17 Mei 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kursus Pengenalan kepada Kejuruteraan atau Introduction to Engineering (ITE) merupakan kursus teras yang wajib diambil oleh semua pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kursus ini ditawarkan pada semester satu daripada sejumlah lapan semester yang perlu dilalui bagi menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kejuruteraan.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Namun begitu, yang uniknya ialah ITE diintegrasikan bersama-sama dua kursus yang lain, iaitu Seminar Industri dan Profesion (ISP) serta Pengenalan kepada Pengaturcaraan Komputer (ICP).

Selain pengetahuan asas tentang kejuruteraan seperti skop dan cabang profesion, etika kejuruteraan serta pengiraan kejuruteraan, pelajar kejuruteraan kimia juga diberikan projek berkaitan isu kelestarian. Setiap tahun, topik yang berbeza diberikan seperti isu penggunaan air, tenaga elektrik, sisa makanan dan karbon rendah.

Pada tahun ini, isu berkaitan sisa mikroplastik telah dipilih. Projek ini telah diformulasikan dengan sebaik-baiknya dan memerlukan pelajar untuk bekerja dalam pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada tiga orang hingga lima orang dan bergantung pada jumlah pelajar di setiap kelas.

Projek tersebut dibahagikan kepada tiga peringkat. Pada peringkat pertama, pelajar perlu membuat kajian literatur yang komprehensif berkaitan mikroplastik. Hal ini termasuklah definisi, penghasilan, pengaplikasian mikroplastik dalam kehidupan seharian, kadar penggunaan plastik serta penjanaan sisa di Malaysia di samping penandaarasan dengan dua buah negara lain (yang boleh dipilih oleh pelajar sendiri dengan justifikasi yang wajar).

Untuk menjalankan tugasan ini, pelajar perlu mengaplikasikan kemahiran kebolehan belajar secara kendiri bagi mengumpulkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti artikel daripada jurnal, surat khabar serta buku dengan membaca dan memahami bahan maklumat yang dikumpulkan sebelum menganalisis data bagi tujuan pelaporan projek.

Pada peringkat kedua, pelajar perlu membuat pengumpulan data yang sebenar bagi jumlah sisa plastik yang dihasilkan oleh keluarga, diri sendiri dan rakan sekuliah. Bagi pengumpulan data yang melibatkan keluarga, pelajar berpeluang mengumpulkan data tersebut ketika cuti pertengahan semester semasa mereka pulang ke rumah masing-masing.

Bagi pengumpulan data untuk diri sendiri pula, proses pengumpulan data adalah jauh lebih mudah kerana hanya dilakukan di asrama. Pelajar perlu mengumpulkan sisa plastik yang dihasilkan sepanjang hari, kemudian mengasingkannya mengikut jenis plastik dan menimbang berat setiap kategori plastik tersebut. Proses ini dilaksanakan selama satu minggu.

Pada peringkat ketiga, berdasarkan penemuan data yang telah dianalisis semasa peringkat kedua (jenis plastik yang menyumbang kepada jumlah sisa yang paling banyak sepanjang satu minggu tersebut), setiap pasukan perlu menjana tiga alternatif penyelesaian yang berupaya menghapuskan, mengurangkan atau menguruskan sisa plastik tersebut dengan efektif.

Penyelesaian tersebut perlulah mengaplikasikan prinsip kejuruteraan, selain mengambil kira indikator kelestarian yang lain seperti mesra alam sekitar, kebolehlaksanaan dari aspek teknologi serta kos yang berpatutan. Kemudian, pelajar perlu memilih penyelesaian yang terbaik daripada tiga alternatif yang disenarai pendekkan. Pemilihan tersebut dibuat secara objektif pelbagai kriteria (multicriteria objectives) menggunakan pengaturcaraan Matlab.

Bahagian Matlab ini diseliakan oleh pensyarah kursus ICP. Pensyarah ISP pula bertanggungjawab menganjurkan pelbagai siri seminar dan bengkel yang berkaitan dengan projek mereka seperti seminar tentang mikroplastik oleh pakar daripada Universiti Malaysia Terengganu, bengkel analisis data menggunakan Microsoft Excel serta proses penyelesaian masalah yang berstruktur.

Kemuncak bagi projek ini adalah apabila pelajar perlu membentangkan hasil penyelesaian mereka dalam bentuk pertandingan dan pameran. Sebanyak 161 orang pelajar Tahun 1 daripada lima seksyen yang membentuk 40 pasukan terlibat dalam pameran ini yang dilaksanakan pada Januari 2023 di Dewan Bankuet UTM.

 

 

Sesi pengumuman keputusan dan pemberian hadiah kepada pemenang.

Setiap pasukan dinilai oleh tiga orang juri, iaitu seorang dari Jabatan Kejuruteraan Kimia, seorang dari jabatan atau pusat lain di UTM yang berkaitan dengan kelestarian dan seorang lagi dari industri. Bagi tujuan penilaian, pelajar perlu menyediakan poster (bagi ruang bersaiz A0), selain amat digalakkan untuk menghasilkan prototaip bagi demonstrasi penyelesaian yang lebih berkesan.

Setelah sesi pembentangan, pelajar diuji oleh juri dengan pelbagai soalan mencabar yang berkaitan dengan penyelesaian yang dicadangkan. Hal ini juga bagi mendedahkan pelajar dengan pengalaman menjawab soalan teknikal serta mempertahankan cadangan penyelesaian mereka dengan ciri kekuatan yang ada.

Program ini juga telah menerima sumbangan kewangan dairpada pihak jabatan sendiri selain Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTM Campus Sustainability). Para pemenang menerima hadiah wang tunai, hamper, buku serta sijil.

Pada akhir program, kami telah menerima pelawaan daripada pihak UTM Campus Sustainability untuk berkolaborasi bagi menjayakan projek tahun hadapan. Tajuk yang dicadangkan adalah berkisar keseimbangan nutrisi, termasuklah aspek sekuriti dan kelestarian sumber makanan.

Maklum balas yang positif seperti inilah yang menjadi inspirasi untuk kami terus menambah baik projek pelajar berkaitan dengan isu kelestarian pada masa akan datang.

 

Profesor Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, UTM-MPRC Institute for Oil and Gas, Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.