Oleh Little Mamoru
12 Mei 2023, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kecerdasan buatan (AI) merupakan sesuatu yang menakjubkan pada abad ini. Penciptaan AI merupakan tanda kebijaksanaan manusia dan menjadi asas kepada pembinaan robot atau mesin yang boleh membantu menyelesaikan masalah. Penggunaan AI dalam bidang seni dan sastera juga semakin mendapat perhatian di arena antarabangsa.

Konsep data besar sangat berkaitan dengan AI. Data besar ialah kumpulan data yang amat banyak dan sedang bertambah dari segi saiz. Pada kebiasaannya, data ini dikumpulkan oleh sesuatu organisasi atau syarikat untuk memahami tingkah laku pengguna atau konsumer.

AI boleh menggunakan data besar yang terdapat dalam Internet untuk mereka cipta seni atau sastera yang diperlukan oleh pengguna AI. Pembelajaran mesin merupakan teknik AI yang membolehkan komputer untuk belajar daripada pengalaman. Pakar sains computer boleh mencipta algoritma supaya sebuah komputer boleh mencapai objektifnya dengan belajar dari kesilapan.

Sebagai contohnya, sebuah program komputer, iaitu AlphaGo telah dicipta untuk mencabar pemain dalam permainan Go. Go merupakan permainan berpapan tradisional yang agak popular, terutamanya dalam kalangan masyarakat Asia Timur.

Dalam bidang seni lukis, AI memainkan peranan yang luas. Kini, AI boleh mencipta seni melalui aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar. Jenis seni yang dicipta adalah berdasarkan pilihan pengguna aplikasi tersebut.

Misalnya, pengguna boleh memilih gaya seni Van Gogh sebagai dasar ciptaan seni lukis AI. Selepas itu, AI akan menghasilkan potret seni yang mempunyai gaya seni lukis yang sama dengan gaya Van Gogh. Dr. Simon Colton, seorang penyelidik dalam bidang kreativiti komputer yang telah mencipta The Painting Fool.

The Painting Fool ialah sebuah program komputer yang boleh melukis berdasarkan keadaan moodnya. Mood program komputer The Painting Fool dipengaruhi oleh jenis berita yang dibaca oleh program tersebut. Berita yang dibaca oleh The Painting Fool adalah rawak dan jika berita sedih dibaca, The Painting Fool akan melukiskan gambar yang bergaya suram.

Seterusnya, AI juga boleh mencipta seni muzik dalam pelbagai gaya. Algoritma dan muzik mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana kedua-duanya berkaitan dengan matematik. Profesor di University of California, Santa Cruz, iaitu David Cope telah mencipta sebuah program komputer untuk mencipta muzik klasik. Gaya muzik klasik yang dicipta adalah sama dengan gaya muzik komposer yang terkenal seperti Bach dan Mozart. Konsep penciptaan muzik oleh AI ini dikenali sebagai Experiments in Musical Intelligence (EMI). Muzik moden juga boleh dicipta oleh AI melalui aplikasi Soundful atau Beatoven,ai yang boleh diperoleh di Internet.

Di samping itu, dalam dunia seni fesyen, AI menjadi isu yang hangat kerana boleh mereka pelbagai gaya pakaian yang moden. Pereka fesyen boleh menggunakan idea AI untuk membuat pakaian. Sebagai contohnya, AI boleh mereka cermin mata yang sesuai berdasarkan topografi muka. Teknologi ini dinamakan sebagai AI generatif dan boleh digunakan untuk menjangkakan corak pasaran fesyen dalam kalangan pengguna di samping membantu perniagaan fesyen untuk berkembang.

Pada 20 April hingga 21 April 2023, AI Fashion Week telah berlangsung di New York dengan mempamerkan fesyen rekaan AI. Pertandingan ini mendapat perhatian media antarabangsa kerana corak, warna dan gaya pakaian adalah berdasarkan idea AI.

Selain itu, AI turut menyumbang dalam bidang sastera. AI boleh menulis surat, karangan dan sajak baharu. AI boleh membuat karya berdasarkan gaya sastera yang sama dengan gaya sastera penulis seperti yang dilakukan dalam bidang seni lukis dan bidang seni muzik.

Program AI hanya perlu menganalisis corak tatabahasa yang terdapat dalam karya tersebut untuk membuat karya yang baharu. Scheherazade-IF ialah sistem pembelajaran mesin berasaskan AI yang boleh mencipta cerita interaktif melalui pembelajaran daripada cerita yang ditulis oleh manusia. Jalan cerita interaktif akan bertukar-tukar berdasarkan pilihan pembaca.

Pihak wartawan juga boleh menggunakan AI untuk menulis berita berdasarkan data numerikal yang diperoleh. Nama program AI tersebut ialah Narrative Science.

Penggunaan AI dalam bidang seni dan sastera mendapat sambutan yang baik di negara maju. Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa AI akan membawa keburukan kepada masyarakat moden. Manusia akan semakin bergantung kepada AI untuk membuat karya seni dan tidak mengasah bakat mereka dalam bidang seni.

Sebenarnya, terdapat karya seni AI yang dikritik oleh pakar dalam bidang seni tertentu kerana karya tersebut dikatakan dicipta oleh sebuah mesin yang tidak mempunyai jiwa. Seni dicipta untuk menyampaikan sebuah mesej kepada masyarakat dan manusia yang tidak menghargai kemahiran membuat seni akan menghadapi masalah untuk menunjukkan keunikan seni sesebuah tamadun. Dalam sejarah manusia, setiap tamadun mempunyai gaya seni yang berbeza, namun pada zaman AI, ciri ini akan semakin hilang.

Peluang pekerjaan juga dalam bidang seni visual akan terpengaruh. AI mungkin akan menggantikan artis seni visual kerana boleh mencipta pelbagai karya seni yang menarik dalam tempoh masa yang pendek.

Situasi ini juga akan berlaku dalam bidang seni muzik. Sesetengah aplikasi AI adalah percuma untuk kegunaan asas supaya orang ramai tidak perlu membayar untuk memperoleh karya seni yang sesuai dengan tema yang dipilih.

Selain itu, kemahiran baharu yang selaras dengan pasaran kerja harus dipelajari supaya tidak ketinggalan zaman. Industri permainan komputer dan video akan membuka peluang pekerjaan kepada artis yang mempunyai kemahiran melukis alam maya 3D sebagai grafik permainan komputer dan video.

Lazimnya, mahasiswa universiti perlu menyiapkan banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Jika seseorang mahasiswa kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan tersebut, AI boleh digunakan untuk memberikan jawapan bagi setiap tugasan dengan cepat.

Dalam bidang sastera dan sains sosial, kreativiti manusia amat dihargai. Mahasiswa universiti harus belajar untuk berfikir secara kritikal bagi menyelesaikan masalah tugasan tanpa menggunakan AI.

Namun begitu, sesetengah ahli akademik yang menyokong penggunaan AI dalam dunia akademik. Baru-baru ini, seorang ahli akademik telah menggunakan AI untuk menulis surat cadangan untuk seorang pelajar bagi membolehkan pelajar tersebut mendapat surat tawaran dari University of Cambridge. Akhirnya, pelajar tersebut berjaya diterima masuk oleh University of Cambridge.

Masalah privasi pengguna juga merupakan antara keburukan penggunaan AI dalam bidang seni. Banyak aplikasi AI memerlukan maklumat peribadi pengguna sebelum pengguna boleh menggunakan aplikasi tersebut. Maklumat peribadi pengguna boleh disalah gunakan oleh pihak tertentu.

Penghasilan karya digital oleh AI juga memberikan peluang kepada penggodam untuk mencuri hasil karya digital yang disimpan di dalam komputer atau telefon pintar. Karya digital yang dihasilkan oleh AI boleh dijual walaupun hak cipta tidak dimiliki oleh sesiapa. Oleh itu, penggodam boleh memperoleh keuntungan yang lumayan dengan menjual karya seni AI.

Antara kebaikan AI dalam bidang seni termasuklah kemampuannya untuk mengurangkan kos galeri seni. Hasil karya AI ialah produk digital dan sesetengah golongan dalam masyarakat negara maju dan membangun amat menyanjungi karya seni digital.

Galeri seni maya yang mempamerkan seni AI boleh dibina dan dikunjungi pelawat dari seluruh dunia melalui Internet. Galeri seni maya memerlukan kos yang lebih rendah untuk dibina dan diuruskan berbanding dengan galeri seni di dunia realiti.

Keadaan ini memberikan peluang kepada golongan yang hendak mempromosikan dan menjual seni AI di luar negara dengan lebih mudah. Pemilik galeri seni maya hanya perlu mengupah moderator untuk menyelaraskan aktiviti yang diadakan di dalam galeri tersebut.

AI akan membantu orang kurang upaya untuk menghasilkan karya seni digital dengan mudah. Hanya dengan menaip beberapa perkataan di telefon pintar yang mempunyai aplikasi AI, program AI boleh menghasilkan karya seni yang cantik.

Golongan OKU akan berasa amat gembira kerana kuasa mencipta seni hanya berada di hujung jari. Pergerakan badan yang kompleks tidak diperlukan untuk menghasilkan karya seni apabila aplikasi AI digunakan. Kemudian, karya seni tersebut boleh dicetak dengan menggunakan mesin pencetak. Cat air dan berus cat tidak lagi diperlukan untuk menghasilkan karya seni visual.

Sebagai kesimpulannya, AI ialah teknologi yang memacu masa hadapan manusia. Komputer sains akan menjadi bidang yang sangat penting kerana memudahkan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Walaupun AI memberikan banyak kebaikan kepada manusia, penggunaan AI harus dikawal supaya tidak disalahgunakan untuk melakukan jenayah yang boleh mengganggu kehidupan seharian masyarakat moden.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.