21 Oktober 2023, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak lebih daripada 600 orang warga emas mengambil bahagian dalam pelbagai acara sepanjang Karnival Hari Warga Emas Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 berlangsung, di Dataran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Karnival anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Hospital Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diadakan bersempena dengan sambutan Hari Warga Emas yang disambut pada 2 Oktober pada setiap tahun.

“Seiring dengan pembangunan negara, karnival seumpama ini menjadi platform kolaborasi strategik dan manifestasi kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat dalam menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu ketika merasmikan karnival berkenaan.

Karnival yang menggabungkan 11 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta dua buah Kelab Warga Emas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ini diadakan bagi menghargai sumbangan warga emas terhadap kemajuan dan kemakmuran negara serta membina masyarakat penyayang.

Malaysia dijangkakan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini merupakan warga emas.

Dalam hal ini, kerajaan telah membangunkan Pangkalan Data Berpusat Warga Emas dan pemerkasaan PAWE sebagai usaha dalam memastikan kesejahteraan kumpulan sasar melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan kepada warga emas.

Bagi meningkatkan perkhidmatan sokongan kepada warga emas di negara ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pihak kerajaan dengan sektor korporat dan syarikat swasta dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat.

Antara program yang berlangsung dalam Karnival Hari Warga Emas Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 termasuklah aktiviti senaman, pemeriksaan kesihatan, forum berkaitan dengan warga emas, saringan demensia secara percuma dan pertandingan yang menjurus kepada pemerkasaan warga emas aktif dan kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.