Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menganjurkan Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023 yang menghimpunkan para pemikir, inovator dan profesional dalam bidang inovasi sosial di Menara MARA, Kuala Lumpur, bermula hari ini hingga 6 Julai 2023.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, YIM sebagai agensi pelaksana Inisiatif Inovasi Sosial sejak tahun 2021 melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengenal pasti sebanyak lima ribu sukarelawan, membangunkan lima ribu projek inovasi sosial dan mereplikasi serta mengkomersialkan lima ratus projek inovasi.
Dalam ucapan perasmian KIS 2023 oleh Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup, beliau memaklumkan bahawa bagi menyemarakkan lagi inisiatif MyIS pada tahun 2023, MOSTI melalui YIM mengiktiraf pencapaian cemerlang para inovator melalui platform sebegini.
Program seperti ini dapat menggalakkan rakyat berinovasi melalui kerjasama secara quintuple helix yang melibatkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat dengan tidak mengabaikan elemen alam sekitar.
KIS 2023 juga dapat meningkatkan kolaborasi dan memperkukuh penyelesaian yang lebih berinovatif dalam mengatasi cabaran sosial yang dihadapi negara pada masa ini selain menjadi platform yang menghubungkan para inovator sosial untuk berkongsi idea, pengetahuan dan pengalaman yang dapat mendorong transformasi sosial secara berterusan.
“Inisiatif ini turut mengiktiraf para inovator sosial di Malaysia dalam penghasilan inovasi tempatan yang berasaskan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan,” sambungnya lagi.
KIS 2023 mensasarkan kunjungan sebanyak seribu orang daripada pelbagai latar belakang di samping penglibatan kira-kira 150 inovator dari seluruh negara serta tiga penceramah antarabangsa daripada India dan Filipina untuk membincangkan idea yang boleh diketengahkan dalam usaha untuk menjayakan inisiatif inovasi sosial di Malaysia.
Konvensyen ini juga menjadi medium penting kepada MOSTI dalam usaha mempromosikan Inisiatif Inovasi Sosial sebagai satu daripada aspek pembangunan STIE yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan bakat inovator sosial yang adaptif dalam pelbagai bidang sains dan teknologi bagi memacu ekonomi negara dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Antara program yang akan dijalankan dalam KIS 2023 termasuklah Seminar “Road to Entrepreneurial Leadership and Sustainability, Social Innovation Future Tech Talent dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Pocket Talk, iaitu perkongsian yang disampaikan oleh pakar inovasi yang terdiri daripada MARA, Anthena Empower, Industry 4.0 Entrepreneurs Association of Malaysia, YIM dan MOSTI.