22 Ogos 2023, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Bengkel Skrip Temu Bual Ratna Bintang di Bilik Terapi Berkelompok, Klinik Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini bertujuan memperkenalkan skrip yang berstruktur bagi membantu ahli psikologi memperkukuh kemahiran dalam mendapatkan maklumat tambahan mengenai masalah psikologi klien kanak-kanak daripada pelbagai pihak, terutamanya guru sekolah.

Bengkel yang disertai oleh 11 orang pelajar Sarjana Psikologi Klinikal Tahun Satu itu memberikan panduan kepada mereka untuk menemu bual guru sekolah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran dan gangguan perkembangan neuro.

Peserta diberikan penerangan tentang skrip temu bual Ratna Bintang dalam Bengkel Skrip Temu Bual Ratna Bintang di Bilik Terapi Berkelompok, Klinik Psikologi Kesihatan, FSK, UKM hari ini.

“Pengumpulan maklumat yang komprehensif tentang seseorang klien adalah penting bagi mendapatkan diagnosis yang tepat,” kata Ketua Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam ketika memulakan sesi bengkel itu dengan memperkenalkan pemberian maklumat latar belakang umum mengenai kepentingan dan keperluan mendapatkan maklumat tambahan daripada pihak sekolah.

Sesi bengkel yang seterusnya memberikan pendedahan tentang skrip temu bual Ratna Bintang yang terdiri daripada 40 soalan merangkumi tujuh perkara utama, iaitu maklum balas sekolah; akademik; tingkah laku; kefahaman atau pertuturan; sosial; pengurusan diri dan emosi yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi Klinikal, FSK, UKM, Puan Nurul Syasya Mohd Ridzwan Goh.

Dalam sesi menguji keberkesanan skrip temu bual Ratna Bintang, kebanyakan peserta menyatakan bahawa skrip tersebut dapat membantu mereka mendapatkan maklumat lengkap tentang masalah psikologi yang dihadapi oleh kanak-kanak menerusi temu bual bersama-sama guru klien berkenaan.

“Kini, saya berasa lebih yakin untuk menemu bual guru klien dan tidak akan meninggalkan maklumat penting ketika sesi temu bual dijalankan,” ujar pelajar Sarjana Psikologi Klinikal, UKM, Puan Nurul Inani Ab Samad.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Sarjana Psikologi Klinikal, UKM, Puan Wardatul ‘Aisyah Mohamad menyatakan bahawa dengan adanya skrip temu bual Ratna Bintang yang lebih berstruktur itu, beliau berasa lebih berkeyakinan dan memahami perkara penting yang perlu dilakukan semasa menemu bual seseorang.

Hasil tinjauan memperlihatkan pengajaran dan pembelajaran melalui skrip yang dibangunkan itu memberikan kesan positif kepada pelajar Sarjana Psikologi Klinikal sekali gus membantu mereka meningkatkan kemahiran dalam temu duga klinikal.

Skrip tersebut juga diyakini dapat digunakan oleh ahli profesional daripada bidang sains kesihatan lain bagi membantu mendapatkan maklumat klien kanak-kanak yang lengkap.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.