17 Julai 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagan Lalang – Selain memperkukuh kemahiran komunikasi visual dalam industri kreatif, Kursus Integrasi Pereka dan Jurukamera yang dianjurkan oleh Unit Komunikasi dan Korporat (UKK) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan mempertingkat tahap kepakaran dalam bidang rekaan dan fotografi.

Kursus selama empat hari yang bermula pada 10 Julai 2023 hingga 13 Julai 2023 di Camar Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu turut menawarkan pelbagai pengisian berkaitan dengan asas komposisi rekaan dan fotografi.

“Menerusi kursus ini, semua peserta diharapkan dapat bekerjasama dalam menghasilkan karya kreatif bagi kegunaan MOSTI, jabatan dan agensi sekali gus menambah pengetahuan orang awam berkenaan dengan kementerian,” kata Pegawai Penerangan UKK, MOSTI, Encik Ahmad Ammar Othman ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Kursus Integrasi Pereka dan Jurukamera.

Dalam kursus berkenaan, pereka didedahkan dengan perisian Photoshop 2023, Canva dan ChatGPT, manakala jurukamera pula berpeluang mempelajari asas DSLR yang merangkumi laju pengatup, bukaan dan ISO.

Peserta sedang mengaplikasikan teknik penggunan DSLR.

Selain itu, peserta juga didedahkan dengan aturan satu lampu studio dan pengendalian dron yang semakin popular dalam industri fotografi.

Kursus tersebut turut menekankan pengalaman praktikal yang melibatkan latihan dan sesi praktikum bagi membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh secara langsung, memastikan peserta memiliki kefahaman yang mendalam dalam bidang komposisi rekaan dan teknikal semasa menggunakan perisian dan peralatan fotografi.

Tidak ketinggalan juga, kursus yang disertai oleh 20 orang peserta termasuklah peserta daripada UKK, MOSTI, Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Pusat Sains Negara, Akademi Sains, Bioeconomy Corp, Yayasan Inovasi Malaysia, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), MIMOS Berhad dan Malaysia Board of Technologists (MBOT) ini memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari dan memperluas pengetahuan mereka dalam bidang fotografi dan memperkukuh kemahiran dalam menghasilkan karya yang berkualiti tinggi.

Pada masa yang sama, kehadiran Encik Imran Abdul Jabar dan Encik Ahmad Rithauddin selaku jurulatih daripada SifooDotCom yang pakar dalam bidang rekaan dan fotografi turut memberikan nilai tambah terhadap kursus berkenaan bagi memastikan peserta mendapat pengajaran yang berkesan dan praktikal.

Dengan adanya kepakaran dan pengalaman daripada para pakar SifooDotCom, peserta dapat mengejar kemajuan dalam bidang komunikasi visual dan memanfaatkannya untuk memperkukuh strategi komunikasi dalam era digital pada masa ini.

Semua peserta yang terlibat dalam Kursus Integrasi Pereka dan Jurukamera bergambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.

Kursus berkenaan telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan pendedahan yang menyeluruh mengenai aspek komposisi rekaan dan fotografi serta penerapan teknikal menggunakan perisian dan peralatan fotografi yang penting dalam industri kreatif.

Peserta yang menyertai kursus itu diharapkan dapat menggunakan kemahiran yang diperoleh untuk mencipta karya yang inovatif dan berkualiti tinggi sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri kreatif di tempat kerja masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.