Oleh Suyuthi Yusuf
12 Mei 2023, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Majlis Penutupan Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa (i-IDeATM) Ke-6 2023 telah berlangsung pada 11 Mei di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

i-IDeATM 2023 merupakan pertandingan yang mempamerkan dan mempertandingkan reka cipta inovasi dan idea yang dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, penyelidik, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara dan sekolah menengah serta sekolah rendah di seluruh Malaysia.

Pertandingan tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 9 Mei 2023 di UiTM Cawangan Perlis.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan penutupan mengatakan bahawa pertandingan ini melibatkan aspek kreativiti dan inovatif dalam kalangan peserta. Ujarnya lagi,

Pertandingan ini diadakan untuk menggalakkan pembudayaan keupayaan kreatif dan pembaharuan dalam bidang penyelidikan dan teknologi.

Pertandingan ini juga melibatkan peserta dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

Melalui i-IDeATM 2023, banyak produk daripada universiti, institusi, agensi penyelidikan tempatan dan komuniti yang boleh dikomersialkan menjadi penjana pendapatan.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi sedang berucap memperkatakan tentang i-IDeATM 2023 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis pada 11 Mei lepas.

Dalam ucapannya juga, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik luar negara seperti Prince of Songkla University, Princess of Naradhiwas University, Thailand dan Universitas Islam Riau, Indonesia yang terlibat secara langsung dalam program ini.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu kategori Crown yang melibatkan penyertaan pihak profesional dan institusi pengajian tinggi.

Kategori Crystal dan Comiic pula membabitkan peserta dari sekolah rendah dan menengah serta dari pelbagai komuniti tempatan.

Satu daripada kumpulan yang memenangi kategori Comiic.

 

Satu daripada kumpulan yang memenangi kategori Crown.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi menandatangani Surat Hasrat antara UiTM Cawangan Perlis dengan agensi dan pihak-pihak yang berkaitan.

Antara inti pati Surat Hasrat tersebut termasuklah memperluaskan hubungan dan kerjasama strategik yang melibatkan bidang penyelidikan dan penyuburan keilmuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan antara pihak yang menandatangani Surat Hasrat tersebut melalui Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa menerima Surat Hasrat yang telah ditandatangani daripada Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.