17 April 2023, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Panjut ialah warisan tradisi yang unik yang sering dikaitkan dengan malam terakhir menjelang Aidilfitri. Dalam kalendar Islam, 10 malam terakhir adalah tempoh yang ditunggu-tunggu untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana satu dari malam tersebut tersimpan satu rahsia yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana yang disebut dalam al-Quran.

Disebabkan malam itu tidak diketahui, maka umat Islam lazimnya akan menggandakan amalan dengan berjaga sepanjang malam pada 10 malam terakhir tersebut. Dari sinilah timbulnya ilham dalam kalangan masyarakat Melayu untuk memasang panjut pada sebelah malam untuk menerangi pekarangan rumah dan jalan, khususnya jalan yang menuju ke tempat solat, sama ada surau, madrasah atau masjid di samping menaikkan semangat untuk berjaga malam kerana suasana yang cerah dan terang-benderang.

Panjut dipasang dengan cara menyalakan pelita yang menggunakan bahan semula jadi seperti kayu, buluh, tali guni dan minyak tanah serta bahan terpakai seperti tin susu dan yang seumpama dengannya. Bagi mencantikkan pemandangan, pelita itu kemudiannya disusun mengikut kreativiti masing-masing sehingga membentuk seni bina atau menara yang indah.

Sejajar dengan perkembangan teknologi, panjut juga telah mengalami perubahan. Akhir-akhir ini, panjut yang menggunakan kuasa suria telah diperkenalkan. Jika dilihat dari sudut yang positif, panjut yang berasaskan teknologi yang terkini ini mampu menawarkan beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dan tidak perlu mengisi minyak tanah setiap kali habis digunakan, sekali gus menjimatkan wang bagi pembelian minyak tanah.

Namun begitu, kekurangannya pula dari segi terbatasnya kreativiti kerana panjut ini tidak boleh disusun membentuk seni bina, melainkan hanya boleh didirikan di atas tanah. Mungkin kreativiti tersebut boleh dialihkan daripada seni bina kepada landskap yang menarik.

Hal ini dikatakan demikian kerana panjut berkuasa suria yang dimaksudkan merujuk lampu rumput luaran berkuasa suria yang boleh hidup atau mati secara automatik tanpa memerlukan kawalan atau pengawasan. Lampu jenis ini lazimnya dihasilkan dalam skala yang besar dan kebanyakan pengeluarnya berpangkalan di China memandangkan bekalan bahan mentah serta tenaga kerja boleh didapati dengan mudah dan murah di sana.

Antara pengeluar lampu jenis ini ialah Zhongshan Xiuben Lighting Co. Ltd. atau lebih dikenali sebagai Xiuben Lighting yang menghasilkan produk dengan jenama Donta dan Xiuben. Selain mengeluar dan memasarkan produk, syarikat ini memiliki pusat penyelidikan sendiri.

Sehingga kini, syarikat tersebut telah berjaya mendapat keluluasan harta intelek dalam 18 unit reka cipta yang meliputi penampilan produk dan model utiliti. Syarikat ini juga turut menjalankan pembangunan dalam bidang teknologi kawalan fotoelektrik pintar pelbagai fungsi, sensor inframerah dan sensor radar.

Berbalik kepada lampu rumput luaran berkuasa solar, satu daripada model keluaran Xiuben Lighting yang boleh digunakan sebagai panjut ialah model Donta 5W. Model ini bagaimanapun bukanlah jenis mudah alih kerana tapaknya perlu diikat dengan skru.

Model ini mempunyai tiga tahap ketinggian, iaitu 34 sentimeter, 57 sentimeter dan 80 sentimeter. Apabila dipasang, panel surianya akan menghadap ke atas bagi membolehkannya menyimpan cahaya matahari pada waktu siang dan menukarkannya sebagai bekalan kuasa elektrik pada saat ketiadaan cahaya.

Badan model lampu ini diperbuat daripada aluminium yang anti-kakis dan kalis air. Sifat anti-kakis menghalang pembentukan karat selepas terdedah di luar dalam tempoh yang lama.

Model ini turut dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 4.4 ampere-jam (Ah) terbina dalam dan tidak memerlukan sebarang pengguna wayar luaran. Selain menjimatkan elektrik, model ini juga lebih mesra alam kerana tidak membebaskan karbon dalam kuantiti yang besar di samping mempunyai teknologi pengecasan suria yang cekap.

Model ini akan bernyala secara automatik dalam suasana yang gelap dan tertutup apabila sekitarnya disinari cahaya. Dengan kata lain, lampu ini akan bernyala pada waktu malam dan tertutup menjelang pagi. Ketika menyala, kecerahannya ialah 100 peratus dalam tempoh antara satu jam hingga empat jam, 50 peratus dalam tempoh lima jam hingga lapan jam dan 30 peratus dalam tempoh sembilan jam hingga 12 jam.

Jangka masa pengecasan bagi model ini adalah sekitar enam jam bergantung pada sinar cahaya yang diterimanya. Sekiranya hujan, model ini masih mampu menyimpan tenaga dan boleh berfungsi dalam tempoh tiga hari hingga lima hari sebelum dicas semula secara optimum.

Spesifikasi kalis airnya berada pada kelas IP65 yang memberikan perlindungan daripada pancutan air bertekanan rendah dari mana-mana arah serta pemeluwapan dan semburan air. Dengan kata lain, panel surianya masih boleh berfungsi dengan baik walaupun ditimpa hujan. Namun untuk cuaca yang ekstrim, kalis air pada kelas IP67 lebih sesuai digunakan.

Pemasangannya jika kena dengan gayanya akan mencantikkan susun atur halaman rumah di samping tidak mengganggu laluan atau mencemaskan kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Selain boleh berfungsi sebagai panjut pada malam menjelang lebaran, model lampu ini juga boleh memberikan pencahayaan tambahan kepada susur halaman yang boleh dimanfaatkan pada setiap hari.

Pengeluar lampu rumput luaran suria berikutnya ialah Sresky yang beribu pejabat di Shenzen, China. Produk utamanya ialah lampu suria, manakala pasaran utamanya tertumpu ke Amerika Utara dan Eropah Selatan selain negara asalnya, iaitu China. Satu daripada produknya yang boleh dijadikan panjut ialah lampu taman suria ESL-25PRO.

Antara keistimewaannya termasuklah model ini boleh dinyalakan secara automatik oleh penderia sinar. Pada masa yang sama, model ini mempunyai tiga pilihan pencahayaan selain optik yang digunakan mampu menyerakkan cahaya dengan seragam.

Selain itu, pencahayaan bagi model ini boleh diprogramkan. Pencahayaannya tidak mengandungi risiko fotobiologi. Hal ini dikatakan demikian kerana pencahayaan bagi model ini berada dalam Kumpulan Terkecuali, iaitu tiada risiko yang dapat dikaitkan dengan inframerah, cahaya biru dan sinaran ultraungu menurut piawaian EN 62471:2008.

Model ini dilengkapi dengan sistem kawalan aktif yang menggunakan teknologi advanced light source (ALS) yang boleh mengubah keamatan cahaya untuk mengekalkan pencahayaan walaupun dalam keadaan cuaca buruk. ALS boleh diterjemahkan sebagai sumber cahaya lanjutan yang berperanan mengoptimumkan sistem diod pancaran cahaya (LED) dari aras terendah.

Kelebihan ALS yang lain ialah berupaya meningkatkan kecekapan foton, meningkatkan prestasi warna dengan ketara dan juga menyediakan kawalan arah yang tepat mengikut aras LED.

Sama seperti model Donta, model keluaran Sresky ini juga mempunyai spesifikasi anti-kakis dan kalis air mengikut kelas IP65. Badannya diperbuat dari bahan aluminium dan perlu diikat dengan skru, iaitu bukan dari jenis mudah alih.

Model jenis mudah alih pula disebut sebagai Lampu LED suria pancang api yang boleh dibeli secara dalam talian dengan harga dari RM20 hingga RM140 seunit atau sekotak (mengandungi satu unit hingga enam unit) melalui laman web seperti Shopee dan Lazada.

Tidak seperti model yang diikat dengan skru yang biasanya diperbuat daripada aluminium, model mudah alih diperbuat dari akrilonitril-butadiena-stirena (ABS) yang merujuk termoplastik legap yang terdiri daripada polimer amorf yang merangkumi tiga monomer, iaitu akrilonitril, butadiena dan stirena. Dengan bahasa mudah, badannya diperbuat dari bahan plastik.

Sekiranya model ini dicas dibawah sinaran matahari yang optimum selama tiga jam hingga lima jam, lampu ini boleh menyalakan cahaya selama enam jam hingga lapan jam sebelum dicas semula. Model ini dilengkapi dengan sistem kalis air mengikut kelas IP65, namun disarankan tidak terendam dalam air terlalu lama. Prinsipnya adalah sama seperti model jenis yang diikat skru, iaitu dicas secara automatik dan dihidupkan serta dimatikan secara automatik.

Model panjut suria jenis mudah alih.

Jenama bagi model mudah alih seperti yang dipaparkan di atas dikenali dengan nama Sunlisen yang diperbuat di Shandong, China. Jangka hayat LED bagi model ini adalah selama 50 ribu jam, manakala jangka hayat kefungsian model ini adalah selama 17 500 jam. Jika ditukarkan kepada tahun, model boleh digunakan dalam tempoh lima tahun atau lebih.

Walaupun model ini dicas dan dihidupkan secara automatik, fungsi butang yang disediakan membolehkan lampu ini dimatikan dan dihidupkan pada bila-bila masa. Dengan berat sekitar 300 gram dan ketinggian 32 sentimeter, model jenis mudah alih ini sangat senang untuk dipasang atau dipindahkan ke mana-mana tempat yang dirasakan sesuai.

Model mudah alih keluaran Chongqing Xinyuanhui Optoelectronic Technology Co. Ltd.

Model ini mempunyai kelebihan dari segi badannya yang diperbuat daripada aluminium, namun sifat kalis airnya dikelaskan pada tahap IP55. Pengeluarnya, Chongqing bukanlah nama baharu dalam industri sebaliknya terlibat dalam pembangunan lampu luaran lanskap sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Syarikat ini pernah memenangi pingat emas dalam acara antarabangsa Brussels Eureka International Invention yang diadakan pada tahun 1992 dan pernah membanggakan China kerana menjadi pengeluar pertama yang berjaya mendapatkan hak cipta harta intelek bagi pembangunan lampu discaj bawah air.

Panjut berteknologi baharu ini tidak mungkin dapat menggantikan panjut tradisional yang kaya dengan nilai estetika, namun kehadirannya dapat memberikan kelegaan kepada golongan yang ingin memiliki panjut di rumah tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk membuat pemasangan dan penyelenggaraan.

Di samping itu, kehadiran panjut ini dapat menambahkan seri laman selain dapat digunakan pada bila-bila masa dalam tempoh yang lama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.