17 Oktober 2023, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persidangan Kecerdasan Buatan United Kingdom – Malaysia menjadi pemangkin kepada transformasi positif dalam perkembangan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dan melakarkan hala tuju baharu ke arah pasaran yang lebih luas selain mentransformasikan negara ini daripada negara yang menggunakan teknologi kepada negara yang membangunkan teknologi.

Persidangan antarabangsa anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur itu memfokuskan perbincangan berkaitan dengan AI yang merupakan satu daripada teknologi yang ditekankan dalam dokumen Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 – 2030, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021 – 2025 dan United Kingdom International Technology Strategy.

“Selain menyediakan platform dialog terbuka bagi membincangkan hal berkaitan dengan piawaian AI antarabangsa yang inklusif dan bertanggungjawab, persidangan tersebut dapat memupuk jalinan kerjasama dan diplomasi teknologi yang lebih kukuh antara United Kingdom (UK) dengan Malaysia menerusi perkongsian ilmu,” kata Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof ketika merasmikan persidangan tersebut di Connexion Conference and Event Centre, Kuala Lumpur, hari ini.

Persidangan berkenaan dihadiri oleh lebih daripada 300 orang peserta dan para pakar AI dari UK, China, Singapura, Indonesia dan Malaysia dihimpunkan bagi membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan AI termasuklah tadbir urus, dasar dan peraturan AI, perkongsian merangkumi penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang kesihatan dan pertanian serta pembangunan bakat dan kemahiran.

Pada masa yang sama, sebanyak 12 pameran AI yang merangkumi empat buah syarikat tempatan, tujuh buah syarikat antarabangsa dan sebuah universiti turut terlibat dalam persidangan tersebut bagi mempamerkan projek, kes gunaan dan inovasi terkini dalam industri AI.

Kerjasama antara UK dengan Malaysia menerusi gabungan kepakaran dalam sektor sains, teknologi dan industri serta pengukuhan profil penyelidikan antarabangsa perlu diteruskan bagi meningkatkan ekonomi kedua-dua buah negara tersebut.

Turut hadir dalam majlis perasmian persidangan berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dan Penasihat (Isu Global), Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Andrew Bowes.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.