Oleh Wee Hin Boo
23 Mei 2023, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cuaca yang tidak menentu, peralihan musim dan suhu ekstrem sering dikaitkan dengan perubahan Iklim. Pemanasan bumi disebabkan oleh tindakan manusia seperti pelepasan gas rumah kaca dan pemusnahan sistem pengawalan semula jadi adalah antara penyebab perubahan iklim yang berlaku.

Sejak bermulanya revolusi industri pada abad ke-19, suhu permukaan global telah meningkat lebih daripada satu darjah Celsius. Walaupun angka ini kelihatan kecil, masyarakat harus memahami bahawa bumi sangat cekap dalam mengawal sistem dalamannya. Perubahan suhu yang kecil daripada purata suhu dunia menandakan suatu perubahan yang besar dalam sistem tersebut.

Terdapat laporan yang menunjukkan trend pemanasan global yang membimbangkan dengan menyatakan bahawa pada tahun 2022 sebagai tahun yang paling panas, terutamanya di permukaan air laut. Selain itu, gelombang panas fenomena El Nino dijangkakan berlaku pada tahun ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran beberapa bulan sebelum puncak pemanasan global yang dijangkakan berlaku pada Julai 2023. Pemanasan di darat di negara ini telah dirasai yang dibuktikan dengan pelbagai laporan yang dilaporkan di media massa. Walau bagaimanapun, tidak banyak perhatian diberikan kepada pemanasan di lautan yang luas, terutamanya di perairan Malaysia.

Antara habitat marin dan ekosistem yang paling terjejas disebabkan oleh perubahan iklim termasuklah terumbu karang. Malaysia mempunyai kira-kira 4006 kilometer persegi keluasan terumbu karang yang merentasi sepanjang pantai yang cetek, yakni kedalaman kurang daripada 20 meter di kepulauan Semenanjung Malaysia dan Borneo. Ekosistem ini amat sensitif terhadap perubahan suhu, terutamanya pemanasan di permukaan air laut.

Dengan perubahan kecil terhadap suhu udara dan peningkatan keamatan sinaran matahari, air laut yang cetek mudah dipanaskan. Dengan pola pemanasan semasa dan gelombang haba yang dijangkakan daripada fenomena El Nino pada musim panas ini, hal ini mendatangkan kegusaran kepada beberapa pihak kerana haiwan di dalam terumbu karang berkemungkinan akan mati secara besar-besaran.

Hal ini dikatakan demikian kerana blok binaan utama terumbu karang, iaitu batu karang atau nama saintifiknya Scleractinia sangat sensitif terhadap perubahan suhu. Julat suhu air laut batu karang yang normal adalah sekitar 25 darjah Celsius hingga 28 darjah Celsius. Jika corak pemanasan ini berterusan, suhu air cetek berkemungkinan melebihi 30 darjah Celsius menjelang musim panas.

Peningkatan suhu akan menyebabkan banyak interaksi biologi, kimia dan fizikal di dalam laut berubah secara ketara, terutamanya kitaran biologi di dalam terumbu karang. Antara interaksi biologi yang terjejas termasuklah pecahan hubungan biologi antara batu karang dengan organisma simbiotik, terutamanya alga simbiotik yang berwarna-warni.

Untuk melindungi dirinya daripada toksik akibat peningkatan suhu, batu karang (tuan rumah) terpaksa mengusir alga simbiotik daripada sistemnya secara paksa. Tindakan ini menyebabkan warna terumbu karang meluntur menjadi putih, sekali gus membawa kepada fenomena yang dikenali sebagai “pelunturan terumbu karang”.

Terumbu karang yang sihat.

Tanpa alga simbiotik, batu karang yang luntur hanya dapat bertahan kira-kira dua minggu hingga empat minggu dalam keadaan suhu air laut yang panas. Hal ini dikatakan demikian kerana 90 peratus sumber makanan batu karang putih bergantung pada alga simbiotik tersebut.

Terumbu karang yang luntur.

Jika hubungan ini tidak dipulihkan dalam masa yang ditetapkan, batu karang akan mati kelaparan dan mengakibatkan kematian batu karang dan terumbu karang secara besar-besaran.

Kejadian pelunturan terumbu karang berskala besar pertama di Malaysia dilaporkan berlaku pada tahun 1998 semasa fenomena El Nino. Namun begitu, rekod saintifik terhadap tindak balas kejadian itu amat terhad pada waktu tersebut.

Apabila berlakunya fenomena El Nino yang seterusnya dan kejadian pelunturan terumbu karang secara besar-besaran pada tahun 2010, pihak berkuasa Malaysia ketika itu (Jabatan Taman Laut) mengambil tindakan sistematik dengan menutup kawasan terumbu karang yang terjejas daripada kunjungan para pengunjung. Tindakan tersebut dapat meminimumkan kesan pemutihan terumbu karang, namun penambahbaikan perlu dilakukan bagi meminimumkan kesan ekonomi penutupan tapak terumbu karang.

Antara tahun 2015 hingga tahun 2017, kejadian pelunturan terumbu karang secara besar-besaran dilaporkan di seluruh dunia. Kawasan yang paling teruk terjejas ialah di Great Barrier Reef, Australia. Namun demikian, Malaysia hanya mengalami kerosakan yang minimum disebabkan oleh kesan ringan fenomena El Nino ketika itu.

Pada tahun ini, METMalaysia telah mengeluarkan amaran tentang risiko tinggi fenomena El Nino yang akan melanda Malaysia antara Julai 2023 hingga September 2023. Pada masa yang sama, NOAA Coral Reef Watch juga mengeluarkan amaran terdapat peluang sebanyak 60 peratus untuk pemutihan karang berlaku di Malaysia menjelang Julai 2023.

Sebanyak 60 peratus kebarangkalian terumbu karang di seluruh dunia menghadapi tekanan haba pelunturan karang menjelang Julai 2023. Malaysia berada pada Tahap Berjaga-jaga Satu yang bermaksud 60 peratus kemungkinan pelunturan karang dijangkakan berlaku.

Sudah tiba masanya bagi setiap pihak yang berkepentingan dengan terumbu karang di Malaysia untuk membuat perancangan dan menyusun tindakan yang sewajarnya dengan segera.

Jabatan Perikanan Malaysia dengan bantuan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber harus melaksanakan usaha ini bagi melestarikan dan membina kecekapan terumbu karang dalam menghadapi gelombang haba yang akan datang. Ahli sains dan pemuliharaan juga dinasihatkan agar bekerjasama dengan pengurus terumbu karang tempatan untuk menjayakan usaha ini.

 

Dr. Wee Hin Boo, Felow Penyelidik, Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.