24 Mei 2023, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan Persidangan APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia 2023 bertujuan meningkatkan kapasiti dalam mencegah demensia dengan memperkasakan sistem penjagaan kesihatan di rantau Asia Pasifik dan membincangkan cara untuk mengurangkan beban ekonomi demensia terhadap keluarga, komuniti dan sistem penjagaan kesihatan.

Persidangan berkenaan dianjurkan oleh Asia Pacific Economic Cooperation (APEC) dengan kerjasama Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square selama dua hari dan disertai oleh para profesional daripada 12 buah negara.

Hari pertama persidangan dimulakan dengan sesi perkongsian oleh pakar bidang seperti YBrs. Profesor Dr. Kaarin Jane Anstey daripada University of New South Wales, Australia dan YBrs. Profesor Dr. Fransesca Mangialasche daripada Karolinska Institute, Stockholm, Sweden.

Seterusnya, sesi pembentangan tentang dasar dan strategi pencegahan demensia oleh para peserta dan pihak berkepentingan penjagaan kesihatan daripada 12 buah negara diadakan yang melibatkan Singapura, Australia, Brunei, Chile, China, Indonesia, Malaysia, Peru, Filipina, Rusia, Thailand dan Vietnam.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, YBrs. Dr. Mohd Azman Yacob bagi mewakili Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa.

Pada hari kedua persidangan pula, sesi perkongsian tentang instrumen saringan dan pengesanan awal kemerosatan kognitif telah disampaikan oleh Pengarah Dementia Research Centre, National University Hospital, Singapura, YBrs. Profesor Madya Nagaendran Kandiah.

Sebanyak empat bengkel interaktif turut diadakan pada hari kedua persidangan berkenaan bagi membincangkan kesedaran psikopendidikan mengenai strategi untuk mencegah demensia dalam kalangan orang dewasa.

Persidangan APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia mampu mengukuhkan rangkaian yang menekankan keutamaan APEC, terutamanya berkaitan dengan “ekonomi sihat dalam dunia penuaan” bagi menggalakkan penuaan sihat termasuklah strategi untuk mencegah demensia.

Turut hadir dalam persidangan tersebut ialah Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar yang mewakili Naib Canselor UKM dan penyelia projek APEC Serantau Asia-Pasifik: Pencegahan Demensia 2023, YBrs. Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam serta hampir 200 orang peserta daripada pelbagai negara APEC yang menyertai persidangan ini sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.