16 Mei 2023, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selain susu ibu, amalan tahnik juga boleh mempengaruhi kepelbagaian mikrobiota awal usus bayi. Tahnik merupakan perbuatan menggosokkan makanan manis seperti kurma yang dikunyah ke lelangit mulut bayi supaya sebahagian daripada kurma tersebut akan ditelan dan sampai ke usus bayi.

Tahnik boleh dilakukan kepada bayi yang baru lahir ataupun sebelum hari ketujuh usianya. Selain kurma, makanan manis seperti madu juga boleh digunakan untuk mentahnikkan bayi.

Amalan tahnik ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasullullah SAW lagi. Bayi yang baru sahaja lahir akan dibawa kepada Rasullulah SAW untuk ditahnikkan. Kini, amalan tahnik masih lagi diamalkan dengan membawa bayi yang baru lahir kepada orang soleh atau dilakukan oleh ibu bapa bayi tersebut.

Mikrobiota awal usus bayi kebanyakannya berasal daripada mikrobiota ibu semasa dilahirkan. Kaedah kelahiran, sama ada secara pembedahan Caesarean atau melalui faraj merupakan satu daripada faktor yang mempengaruhi kepelbagaian mikrobiota bayi. Bayi yang dilahirkan secara pembedahan mempunyai diversiti mikrobiota yang berbeza-beza berikutan pemindahan mikrobiota daripada bahagian perut ataupun kulit ibu kepada bayi.

Berdasarkan penyelidikan para saintis, bayi yang lahir melalui faraj kebiasaannya akan didominasi oleh Bifidobacterium, Lactobacillus, Prevotella, Bacteroides, Parabacteroides, Sneathia dan Escherichia. Bayi yang lahir melalui pembedahan Caesarean pula akan didominasi oleh mikrobiota daripada kulit dan mulut ibu seperti Enterococcus, Streptococcus, Klebsiella, Clostridium, Staphylococcus, Corynebacterium dan Propionibacterium.

Di samping itu, patogen oportunis yang berada di persekitaran hospital seperti Klebsiella, Enterobacter dan Enterococcus juga telah dilaporkan sebagai satu daripada kumpulan mikrobiota awal yang mendiami usus bayi yang lahir melalui proses pembedahan Caesarean.

Pemberian kurma melalui tahnik telah dilaporkan oleh para saintis sebagai satu daripada amalan yang dapat menguatkan sistem imun bayi. Mulut manusia merupakan bahagian kedua yang terbesar selepas usus yang menempatkan pelbagai jenis bakteria.

Laporan daripada penyelidik China telah melaporkan lebih daripada 700 jenis bakteria yang mendominasi mulut manusia dan kebanyakannya ialah Bacteroidetes, manakala Streptococcus, Gemella, Haemophilus, Neisseria, Porphyromonas, Prevotella dan Veillonella sebagai genus yang lazim ditemukan. Bakteria ini menjadi komensal apabila berada di dalam badan perumah, namun diversiti bakteria ini boleh berubah dan bertambah apabila persekitaran perumah mendatangkan faedah kepada bakteria.

Tahnik dapat mengubah diversiti asal mikrobiota yang berada di dalam usus bayi berikutan pemindahan mikrobiota daripada mulut seorang individu dewasa kepada mulut dan usus bayi yang baru lahir. Bakteria yang berbeza daripada amalan tahnik akan berpindah ke bahagian perut bayi, kemudiannya merangsang sistem imun berikutan kehadiran mikroflora mulut yang dikenal pasti sebagai patogen.

Antibodi akan dihasilkan oleh limfosit bagi melawan patogen ini sehinggalah sel memori diaktifkan. Sel memori ini membolehkan sistem imun bayi diperkuat supaya dapat bertindak balas sejurus selepas patogen yang sama dikenal pasti menyerang tubuh. Oleh itu, dapat dibuktikan bahawa amalan tahnik ini dapat mempengaruhi mikrobiota awal bayi di samping menguatkan sistem imun melalui pengenalan mikroflora oral.

Walaupun makanan manis lain juga boleh diamalkan, buah kurma antara yang digalakkan berikutan potensi buah ini sebagai makanan prebiotik. Kurma mengandungi sumber serat dan polifenol yang tinggi lalu menjadikannya sebagai sumber yang baik bagi menggalakkan pertumbuhan dan aktiviti bakteria usus.

Prebiotik merujuk karbohidrat yang tidak boleh dihadamkan oleh badan serta bertindak sebagai sumber makanan bagi bakteria yang mendominasi usus dan menggalakkan pertumbuhan bakteria tersebut dalam saluran pencernaan manusia.

Di samping itu, prebiotik dapat menukarkan komposisi mikrobiota di dalam usus. Proses ini berlaku apabila sumber karbohidrat melepasi metabolisme di bahagian saluran gastrousus atas dan mendekati usus besar, iaitu tempat berlakunya perubahan diversiti mikrobiota berlaku dan sekali gus menyumbang kepada kesan positif kesihatan usus.

Namun begitu, sistem pencernaan bayi yang baru dilahirkan masih belum terbentuk sepenuhnya dan menyukarkan mereka untuk menghadamkan makanan yang kaya dengan serat seperti kurma. Tambahan pula, menurut jurnal yang diterbitkan oleh penyelidik Indonesia, bayi yang baru lahir hanya memerlukan kurang daripada 20 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) hingga 30 mg/100 ml glukosa dalam darah berikutan badan bayi yang mudah terdedah kepada penyakit.

Oleh itu, tahnik dapat membantu menukarkan kandungan di dalam kurma menjadikannya lebih mudah untuk dicernakan dan diserap oleh badan bayi. Proses mengunyah kurma dengan bantuan enzim air liur, iaitu amilase akan dapat membantu menguraikan polisakarida dalam bentuk kanji dan selulosa kepada maltosa. Maltosa merupakan gula ringkas yang mudah dihadamkan oleh badan bayi. Menurut penyelidik lagi, tahnik mampu menukarkan kandungan glukosa hanya kepada lima peratus dan kandungannya yang rendah sesuai diserap oleh bayi yang baru lahir tanpa memberikan kesan negatif kepada kesihatan.

Berdasarkan laporan para penyelidik di United Kingdom, serat dan polifenol daripada kurma dapat menggalakkan pertumbuhan bakteria probiotik di samping merangsang aktiviti bakteria usus seperti Bifidobacterium dan Lactobacilli. Di samping itu, ekstrak polifenol juga dapat menghalang atau membantutkan pertumbuhan patogen seperti Escherichia coli, Clostridium perfringes dan Helocobacter pylori.

Berdasarkan kajian ini, dapat dibuktikan bahawa tahnik dapat membantu mengubah mikrobiota usus bayi, terutamanya yang lahir melalui pembedahan Caesarean yang pada kebiasaannya berlakunya ketidakseimbangan mikrobiota usus, terutamanya Bacteroides, Bifidobacteria dan Lactobacillus.

Oleh itu, tradisi mentahnik bayi adalah digalakkan untuk terus diamalkan oleh masyarakat moden berikutan pelbagai manfaat yang dapat membantu tumbesaran bayi seperti menguatkan mulut bayi untuk memudahkan proses penyusuan, menguatkan sistem imun dan menggalakkan pertumbuhan dan aktiviti bakteria baik di dalam usus bayi.

 

Dr. Nurul Syazwani Ahmad Sabri, Jabatan Kejuruteraan Proses Kimia, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.