul terdiri daripada sejambak anak bunga ceper berkelopak lima dan berwarna perang kemerahan. Jambak ini berbentuk cakera dengan garis pusat antara 7.5 sentimeter hingga 12.5 sentimeter dan dikelilingi anak-anak bunga ruji yang besar dan tidak setangkup, mandul serta tercantum kelopaknya menyerupai ranggi berwarna kuning emas, jingga atau merah. Cakera kuntum bunga matahari boleh mencapai garis pusat selebar 30 sentimeter dengan benih yang cukup besar.
Buahnya besar, iaitu dari satu sentimeter hingga dua sentimeter panjang, berbentuk bujur serta kulitnya berbelang hitam dan putih. Biji di dalam buahnya boleh dikupas dan dimakan terus atau dipanggang dan dibubuh garam. Isinya boleh dikisar menjadi tepung yang digunakan dalam masakan atau menjadi minyak melalui proses tekanan. Jambak bunga yang muda boleh dimakan seperti sayur yang boleh dibuat lauk.
Bunga matahari juga ditanam di beberapa tapak loji kuasa nuklear Chornobyl dan Fukushima I. Tindakan ini dilakukan untuk membuang sisa toksik dan radioaktif tanah.
Rakyat Malaysia yang meminati bunga matahari kini tidak lagi perlu atau terpaksa ke Thailand untuk menikmati flora ciptaan Tuhan yang indah ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana di negara ini sudah mempunyai ladang bunga matahari yang hebat, sama ada untuk dijadikan tempat bergambar ataupun membeli benih bunga berkenaan!
Demikianlah Taman Bunga Matahari atau Sunflower Garden yang terletak di Bagan Datuk, Perak. Lokasi ini semakin menjadi antara tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk melihat bunga matahari besar.
Kira-kira 131 kilometer dari Ipoh, perjalanan ke Taman Bunga Matahari di A128, Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk ini mengambil masa selama dua jam jika memandu kereta.
Antara tempat atau titik untuk bergambar dengan peragaan hari ini atau outfit of the day yang menarik termasuklah sarang burung, buaian besar, jam besar replika, “tangga ke syurga” dan paling menarik, kincir angin replika yang membuat anda seperti berada di Belanda!
Tempat ini boleh dinikmati sama ada berseorangan atau lebih seronok bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Untuk kepuasan hati dan mutu gambar-gambar yang tinggi, upahlah jurufoto bertauliah.
Yang lebih menarik, walaupun namanya Taman Bunga Matahari, tetapi kini taman ini kian bertambah dengan pohon bunga yang lain seperti bunga kebangsaan negara, iaitu bunga raya. Selain itu, di taman ini juga terdapatnya kolam yang menempatkan ikan peliharaan sebagai bahan pemandangan alternatif atau penambah keindahan.
Menurut pihak pengusaha taman yang dibuka setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam ini, masa terbaik untuk mengunjungi taman ini tentulah ketika bunga banyak berkembang.
Terdapat lebih dua ribu pokok bunga matahari di taman yang berukuran 0.8 hektar ini. Untuk memastikan semua bunga sentiasa berkembang, pengusaha taman menanam pokok di tiga buah lot pada tiga peringkat yang berbeza.
Setakat ini, Taman Bunga Matahari dikunjungi hampir 200 orang setiap hari. Selain sebagai tempat mengambil gambar yang menarik, taman atau ladang ini turut memelihara itik dan ikan. Para pengunjung dibenarkan memberi makan itik dan ikan tersebut.
Tiket masuk ke Taman Bunga Matahari berharga RM13.00 untuk dewasa, RM10.00 (kanak-kanak berusia antara tujuh tahun hingga 11 tahun), dan RM5.00 (kanak-kanak berusia antara tiga tahun hingga empat tahun). Untuk kemudahan para pengunjung, terdapat juga warung yang menjual makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan.