11 Jun 2023, 21:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban 2 – Subsidi Ujian Mamogram di bawah Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik pelibatan sebanyak 34 322 orang wanita di Negeri Sembilan untuk menjalani ujian tersebut.

Jumlah ini merupakan 7.27 peratus daripada keseluruhan jumlah wanita yang telah mendapat manfaat daripada subsidi ujian mamogram yang diperkenalkan sejak Mei 2007 hingga April 2023.

Pemberian subsidi mamogram ini memfokuskan wanita Malaysia dan penduduk tetap yang berisiko tinggi yang berumur 40 tahun hingga 70 tahun.

Walau bagaimanapun, pemberian subsidi ini diperluas mulai 15 Februari 2012 kepada wanita berumur 35 tahun hingga 39 tahun yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan, sebanyak 4352 wanita di Negeri Sembilan telah mendapatkan ujian papilomavirus manusia (HPV) asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 2019 hingga April 2023.

Sementara itu, jumlah penyertaan wanita dalam ujian ini pada peringkat nasional adalah sebanyak 75 675 orang.

Pemberian Ujian HPV DNA secara percuma mula diperkenalkan pada tahun 2019 di bawah Bajet 2019 dengan peruntukan sebanyak RM3.6 juta untuk meningkatkan jumlah wanita menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA dan mendapatkan rujukan bagi wanita yang dijangkiti oleh HPV Jenis Risiko Tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.