Oleh Afifah Mohamed
8 April 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Profesor Madya Ts Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef dari Universiti Putra Malaysia (UPM) diumumkan sebagai Pengerusi Young Scientists Network (YSN) – Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi tahun 2023 hingga tahun 2025.

YBrs. Profesor Madya Ts Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef. (Sumber: Facebook Akademi Sains Malaysia)

ASM ialah badan berkanun dalam kerajaan Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen (Akademi Sains Malaysia 1994) dan bernaung di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berperanan sebagai badan penasihat saintifik tertinggi di Malaysia.

“Fungsi utama ASM ialah menasihati kerajaan berkenaan dengan hal sains, teknologi dan inovasi yang berkepentingan kepada negara dan antarabangsa,” kata YBrs. Profesor Madya Ts Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef dalam satu kenyataan.

Beliau merupakan Timbalan Pengarah Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Pusat Pembangunan Akademik (CADe) di UPM. Bidang penyelidikan beliau memfokuskan penyelidikan berkaitan dengan sains data, terutamanya dalam menyelesaikan analisis sentimen, menjawab persoalan, chatbot dan masalah sistem cadangan.

Pada masa yang sama, beliau turut terlibat dalam projek akademik dan industri yang melibatkan pengembangan kaedah pengkomputeran pintar, terutamanya model pembelajaran adaptif.

Dengan pengalamannya yang sangat luas dalam akademik dan penyelidikan, ASM memberikan tanggungjawab kepada beliau untuk memimpin serta menjadi peneraju pemikir yang diiktiraf bagi menangani isu berkaitan dengan sains, kejuruteraan, teknologi dan inovasi.

“Saya berasa sangat berbesar hati dengan keyakinan yang diberikan dan akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya akan berusaha dalam memberikan pelbagai sumbangan kepada YSN-ASM,” kata beliau lagi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan program yang terdapat di bawah ASM, sila layari laman sesawang ASM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.