Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kenderaan berat ialah kenderaan dengan berat melebihi 4500 kilogram seperti bas, trak dan treler. Kenderaan jenis ini sering digunakan untuk mengangkut barang dan penumpang dalam jarak jauh. Kenderaan berat biasanya mempunyai enjin yang lebih berkuasa yang membolehkannya membawa beban yang lebih berat berbanding dengan jenis kenderaan lain.

Produk atau penumpang boleh dihantar dengan kos yang jauh lebih rendah dan efisien apabila menggunakan kenderaan berat berbanding dengan jika diangkut dengan cara lain seperti kereta api atau pengangkutan udara. Kenderaan berat boleh memberikan kesan terhadap jalan raya dan penggunanya.

Namun begitu, walaupun kenderaan berat memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara, kenderaan ini juga memberikan cabaran yang unik dalam industri pengangkutan.

Dari segi keselamatan, antara kebimbangan yang melibatkan kenderaan berat termasuklah kecenderungannya untuk merempuh kenderaan lain atau pejalan kaki. Hal ini dikatakan demikian kerana kenderaan berat tentulah jauh lebih besar berbanding dengan kebanyakan kenderaan lain di jalan raya.

Bagi mengelakkan kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti pemantauan yang sewajarnya terhadap had laju kenderaan pengguna kenderaan berat di lebuh raya serta hukuman berat dikenakan kepada pesalah yang melanggar peraturan had kelajuan kenderaan ini.

Walau bagaimanapun, sejauh manakah inisiatif ini dapat mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat, terutamanya kemalangan maut membabitkan kenderaan yang lebih kecil atau pejalan kaki?

Perlanggaran antara kenderaan berat seperti treler dengan kenderaan yang lebih kecil seperti kereta selalunya akan berakhir dengan kecederaan parah atau lebih teruk lagi menyebabkan kematian terhadap penumpang kenderaan kecil berikutan pemindahan jumlah tenaga kinetik yang lebih besar.

Sebagai contohnya, masyarakat pernah dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati, yakni seorang ibu dan lapan orang anaknya berserta seorang pemandu kereta lain maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah treler dan tiga buah kereta di kawasan rehat USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan pada tengah malam. Dalam kebanyakan kes, kemalangan ini mungkin berpunca daripada kenderaan berat yang tidak dapat dilihat oleh pemandu yang datang dari pelbagai arah, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk.

Kajian di Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan bahawa kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat dapat dikurangkan dengan pemasangan pita pantul songsang dan penanda lain yang menggariskan kontur atau saiz kenderaan berat.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat  melaporkan bahawa dalam keadaan kekurangan cahaya, hentaman pada sisi dan belakang treler dapat dikurangkan antara 29 peratus hingga 41 peratus apabila pita pantul songsang dipasang.

Dalam keadaan gelap pula, pita pantul songsang ini mampu mengurangkan hentaman pada sisi dan belakang treler yang mengakibatkan penurunan kadar kematian atau kecederaan kepada pemandu mana-mana kenderaan sebanyak 44 peratus.

Dengan adanya pita pantul songsang pada kenderaan, selain memudahkan pemandu lain untuk melihat kenderaan berat tersebut, alat ini juga meningkatkan keterlihatan semasa cuaca kabus dan pada waktu malam apabila lampu jalan tidak berfungsi dengan baik disebabkan oleh gangguan atau kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh syarikat utiliti.

Selain itu, kajian menunjukkan bahawa pemasangan pita pantul songsang pada kenderaan berat boleh meningkatkan jarak penglihatan pemandu hingga 600 meter. Peningkatan keterlihatan ini mampu memberikan masa yang mencukupi kepada pemandu kenderaan lain untuk bertindak balas dan mengelakkan perlanggaran.

Pita pantul songsang berfungsi dengan memantulkan cahaya dari lampu hadapan kenderaan yang menghampiri dan menjadikan kenderaan tersebut lebih ketara dilihat oleh pemandu lain.

Di Malaysia, semua kenderaan berat dengan berat maksimum sebanyak 3500 kilogram dan ke atas wajib dipasangkan pita pantul songsang di bahagian belakang. Pada Julai 2019, undang-undang telah mewajibkan kenderaan berat dipasang dengan penandaan sisi dan kontur penandaan mestilah daripada bahan yang mampu memantulkan cahaya serta boleh menjamin penglihatan yang lebih baik, terutamanya pada waktu malam dan ketika cuaca buruk.

Pada masa yang sama, bas juga perlu dilengkapi dengan penanda pantulan belakang. Namun begitu, banyak kenderaan berat yang masih gagal mematuhi peraturan ini ketika berada di jalan raya.

Secara umumnya, risiko kemalangan antara kenderaan berat seperti treler dengan kereta adalah 30 kali ganda lebih tinggi apabila kenderaan berat ini tidak mempunyai tanda penglihatan. Kenderaan berat dengan penanda pemantulan garis besar dapat dikesan lebih awal berbanding dengan kenderaan berat yang tidak bertanda.

Tindakan ini secara tidak langsung membantu pengguna jalan raya yang lain untuk menentukan saiz kenderaan tersebut serta memberikan lebih banyak masa kepada pemandu untuk bergerak dengan lebih selamat dalam aliran lalu lintas. Pengguna jalan raya lain juga dapat melihat kenderaan berat yang pegun di tempat gelap, ketika membelok atau melintas jalan semasa cuaca buruk ataupun cahaya malap.

Walaupun pita pantul songsang boleh didapati dalam pelbagai pilihan, warna merah dan putih adalah yang paling banyak digunakan. Warna merah biasanya digunakan kerana mudah dilihat dalam keadaan cahaya malap, manakala putih digunakan sebagai warna kontras untuk meningkatkan keterlihatan pita.

Pita pantul songsang diperbuat daripada bahan khas yang memantulkan cahaya dan merupakan penyelesaian dengan kos yang efektif untuk meningkatkan keterlihatan kenderaan berat kerana alat ini tahan lasak jika terdedah kepada cuaca di Malaysia.

Penandaan kontur pada kenderaan berat dilakukan dengan menggariskan bentuk kenderaan menggunakan pita pantul songsang. Kontur penuh pada kenderaan berat menyebabkan persepsi visual menjadi lebih mudah.

Terdapat tiga jenis penandaan kontur yang diterima pakai, iaitu penandaan kontur penuh, kontur separa dan penandaan jalur. Penggunaan kontur penuh adalah sangat disyorkan. Pita pemantulan ini dipasang berhampiran dengan tepi kenderaan untuk membentuk garisan berterusan yang menggambarkan saiz kenderaan tersebut. Kedudukan ini memberikan keterlihatan maksimum kepada pengguna jalan raya lain dan kaedah ini juga mestilah dipilih jika terdapat grafik pantul songsang di sisi kenderaan.

Sementara itu, kontur separa melibatkan satu jalur pita pantul songsang digunakan di sepanjang setiap sisi dan belakang badan kenderaan berat dengan bahagian bentuk “L” dengan kepanjangan sebanyak 0.5 meter di setiap sudut atas.

Untuk penandaan jalur pula, satu jalur pita pantul songsang digunakan di sepanjang setiap sisi kenderaan, bahagian badan dan bahagian belakang kenderaan berat. Susun atur asas ini hanya boleh digunakan untuk kenderaan yang tidak menggunakan grafik pantul songsang atau mempunyai struktur terhad.

Sejak sekian lama, kenderaan berat seperti trak, treler dan bas menjadi nadi dalam industri pengangkutan. Kenderaan ini digunakan untuk mengangkut barangan dan penumpang dari satu tempat ke tempat lain agar perjalanan dan urusan kehidupan menjadi lebih mudah. Walau bagaimanapun, kenderaan berat tersebut boleh menimbulkan risiko keselamatan yang besar di jalan raya, terutamanya dalam keadaan cahaya malap.

Untuk mengurangkan risiko ini, adalah penting untuk meningkatkan keterlihatan kenderaan berat dan di situlah pita pantul songsang memainkan peranannya. Oleh itu, syarikat dan pemilik kenderaan berat berperanan besar dalam memastikan keselamatan pemandu, pengguna jalan raya lain dan kenderaan milik mereka.

Namun begitu, masih banyak syarikat dan pemilik kenderaan berat yang masih tidak cakna terhadap faedah dan penggunaan pita pantul songsang ini. Kekurangan kesedaran akan hal ini telah mengakibatkan langkah keselamatan di jalan raya semakin diabaikan, seterusnya menjadi risiko kepada pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan pita pantul songsang ini diharapkan dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh, bukan sahaja terhadap kenderaan berat komersial seperti trak dan treler, malah meliputi kenderaan lain seperti bas, kenderaan kecemasan dan tren bagi mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr. Suzielah Rahmad ialah siswazah doktor falsafah di UKM.

Profesor Madya Ir. Dr. Sri Atmaja P. Rosyidi ialah Pensyarah Kanan di Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.