9 Mei 2023, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seminar Kemahiran Penulisan dan Pembentangan Saintifik yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menyebarluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang penerbitan berkaitan dengan kemahiran penulisan dan pembentangan saintifik yang diperlukan oleh pelajar siswazah dan penyelidik UKM.

Seminar yang disampaikan oleh Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, Universiti Putra Malaysia merangkap Felow Akademi Sains Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris bertujuan memberikan panduan penulisan dan pembentangan saintifik yang berkualiti agar para peserta dapat menerbitkan penulisan mereka dan berkeyakinan tinggi semasa melakukan pembentangan hasil kajian yang dilakukan.

Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik, Universiti Putra Malaysia merangkap Felow Akademi Sains Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris ketika menyampaikan ceramah dalam Seminar Kemahiran Penulisan dan Pembentangan Saintifik.

“Penulis perlu memahami bahawa sesebuah jurnal itu boleh menerima hingga 100 penghantaran manuskrip dalam tempoh seminggu, maka manuskrip yang dihantar perlulah berkualiti dan bebas daripada segala kesalahan bagi mengelakkan risiko penulisan manuskrip tersebut ditolak,” ujar YBrs. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris ketika menyampaikan ceramah.

Antara peserta yang terlibat dalam Seminar Kemahiran Penulisan dan Pembentangan Saintifik.

Semasa sesi seminar tersebut berlangsung, panduan dan contoh kesalahan penulisan pada manuskrip dikongsikan oleh penceramah untuk dijadikan rujukan kepada para peserta serta kaedah penggunaan slaid pembentangan turut diperincikan bagi menghasilkan pembentangan yang berimpak tinggi.

Sekiranya penolakan manuskrip berlaku, penulis boleh memberikan masa kepada diri untuk memperbaik penulisan manuskrip, namun haruslah berdisiplin terhadap masa dan tidak terlalu mengambil masa yang lama untuk menulis semula.

Pada akhir sesi seminar berkenaan, peserta didedahkan dengan realiti masa kini, yakni graduan yang mempunyai bilangan penerbitan yang tinggi lebih menonjol jika dibandingkan dengan individu lain, terutamanya jika ingin menceburi bidang akademik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.