Oleh Goh Ying Xian
3 Mei 2023, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simptom COVID-19 berpanjangan ialah suatu situasi yang merujuk bekas pesakit COVID-19 mengalami gejala COVID-19 secara berterusan bagi tempoh 12 minggu atau lebih selepas sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Di Malaysia, laporan telah menunjukkan bahawa sebanyak 21.1 peratus hingga 27.4 peratus rakyat Malaysia mengalami simptom tersebut, yakni sebanyak satu dalam lima bekas pesakit ialah mangsa simptom COVID-19 berpanjangan.

Antara simptom COVID-19 berpanjangan yang kerap dilaporkan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah keletihan, sakit otot, batuk berpanjangan dan kabut otak (brain fog). Selain itu, faktor risiko lain yang menyumbang kepada perkembangan simptom tersebut termasuklah jantina perempuan, pesakit yang tenat apabila dijangkiti COVID-19 serta mempunyai sejarah penyakit kadiovaskular dan penyakit paru-paru.

Kabut otak juga dikenali sebagai kabut COVID-19. Gejala ini berlaku apabila seseorang itu terasa pemikirannya lembab, kabur dan tidak “tajam”. Selain jangkitan COVID-19, ketidakseimbangan paras hormon, pengambilan ubat-ubatan yang dipreskripsikan untuk kanser, kekurangan tidur dan stres turut menyebabkan kabut otak berlaku.

Kabut otak akan menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir. Individu bergejala juga mungkin akan berasa keliru, tidak teratur atau sukar untuk menumpukan perhatian apabila mereka cuba untuk bertutur melalui kata-kata.

Selain proses pemikiran, keupayaan untuk menumpukan perhatian, kefasihan bahasa, kelajuan pemprosesan maklumat, fungsi eksekutif dan ingatan seseorang turut dipengaruhi oleh kabut otak. Tambahan pula, ketakmampuan kognitif juga wujud dalam kalangan bekas pesakit COVID-19 yang mengalami kabut otak yang amat tenat. Keadaan ini akan berpanjangan selama beberapa bulan selepas jangkitan COVID-19.

Dari segi prevalens, sebanyak 61.5 peratus hingga 80 peratus pesakit yang mengalami penyakit yang ringan hingga teruk semasa dijangkiti COVID-19 yang menunjukkan kemerosotan kognitif. Sementara itu, pesakit COVID-19 mungkin akan mengalami ketakmampuan kognitif walaupun sudah pulih daripada jangkitan dengan jangkaan sebanyak 54 peratus pesakit keterukan sederhana dan 65 peratus pesakit keterukan sederhana sehingga tenat mengalami situasi tersebut.

Secara umumnya, seseorang akan lebih berisiko untuk menghidap kabut otak dan ketakmampuan kognitif sekiranya individu tersebut mengalami penyakit COVID-19 yang teruk semasa dijangkiti. Jadi, apakah penyebab bagi sindrom kabut COVID-19 ini?

Menurut kajian Fernández-Castañeda dan rakan-rakan yang diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal Cell, mereka mendapati bahawa kabut COVID-19 mempunyai persamaan yang ketara dengan sindrom kognitif yang dikenali sebagai chemobrain atau gangguan kognitif yang berkaitan dengan terapi kanser (CRCI).

CRCI berlaku apabila kognitif pesakit kanser merosot disebabkan oleh jenis terapi kanser seperti kemoterapi yang diterima. Dalam konteks ini, kedua-dua situasi kabut COVID-19 dan CRCI merupakan kesan tindak balas keradangan dalam otak.

Kajian tersebut turut memerhatikan peningkatan paras sitokin (pemberi isyarat sel) dan kereaktifan mikroglia yang didorong oleh virus COVID-19 dalam cecair serebrospinal. Kenaikan paras sitokin dan kereaktifan mikroglia ini kemudiannya menyebabkan kehilangan sel saraf seperti oligodendrosit dan akson bermielin secara berterusan.

Kesannya, pembentukan sel saraf seperti neuron berkurangan dalam otak. Oleh sebab itu, walaupun sesetengah pesakit COVID-19 sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19, mereka tetap akan mengalami kabut COVID-19.

Di samping itu, menurut kajian, kabut otak yang disebabkan oleh COVID-19 ini cenderung untuk memuncak dalam beberapa bulan (hingga 14.8 bulan) selepas dijangkiti oleh COVID-19. Walau bagaimanapun, bekas pesakit COVID-19 tidak perlu risau kerana situasi kabut COVID-19 ini biasanya akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Selain kabut otak, jangkitan COVID-19 turut memberikan kesan berpanjangan terhadap otak. Dalam konteks ini, bekas pesakit COVID-19 mempunyai pengurangan ketebalan dalam beberapa bahagian otak seperti jirim kelabu (grey matter).

Perbezaan tisu otak juga diperhatikan antara bekas pesakit COVID-19 dengan mereka yang tidak pernah dijangkiti COVID-19. Kajian mendapati bahawa sesetengah tisu otak seperti korteks orbitofrontal dan girus parahipokampus adalah berkurangan dalam bekas pesakit COVID-19.

Menurut kajian UK Biobank yang diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal Nature, mereka juga mendapati bahawa ketebalan satu kawasan korteks otak berkurangan selepas dijangkiti COVID-19. Kesannya, saiz otak global pesakit COVID-19 akan terus berkurangan.

Situasi kabut otak boleh diuruskan dengan beberapa cara. Misalnya, seseorang itu boleh cuba untuk bermeditasi. Meditasi dapat menajamkan minda supaya seseorang itu dapat memberikan fokus dengan lebih baik.

Di samping itu, gaya hidup yang sihat seperti tidur yang mencukupi, senaman berkala dan pemakanan seimbang juga dapat mengurangkan kesan kabut otak kepada aktiviti harian. Mangsa kabut COVID-19 juga disarankan untuk berjumpa dengan doktor jika keadaan kabut otak tidak bertambah baik sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

 

Goh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.